Carian
Samsung Dikatakan Akan Membawa Skrin Boleh Dilipat Pada Tahun 2015
November 7, 2013 Arib Ismail

Hari demi hari setiap pengeluar ingin mencari sesuatu teknologi yang boleh menarik perhatian pengguna. Hari ini kita diperlihatkan dengan teknologi yang boleh dipakai seperti jam tangan pintar yang menjadi sasaran pengeluar untuk tahun ini.

Pada tahun 2012, kita dihidangkan dengan teknologi kaca mata pintar, Google Glass yang turut menjadi daya tarikan utama dan semestinya ia sesuatu teknologi yang dinantikan pengguna apabila ia bakal dipasarkan pada tahun hadapan. Pada tahun ini juga, kita disajikan dengan kehadiran telefon skrin melengkung seperti LG G Flex dan Samsung Galaxy Round yang baru dilancarkan pada pasaran antarabangsa baru-baru ini. Skrin melengkung ini dilihat dapat menampilkan rekaan ergonomik dalam menjadikan reka bentuk telefon lebih selesa ketika di poket seluar pengguna.

Menjelang tahun 2015, Samsung ingin menjadikan teknologi skrin boleh dilipat menjadi realiti seperti mana yang diperlihatkan dalam rangka masa pembangunan produk mereka.

samsung-technology-roadmap

Apa yang diperlihatkan, syarikat gergasi dari Korea ini akan membawakan skrin yang boleh dilipat pada akhir 2015 atau mungkin seawal tahun 2016. Beberapa info yang berkaitan seperti teknologi pengimejan, pemprosesan, dan memori yang lebih baik turut didedahkan dalam menjadikan peranti akan datang berfungsi dengan lebih pantas disamping menggunakan tenaga dan penggunaan bateri yang lebih rendah.

Sebelum ini pihak Samsung telah sedia memperlihatkan beberapa prototaip seperti OLED fleksibel akan tetapi terdapat beberapa kekangan sebelum ia dibawa sepenuhnya kepada pasaran pengguna. Kekangan ini berikutan teknologi skrin ini masih tidak stabil untuk hari ini dan mungkin juga mempunyai kekurangan dari segi kajian dalam menjadikan skrin boleh dilipat ini berfungsi lebih efektif untuk kegunaan harian.

Ia dilihat satu teknologi menarik sekiranya ia didatangkan dalam bentuk peranti yang sepatutnya dan mungkin Samsung mempunyai idea dan strategi tersendiri bagaimana ia berfungsi kelak. Sekiranya ia dihadirkan dalam bentuk telefon pintar yang boleh dilipat, adakah anda ingin menggunakannya?

Komen