Arib Ismail & Aizan Fahri Menyertai Amanz Network Sebagai Penulis Rasmi

Arib Ismail & Aizan Fahri Menyertai Amanz Network Sebagai Penulis Rasmi

Diterbitkan pada November 13, 2013 oleh .

7aaef3fea36611e292c422000a1fbe6b_7

Keluarga Amanz Network kini terus meriah dengan penyertaan dua penulis baru iaitu Arib Ismail dan Aizan Fahri. Kedua-dua mereka mula menjadi penulis tetap secara rasmi di Amanz Network bermula hari ini.

Arib Ismail mula terlibat sebagai penulis jemputan di Amanz pada September 2011 melalui artikel pertama beliau iaitu Ulasan: Windows 8 Developer Preview yang telah menarik perhatian pembaca melalui penggunaan ‘Dasawarsa’ dalam artikel tersebut. Sehingga kini, Arib Ismail telah menyumbang lebih 10 artikel dan ulasan yang berkaitan dengan sistem operasi yang mana turut sama menjadi salah satu penulis yang menyumbang artikel terpanjang di Amanz.my melalui Ulasan Penuh: Windows 8.

Di Amanz, Arib Ismail akan menjadi penulis tetap untuk menulis ulasan terutamanya yang berkaitan dengan sistem operasi dan juga diberi peluang untuk menerbitkan artikel-artikel harian. Beliau turut sama akan membantu Amanz Network dalam membawa penambah baikan dari segi ulasan produk seperti memperkenalkan sistem ujian dan tahap permarkahan yang tersendiri selain membantu untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa di Amanz. Beliau juga turut sama akan mengurus ruangan Q&A yang bakal kami perkenalkan kelak.

Arib Ismail

Selain Arib Ismail, sekiranya anda pernah mengikuti artikel Mari Mengenali Dalvik! sebelum ini, mungkin anda mengenali nama penulis ini. Beliau terkenal melalui penulisan teknikal di Amanz dengan menggunakan beberapa istilah dan analogi menarik sekaligus menjadikan ia sebagai satu artikel bermanfaat untuk dibaca. Beliau juga merupakan penulis yang turut sama menyumbang beberapa artikel teknikal seperti Mari Mengenali Mekanisma GPGPU yang terkenal dengan analogi Farmville.

Diberi nama Aizan Fahri, penulis ini akan berkhidmat di Amanz Network untuk menulis perkara-perkara teknikal yang berkaitan dengan dunia teknologi. Beberapa perkara teknikal yang dilihat sukar difahami oleh pengguna akan cuba dikupas oleh penulis ini melalui cara penyampaian yang mudah dan kami di Amanz mengharapkan dengan kedatangan beliau dapat mengurangkan jurang pengetahuan teknologi kepada pembaca dan pengguna. Beliau turut akan menjadi penulis utama yang berkaitan dengan sains di bawah satu projek laman web baru kami pada masa akan datang.

Aizan Fahri

Dengan hasil sumbangan dan pengalaman daripada kedua-dua penulis ini, kami di Amanz Network berbesar hati untuk mengambil khidmat mereka dalam menjadikan Amanz selangkah maju ke hadapan disamping meningkatkan lagi taraf dan mutu penulisan di Amanz. Kedua-dua penulis ini juga akan diberikan hak secara penuh untuk menerbitkan artikel sendiri tanpa perlu lagi melalui proses tapisan oleh pihak Amanz Network seperti sebelum ini.

Bagi para pembaca yang ingin berhubung dengan mereka, Arib Ismail boleh dihubungi melalui Twitter: @aribismail dan blog beliau di alamat aribismail.com manakala Aizan Fahri pula boleh dikenali melalui Twitter: @aizanfahri dan berkunjung ke blog peribadi beliau di caspershire.net dan blog.nightlyart.com.


TIPS & ULASAN