Cari @ Amanz

Sejak 10 tahun kebelakangan ini kerjaya sebagai seorang pemain permainan komputer secara professional semakin mendapat pengiktirafan dunia. Umum diketahui pasukan Orange E-Sports yang mewakili negara ke pertandingan The International DOTA2 berjaya memenangi tempat ketiga. Oleh sebab itu kami menyedari pasaran aksesori komputer untuk pemain komputer professional juga semakin banyak di pasaran. Antara nama besar yang menghasilkan kelengkapan e-sukan professional ialah Logitech.

Papan Kekunci Logitech G19s
Jenis Kekunci Membran
Skrin LCD 3″ 320×280 pixel
Pencahayaan kekunci Ya, dengan pilihan 16 juta warna pilihan
Port USB 2 USB 2.0
Fungsi Tambahan 12 Kekunci Makro, butang kawalan multimedia,

Logitech G19s ialah papan kekunci khas untuk permainan komputer terkini mereka. Papan kekunci ini dilengkapi dengan sistem paparan LCD kecil , 12 butang makro yang boleh diprogram serta pencahayaan kekunci dengan pilihan 16 juta warna. Dari segi binaan kami mendapati papan kekunci ini dibina daripada plastik yang teguh. Ianya juga agak berat bagi memastikan papan kekunci tidak akan bergerak ketika anda kusyuk bermain. Ia juga dilengkapi dengan pelapik tangan yang boleh dipasang apabila perlu. Secara peribadi kami gemarkan papan kekunci yang mempunyai tempat pelapik tangan yang terbina. Malangnya bagi Logitech G19s, pelapik tangan ini tidak dibina menggunakan bahan plastik berkualiti tinggi yang sama seperti binaan papan kekunci utama.

Seperti binaan badan papan kekunci, butang yang digunakan pada G19s juga diperbuat daripada plastik berkualiti tinggi. Permukaan setiap butang disaluti dengan bahan oleophobic bagi memastikan ianya tidak akan melekit sepanjang tempoh penggunaan. Sepanjang tempoh penggunaan kami merasakan butang G19s adalah responsif walaupun tidak berapa ergonomik. Kami sudah terbiasa dengan susunan butang yang lebih ergonomik seperti yang digunakan papan kekunci siri Comfort Keyboard Microsoft. Susunan butang standard yang digunakan G19s tidak berapa selesa digunakan untuk menaip sepanjang hari.

Harus kami akui kami mempunyai masalah RSI yang kronik dan susunan butang standard G19s mengakibatkan kesakitan pada pergelangan tangan kami berlau kembali. G19s mungkin sebuah papan kekunci gaming yang bagus tetapi jika anda juga mahu menggunakannya untuk menaip sepanjang hari, ianya bukanlah papan kekunci pilihan kami. Ini adalah persoalan yang lama ingin kami tanyakan. Mengapa sehingga sekarang tidak ada papan kekunci khas untuk gaming yang menggunakan susunan butang lebih mesra pergelangan tangan? Masalah carpal tunnel yang dialami pengguna komputer bukanlah fenomena baru. Kami tidak mempunyai jawapan kepada persoalan ini.

G19s juga dilengkapi denga butang kawalan multimedia pada bahagian kanan sebelah atas serta dua port USB 2.0. Butang kawalan suara papan kekunci ini adalah dari jenis roda berputar dan ini memudahkan kami mengawal tahap kekuatan bunyi. Butang roda berputar ini juga digunakan bagi mengawal tahap keterangan lampu butang kekunci.

[amanz-gallery]

Butang Makro Dan Perisian Khas Logitech

Perkara pertama yang anda sedari tentang G19s ialah barisan 12 butang tambahan  pada bahagian kiri papan kekunci. Kesemua butang yang dikumpulkan di dalam 3 kluster berbeza ini boleh diprogramkan dengan makro pilihan pengguna. Terdapat juga 3 butang memori bagi membolehkan anda menyimpan sehingga 36 makro berbeza mengikut keperluan. Jelas sekali G19s dibina khas untuk penggemar permainan Real Time Strategy (RTS) seperti DotA dan Starcraft.

Jika anda tidak berminat memprogram butang-butang ini secara manual, G19s sudah terbina dengan beberapa preset untuk beberapa permainan komputer popular. Ini semua dilakukan melalui perisian Logitech Gaming yang turut disertakan. Kami sempat menggunakan preset untuk Fallout3 dan Bioshock yang disediakan oleh Logitech. Sebagai contoh untuk Bioshock, 12 butang tambahan yang kami nyatakan tadi dipadankan dengan kuasa- kuasa Plasmidnya yang tersendiri. Ini menjimatkan masa anda dari melakukan pemilihan setiap kali kuasa Plasmid ingin digunakan.

SmallKeyboardM1650001SmallKeyboardM1650001

Pencahayaan butang kekunci

Selain menyimpan tetapan butang untuk permainan komputer yang anda pilih, program Logitech Gaming juga digunakan bagi menetapkan warna lampu yang mewarnai butang kekunci. Anda boleh memilih apa sahaja warna yang anda mahukan. Menurut Logitech papan kekunci ini boleh memaparkan sehingga 16 Juta warna. Pada papan kekunci terdapat butang M1, M2 dan M3. Butang-butang ini boleh diprogramkan untuk menukar cahaya lampu butang kekunci kepada 3 warna berbeza sekiranya perlu.

SmallKeyboardM1650001

Skrin LCD

SmallKeyboardM1650001

Skrin LCD bewarna penuh pada bahagian tengah G19s boleh dilaras kedudukannya mengikut kehendak pengguna. Skrin ini boleh memaparkan maklumat penting seperti penggunaan RAM, tahap penggunaan CPU, berita dari sumber RSS dan juga menonton video. Secara peribadi kami merasakan LCD pada papan kekunci adalah sesuatu yang tidak perlu tetapi jika anda mahukan fungsi ini G19s dilengkapi dengan pelbagai fungsi menarik. Kewujudan skrin LCD ini juga mengakibatkan G19s memerlukan adaptor kuasanya sendiri. Kami agak kecewa dengan adaptor yang disertakan kerana ianya menggunakan pin 2 kepala standard Australia. Pengubah pin 2 kepala ini kepada pin 3 kepala yang digunakan di Malaysia tidak disertakan. Harus kami katakan pengubah dari Australia kepada 3 pin Malaysia tidak terjual secara meluas. Kami merasakan adalah baik sekiranya pengubah pin kepala adaptor kuasa disertakan sekali di dalam kotak.

SmallKeyboardM1650015

Kesimpulan

Logitech G19s ialah sebuah papan kekunci yang dibina khas untuk pemain komputer tegar. Kemampuan merekod dan menyimpan makro memudahkan pemain RTS menguruskan “strategi peperangan” mereka. Binaan papan kekunci ini adalah sangat baik dan premium. Salutan oleophobic pada setiap butang memastikan butang tidak akan melikit selepas sesi permainan selama beberapa jam. Skrin LCD yang disertakan boleh digunakan untuk memaparkan maklumat terkini untuk kegunaan pengguna. Bagi kami perkara yang paling menarik mengenai papan kekunci ini ini kemampuan menetapkan warna pencahayaan butang papan kekunci yang tidak terhad. Anda boleh memilih jutaan warna bagi dan ini sememangnya kustomasi papan kekunci yang hebat. Perisian yang disertakan oleh Logitech juga sangat bagus dan menyokong permainan komputer popular lama dan baru.

Kelemahan yang kami rasakan agak ketara ialah ianya adalah agak mahal bagi sebuah papan kekunci bukan mekanikal. Harga saranan sebuah G19s ialah RM  699 sebuah. Ia juga memerlukan sebuah adaptor kuasanya sendiri dan adaptor yang disertakan tidak mengunakan pin 3 kepala yang digunakan di Malaysia. Seperkara lagi ialah susunan butang papan kekunci yang standard mengakibatkan ianya kurang selesa digunakan untuk tujuan menaip sepanjang hari.

PRO dan Kelebihan
  • Binaan yang teguh daripada plastik berkualiti tinggi. Butang kekunci juga disaluti b.ahan Oleophobik yang mengurangkan masalah melekit selepas penggunaan yang lama.
  • Perisian Logitech yGaming memudahkan pengurusan menetapkan makro yang ingin anda programkan.
  • Skrin LCD yang membolehkan anda memaparkan pelbagai maklumat seperti berita RSS terkini dan status kesihatan komputer anda.
  • Kemampuan mengubah warna pencahayaan butang kekunci mengikut kehendak pengguna. Pilhan sehingga 16 juta warna serta 3 tetapan warna yang boleh disimpan.
  • Sistem pengurusan wayar yang bagus pada bahagian bawah papan kekunci.
  • Dua port USB 2.0
KONTRA dan Kekurangan
  • Papan kekunci memerlukan kuasa tambahan menggunakan sebuah adaptor. Adaptor ini menggunakan pin 2 kepala standard Australia. Pengubah kepada pin 3 kepala yang digunakan di Malaysia tidak disertakan.
  • Butang kekunci dengan susunan standard tidak sesuai untuk menaip untuk jangkamasa yang lama. Bagi mereka yang sudah mengalami masalah kesakitan pada pergelangan tangan, G19s tidak sesuai untuk anda.
  • Harga yang mahal bagi sebuah papan kekunci bukan mekanikal.
  • Info
  • Logitech G19s dijual pada harga RM699 sebuah .
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd