Retrospektif : 10 Permainan Terbaik Konsol PlayStation 1

Retrospektif : 10 Permainan Terbaik Konsol PlayStation 1

Diterbitkan pada November 13, 2013 oleh .

Tinggal dua hari lagi sebelum konsol generasi ke-4 PlayStation akan mula dijual di pasaran dunia. Pada hari jumaat akan datang ia boleh dibeli di Amerika Syarikat dan dua minggu selepas itu akan terjual di Eropah dan Australia. Kami difahamkan di Asia PlayStation 4 hanya akan tiba 19 Disember ini. Kami yakin ramai pembaca Amanz adalah terdiri dari peminat permainan komputer tegar dan majoritinya memiliki konsol PlayStation. Kami sendiri memiliki 3 generasi konsol buatan Sony ini. Ada baiknya sebelum melihat sendiri konsol PS4 kami menulis tentang 10 permainan terbaik yang pernah kami main pada konsol PlayStation 1.

Sedikit Sejarah

PlayStation one mula dijual pada tahun 1994 dan ianya percubaan pertama Sony untuk memasuki arena permainan konsol yang pada ketika itu dikuasai oleh SEGA dan Nintendo. Tahukah anda ia penghasilan konsol oleh Sony sudah wujud sejak 1986? Pada awalnya Sony akan mengahasilkan aksesori tambahan yang boleh memainkan cakera padat untuk Nintendo Famicom. Nama PlayStation pada awalnya dieja sebagai Play Station dan dipatenkan pada tahun 1991. Setelah usahasama Sony dan Nintendo gagal, Sony berkeras untuk menghasilkan konsol mereka sendiri dan PlayStationpun terhasil. Konsol ini dijual dari tahun 1994 sehingga 2004 dan terjual sebanyak 104 juta unit. Sungguhpun begitu CD PlayStation 1 terus dihasilkan oleh Sony sehingga Mac 2006, enam bulan sebelum PS3 mula dijual.

Bagi sebahagian pembaca Amanz, PS1 mungkin konsol pertama yang anda miliki dan ianya konsol yang memperkenalkan anda kepada Solid Snake, Crash Bandicoot, Cloud Strife dan Lara Croft. Kami membeli konsol ini pada tahun 1998 menggunakan duit biasiswa yang kami terima semasa menduduki kursus A Level. Sebelum itu kami memiliki sebuah Sega Saturn yang kami beli keran kesetiaan kepada jenama Sega. Selepas memiliki PS1 kami menyedari PlayStation adalah konsol yang jauh lebih baik dari segi grafik dan pilihan permainan. Apa yang kami kurang gemar ialah alat kawalan yang tidak selesa untuk dipegang. Baik mari kita mulakan senarai 10 permainan PS1 yang terbaik pernah kami main.

Nuclear Strike

Siri Strike keluaran Electronic Arts pertama kali muncul pada tahun 1992 dengan Desert Strike pada konsol Sega Megadrive. Sebanyak empat sekuel kepada siri permainan simulasi helikopter tempur ini dihasilkan dan dua daripadanya Soviet dan Nuclear strike muncul pada konsol PlayStation. Siri Strike berbeza dari simulasi helikopter yang ada di pasaran pada waktu itu kerana ia memerlukan anda mengurus jumlah minyak, roket dan misil  yang dibawa helikopter Apache anda setiap masa. Nuclear Strike ialah permainan terakhir di dalam siri ini dan ianya mula dijual pada tahun 1997. Permainan ini memperkenalkan kami kepada Presiden Kim Jong Il dan Korea Utara. Selepas siri Strike dihentikan, pihak Electronic Arts mengeluarkan Future Cops : LAPD yang mengekalkan cara permainan yang serupa dengan Strike. Malangnya Future Cops tidak mendapat sambutan dan sehingga kini siri Strike terkubur. Jika anda mempunyai PS3 dan mahu bermain permainan ini, Soviet dan Nuclear strike boleh dibeli di Playstation Store.

Adegan paling sukar dilupakan : Mencari kedudukan super winch di sekitar peta sebelum memulakan misi bagi memudahkan proses pengisian semula peluru dan minyak kelak

Nuclear-Strike

Time Crisis

Menjelang akhir dekad 90-an kebanyakan arked di Malaysia diancam kepupusan. Pada waktu itu kerajaan nekad untuk menghentikan pengeluaran lesen perniagaan arked kerana dikatakan penyebab utama masalah pelajar ponteng dari sekolah. Ramai pihak tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan pada waktu itu kerana umum diketahui kebanyakan pelajar yang ponteng tidak menghabiskan masa di arked tetapi di kedai menjual permainan video dan menyewa konsol PlayStation mengikut jam. Sungguhpun begitu banyak arked ditutup dan arked yang sedia ada enggan membeli kabinet terbaru kerana gusar lesen tidak akan disambung. Pada tahun 1995 Namco mengeluarkan arked Time Crisis dan ianya mendapat sambutan hangat. Pada tahun 1997 versi PlayStation dijual lengkap dengan pistol G-Con 45. Kami tidak mahu menghabiskan wang di arked dan membeli Time Crisis untuk di main di rumah. Yang menarik tentang versi konsol ini ialah pengawal permainan yang diletakkan pada port kedua boleh digunakan sebagai padel kaki untuk menyorok dari tembakan musuh. Ini membolehkan pemain Time Crisis versi konsol mempunyai fungsi yang sama seperti pemain versi arked.

Adegan paling sukar dilupakan : Melakukan speedrun di arked selepas menghafal pola pergerakan musuh di rumah terlebih dahulu

timecrisis

Tekken 3

Seperti Time Crisis, versi konsol untuk permainan arked Tekken banyak menyelamatkan kami dari masalah ketandusan wang ketika bersekolah. Tidak seperti mesin arked Street Fighter, mesin arked Tekken memerlukan 2 token 50 sen untuk dimainkan. Seperti yang kami tulis tentang Time Crisis pada waktu ini kerajaan berkeras untuk menutup kebanyakan arked di Malaysia dan kewujudan Tekken 2 & 3 versi konsol membolehkan kami mengubah bilik kami menjadi arked peribadi.

Adegan paling sukar dilupakan : Berjaya menghasilkan kombo tanpa henti milik King  

Tekken3

WWF Smackdown! 2 Know Your Role 

Sebelum frankais Smackdown! wujud ada beberapa percubaan menghasilkan permainan komputer berdasarkan sukan gusti profesional WWF. WWF Attitude dan WWF Warzone keluaran Acclaim gagal menambat hati peminat kerana sistem kawalannya yang sukar untuk dihafal. Apabila THQ mengambil alih dan menghasilkan Smackdown! ,semua ini berubah. Smackdown! memudahkan anda untuk melakukan “layeth the smakethdown” dan memastikan jabroni-jabroni lain “know your role”. Kombinasi menekan siri beberapa butang untuk melakukan gerakan penamat digantikan dengan hanya menakan bukan R1. Ini membuatkan Smackdown! menjadi siri permainan komputer yang kekal popular sungguhpun sudah 13 tahun di pasaran. WWF Smackdown! 2 Know Your Role membawakan pembaharuan terhadap WWF Smackdown! dengan lebih banyak pilihan penggusti dan sistem tag team yang lebih mantap. Tetapi yang membuatkan Smackdown! 2 popular ialah fungsi Create A Wrestler yang membenarkan pemain mencipta watak mereka sendiri dengan rupa dan gerakan menyerang tersendiri.

Adegan paling sukar dilupakan : Memenangi tali pinggang juara WWF dengan watak yang direka sendiri

4412953_orig

Resident Evil 2

Resident Evil 2 membawa beberapa pembaharuan baru di dalam gaya penceritaan permainan komputer. Sebelum ini anda hanya mampu mengawal satu sahaja watak sepanjang tempoh permainan. Resident Evil 2 membenarkan anda bermain sebagai Claire Redfield ataupun Leon S Kennedy berdasarkan CD PlayStation mana yang anda pilih. Pada tahun 1998 permainan yang memerlukan 2 cakera padat adalah jarang sekali ditemui. Selalunya hanya RPG seperti Final Fantasy VII dan Myst dicetak lebih dari satu cakera padat.Pada awal permainan dua watak ini berpisah selepas berlaku letupan di Racoon City dan anda oleh mengawal dua watak ini dan membongkar rahsia kemusnahan Racoon City dari dua jalan cerita yang berlaku secara serentak. CD A adalah khas untuk jalan cerita Leon manakala CD B khas untuk jalan cerita Claire. Sekuel kepada Resident Evil ini juga memperkenalkan watak Licker yang bukan sahaja lebih pantas tetapi sukar dibunuh berbanding zombie-zombie yang wujud sebelum ini. Selain Licker, RE2 juga memperkenalkan kita kepada Dr Ashford dan Ada Wong, dua watak yang kemudiannya muncul di dalam frankais filem Resident Evil.  Terdapat juga mod permainan rahsia Honk dan Tofu bagi mereka yang dapat menghabiskan jalan cerita utama dalam masa kurang 3 jam tanpa menggunakan senjata istimewa.

Adegan paling sukar dilupakan : Kemunculan pertama Licker  dan Tyrant mengejar anda secara pantas di sepanjang koridor balai polis

RE2
Parappa The Rapper

Seawal 4 tahun yang lalu pasaran permainan konsol dibanjiri dengan permainan muzik yang memerlukan anda menekan butang mengikut alunan muzik.Siri Guitar Hero terjual dalam jumlah yang besar sehinggalah ianya dihentikan kerana pengguna naik muak bermain dengan gitar plastik. Sebelum Guitar Hero ,Dance Dance Revolution menakluk ruang tamu rumah dengan tikar tariannya yang memerlukan anda menari mengikut simbol yang dipaparkan di kaca TV. Kesemua permainan ritma ini boleh mengesan leluhur DNAnya kembali kepada PaRappa The Rapper. PaRappa The Rapper ialah kisah seekor anjing yang menggunakan lagi RAP untuk memikat sebatang bunga matahari bernama Sunny. Plot permainan ini memang tidak masuk akal tetapi ianya menjadi acuan kepada majoriti permainan ritma yang ada sekarang. Kehebatan nyanyian RAP PaRappa bergantung kepada kepantasan jari anda. Hanya 3 juta unit permainan ini terjual tetapi kesannya terhadap lanskap permainan komputer adalah sangat besar.

Adegan paling sukar dilupakan : U Rappin Cool!

parappa

Silent Hill

Sebelum Silent Hill permainan didalam genre survival horror terlalu berkiblatkan filem zombie George Romero. Biohazard (Resident Evil) menitik beratkan aksi ganas, rekaan musuh yang menyeramkan serta teka-teka yang menguji minda. Silent Hill keluar dari acuan zombie dan meminjam elemen dari siri Alone in The Dark. Jika di dalam Resident Evil anda digalakkan untuk membunuh sebanyak zombie yang boleh, Silent Hill menggalakkan anda untuk melarikan diri dari musuh sekerap mungkin. Hampir sepanjang masa anda bermain Silent Hill anda hanya menggunakan paip besi berkarat sebagai senjata kerana menyimpan peluru untuk digunakan menentang ketua musuh di akhir setiap babak. Apa yang kami suka tentang Silent Hill ialah ianya sebuah permainan paranormal dengan elemen kultus sesat. Kami lebih gemarkan elemen paranormal dari mayat yang hidup semula kerana jangkitan virus. Ianya lebih asian. Ianya lebih menyeramkan dan paling penting sekali cerita yang disampaikan oleh Silent Hill adalah jauh lebih menarik dari Resident Evil.

Adegan paling sukar dilupakan : Kali pertama berjalan di dalam Silent Hill dan bunyi statik radio secara tiba-tiba berbunyi menandakan kehadiran momok disebalik kabus

Silent-hill

Final Fantasy 7

Nintendo ada Legend of Zelda, Xbox ada Fable dan Sega ada Shemue. Bagaimana pula dengan PlayStation? Pada pendapat kami RPG yang paling sinonim dengan PlayStation ialah Final Fantasy terutamanya Final Fantasy VII. Sehingga 2010 lebih dari 10 juta unit permainan ini sudah terjual dan ianya juga sehingga kini tersenarai sebagai antara RPG terbaik pernah dihasilkan. Kepopularan FFVII masih lagi kekal sehingga sekarang sugguhpun permainan komputer ini sudah berusia 16 tahun. Selepas filem Advent Children muncul di pawagam terdapat permintaan dari peminat supaya SquareEnix menghasilkan edisi HD untuk FFVII tetapi sehingga kini ianya masih elusif.

Adegan paling sukar dilupakan : Kematian Aerith Gainborough di tangan Sephiroth

FF7

Gran Turismo : Real Driving Simulator

Sebuah kuiz ringkas untuk anda. Apakah permainan yang paling banyak dijual untuk konsol PlayStation 1. Jika and menjawab Final Fantasy VII anda salah. Jika anda menjawab Crash Bandicoot anda juga salah. Jawapannya agak mengejutkan kerana ianya adalah Gran Turismo. Sebanyak 10.85 juta unit Gran Turismo terjual. Ini adalah mengikut perkiraan akhir tahun 2008. Apakah yang menyebabkan Gran Turismo menjadi permainan paling laris untuk konsol ini? Jawapannya ialah ianya permainan lumba kereta paling realistik pertama untuk konsol. Sebelum ini permainan kereta lumba yang realistik terhad kepada pengguna PC. Ramai berpendapat konsol tidak mempunyai kuasa pemproses yang secukupnya untuk menghasilkan grafik yang cantik dan enjin fizik yang sehampir mungkin dengan realiti. Polyphony Digital berjaya melakukannya pada tahun 1997. Kemampuan mengambil selekoh bergantung kepada tayar yang anda pakai. Menukar tayar pada waktu yang tertentu boleh memastikan anda memecut lebih laju dari pesaing anda. Gran Turismo License Test pula mengajar kami teknik pemandu yang agresif tetapi selamat. Kelas memandu Grand Turismo ini sangatlah realistik ianya digunakan untuk mengajar pemandu muda bagaimana mengawal kenderaan sebelum melakukannya di atas litar.

Adegan paling sukar dilupakan : Pergi ke peta pengeluar kenderaan. Pilih LOTUS dan merasa bangga apabila melihat ayat “Lotus is owned by Proton cars Malaysia”

gran-turismo-c2ba1

Metal Gear Solid

Perlukah kami menulis mengapa Metal Gear Solid ialah permainan PlayStation 1 yang terhebat? Umum sudah mengetahui permainan ini melakukan beberapa perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana permainan komputer sebelum ini. Untuk mengalahkan Psycho Mantis anda perlu menanggalkan pengawal permainan dan memasangnya semula pada prot pemain kedua. Psycho Mantis juga boleh membaca kad memori anda dialog khas akan muncul sekiranya anda pernah bermain Castlevania dan Pro Evo. Ia juga menyuruh pemain untuk melihat bahagian belakang casing cakera padat untuk mengetahui frekuensi radio Meryl Silvernburg. Selepas MGS, Hideo Kojima menghasilkan beberapa lagi sekuel yang pada hemat kami tidak setanding Metal Gear Solid. Kepopularan MGS membuatkan beberapa permainan perisikan muncul dipasaran seperti Syphon Filter dan Splinter Cell.

Adegan paling sukar dilupakan : Mengalahkan Psycho Mantis tanpa menanggalkan pengawal permainan dari port pemain nombor 1

MGS-psycho

Ini adalah senarai 10 permainan konsol PlayStation 1 kegemaran kami. Bagaimana pula dengan anda? Kami yakin kerana perbezaan umur dan minat anda semestinya mempunyai senarai 10 terbaik anda sendiri. Kongsikan pendapat anda di ruang komen. Nantikan retrospektif untik konsol Playstation 2 pula selepas ini. JIka anda yang berminat kami mungkin menulis untuk PS3, Sega Dreamcast. Sega Saturn dan Sega Megadrive. Jumpa lagi anda di artikel retrospektif seterusnya.

 


TIPS & ULASAN