Cari @ Amanz

Semakin hari semakin banyak peranti yang mampu berintegrasi serta berinteraksi antara satu sama lain. Bayangkan sekiranya anda dapat mengawal suis di rumah melalui aplikasi khas pada telefon pintar anda, sudah tentu memudahkan gaya hidup anda. Mengambil konsep ini, salah satu pembesar suara daripada pihak Sonos hadir, dinamakan Sonos Playbar.

Kami rasakan jenama Sonos bukan suatu jenama yang popular berbanding beberapa jenama yang lain. Bagi mereka yang kurang mengenali Sonos ini, mereka merupakan pengeluar rangkaian pembesar suara Hi-Fi tanpa wayar dari Amerika. Seperti kebanyakkan pembesar suara, ia membolehkan pengguna menghubungkan ia ke televisyen dan pelbagai sumber audio, dan menikmati audio yang baik melaluinya. Pemasangannya juga amat mudah dan pantas, dimana memerlukan pengguna menghubungkan kabel kuasa dan juga kabel optikal audio. Untuk tujuan kawalan, Sonos Playbar membolehkan anda sync penggunaan alat kawalan televisyen sedia ada kepadanya secara automatik.

Keunikan sistem ini adalah ia bebas diletakkan di mana-mana dalam rumah dan boleh turut dikawal menerusi aplikasi pada telefon pintar. Bayangkan anda baru sahaja bangun tidur di bilik anda, anda boleh memainkan lagu tertentu di dapur anda tanpa perlu pergi ke dapur. Sekiranya anda mempunyai lebih dari satu unit Sonos, anda boleh memainkan muzik berlainan untuk ruang yang berlainan dan kesemua integrasi ini adalah dengan bantuan sambungan internet di dalam rumah. Setiap unit Sonos perlu disambung kepada sambungan WiFi internet dirumah terlebih dahulu supaya dapat dikawal menggunakan peranti lain.

[amanz-gallery]

Bentuk Fizikal

Sonos Playbar membawakan fungsi utama sebagai pembesar suara teater di rumah. Ia di datangkan dalam kemasan berwarna hitam serta tampak elegan. Binaan dalamannya menggunakan gabungan 9 pembesar suara, menjamin kepersisan setiap bunyi yang di dendangkan. Terdapat butang kawalan pada tepi pembesar suara untuk mematikan bunyi ataupun untuk tujuan mengawal tahap kekuatan bunyi. Sedikit janggal apabila tiada suis kuasa pada Sonos Playbar ini. Namun difahamkan Sonos Playbar menggunakan kuasa pada tahap rendah untuk sentiasa kekal dan sedia beroperasi.

Sonos Playbar

Di belakang ia terdapat 3 jenis sambungan tersedia iaitu sambungan kepada bekalan kuasa, sambungan kepada penghala (router) menggunakan kabel LAN RJ45, serta sambungan kabel optikal audio.

Integrasi Peranti Mudah-Alih

imageUntuk menggunakan pembesar suara ini bersama peranti mudah-alih, pengguna perlu memuat-turun aplikasi dari Sonos secara percuma. Disamping mengawal tahap suara lagu yang dimainkan, aplikasi ini juga turut mempunyai fungsi untuk integrasi bersama aplikasi muzik yang lain seperti Deezer dan juga Spotify. Integrasi Spotify untuk Sonos Playbar memerlukan langganan berbayar Spotify. Anda juga boleh membuatkan Sonos Playbar tersebut memainkan lagu yang terbina pada telefon anda.

Selain dari memainkan lagu secara terus, aplikasi Sonos juga membolehkan pengguna mencipta senarai lagu untuk dimainkan. Selain itu setiap lagu boleh ditetap sebagai lagu kegemaran dan sebaliknya. Selain aplikasi mudah-alih, pihak Sonos turut sama menyediakan perisian mereka untuk pengguna desktop dalam menghubungkan komputer mereka ke pembesar suara ini.

Setelah menggunakan unit ini selama dua minggu, kami mendapati bunyi yang dihasilkan amat jelas, malahan sedikit terkejut apabila sesetengah lagu mempunyai sedikit bunyi yang sukar didengar menggunakan pembesar suara yang biasa. Meskipun bergantung pada sokongan internet, tiada lengah masa antara pemilihan lagu dan juga apabila lagu itu dimainkan pada Sonos Playbar.

Sonos Playbar boleh dibeli di jual pada harga SGD1,299 (~RM3339) termasuk penghantaran dan turut disertakan oleh Tat Chuan Acoustic adalah kod promosi untuk produk Sonos. Gunakan kod Sonoswireless11 untuk produk Sonos dan juga kod Klipsch4life11 untuk produk Klipsch. Pada harganya mungkin ia agak mahal untuk sesetengah pengguna. Namun bagi anda yang inginkan kualiti audio yang lebih baik berbanding pembesar suara di televisyen, ataupun sebuah pembesar suara yang memudahkan anda mendengar koleksi lagu dengan mudah, mungkin anda boleh menyertakan Sonos Playbar dalam pilihan anda.

Pro

  • Mudah dikendalikan dengan telefon pintar.
  • Kemasan yang elegan
  • Bunyi yang jelas dan nyata berbanding pembesar suara biasa, memberikan tahap kepuasan yang tinggi

Kontra

  • Kami menghadapi masalah untuk penyambungan semula diantara peranti iOS dan Sonos. Perlu melakukan penetapan semula. Ia tidak berlaku pada peranti Android.
  • Melalui aplikasi Sonos pada sistem operasi OSX Mavericks, ia mengambil masa sehingga 20 minit untuk menghubungkan semula pemain tersebut. Ianya tidak diketahui sama ada masalah pada sistem operasi ataupun masalah dalam kestabilan rangkaian WiFi di rumah.
  • Untuk memainkan lagu dari iTunes pada komputer, perlu menetapkan supaya komputer tidak memasuki mod standby. Dalam kes ini, banyak kuasa akan digunakan kerana komputer akan sentiasa beroperasi
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd