Ulasan – Assassin’s Creed IV Black Flag

Ulasan – Assassin’s Creed IV Black Flag

Diterbitkan pada November 15, 2013 oleh .

Assassin’s Creed ialah antara permainan komputer dengan jalan cerita dan premis yang menarik. Desmond Miles, protagonis siri ini melayari memori silam nenek moyang beliau menggunakan teknologi Animus ciptaan Abstergo Industries. Semua ini dilakukan bagi membantu Desmond dan rakan-rakan kumpulan pembunuh upahan beliau mencari artifak peninggalan peradaban manusia awal dari jatuh ke tangan Knights Templar yang kini dikenali sebagai Abstergo. Kami menghabiskan ratusan jam bermain lima permainan Assasin’s Creed yang muncul sebelum Assasin’ Creed IV Black Flag. Masalah yang kami hadapi dan sering dengari tentang francais AC sekarang ialah jalan cerita yang semakin kompleks dan tiada pengenalan kepada mekanik permainan baru. Malahan bolehlah dikatakan AC Revelation mengurangkan jumlah senjata yang boleh digunakan oleh Ezio Audiotore. AC III pula adalah terlalu bosan kerana ianya berkisar tentang sejarah kemerdekaan Amerika Syarikat dari belenggu empayar British. Tambah membosankan ialah jalan cerita yang perlahan serta pengenalan senjata baru yang membosankan. Benda paling menarik tentang AC III ialah misi menggunakan kapal Aquila. Malang sekali misi peperangan laut di dalam AC III adalah terlalu singkat, sedikit dan terhad. Assassin’s Creed IV Black Flag cuba mengubat kekecewaan AC III dengan membolehkan anda mengawal Edward Kenway seorang lanun di zaman kegemilangan lanun di awal kurun ke 18.

Jalan Cerita

Assasin’s Creed IV Black Flag berlaku setahun selepas berakhirnya AC III. Selepas kematian Desmond Miles di tangan Juno, otak Desmond diambil oleh Abstergo dan seperti nasib Subject 16 ianya dijadikan bahan ujikaji oleh mereka. Hasil dari ujikaji ini terhasillah teknologi konsol permainan komputer Animus yang membolehkan sesiapa sahaja mendalami memori DNA keluar Desmond. Anda kini mengawal seorang pekerja tanpa nama yang bertugas di Abstergo Entertaintment dan bertanggung jawab melakukan ujian terhadap permainan komputer terbaru mereka Devils of The Caribbean. Apa yang berlaku di dalam Black Flag bolehlah dikatakan sebagai videogameception. Anda bermain sebuah permainan komputer di dalam sebuah permainan komputer! Misteri yang perlu dijawab di dalam Black Flag ialah apakah perancangan Knights Templar seterusnya dan mengapa anda perlu memainkan memori Edward Kenway?

abstergois

Sebagai Edward Kenway pula anda cuba mengungkai misteri pergaduhan diantara kumpulan pembunuh upahan dan Templars. Harus diingatkan Black Flag ialah kisah pengembaraan Edward Kenway, datuk kepada Connor, watak utama ACIII.  Sebagai seorang lalun yang hidup ketika zaman kegemilangan lalun Caribbean, anda bebas melakukan apa sahaja tanpa halangan kod moral Templar ataupun pembunuh upahan. Sepanjang pengembaraan sebagai Edward anda menemui lanun-lanun ternama seperti Blackbeard, Charles Vane, Stede Bonnet, Bart Robert , Jack Rakham dan Anne Bonny. Seperti siri-siri AC yang lain penulis di Ubisoft bijak memasukkan elemen fiksyen dengan sejarah sebenar yang berlaku ke atas watak-watak lanun bersejarah di atas. Jalan cerita Black Flag ialah  yang paling lemah jika dibandingkan dengan AC sebelumnya kerena tidak banyak kesinambungan cerita pencarian artifak atapun peperangan diantara dua mush kesumat Templar dan pembunuh upahan.  Watak Musuh-musuh Templar yang perlu dibunuh juga tidak diterangkan secara menyeluruh. Usai membunuh mereka anda tidak merasakan seperti melakuakn sesuatu yang signifikan. Akibatnya membunuh Templars terasa seperti membunuh askar biasa.

Corak Permainan dan Kawalan

Tidak seperti AC III, Black Flag secara terus membenarkan anda mengawal kapal milik anda iaitu Jackdaw. Kapal jenis brigantine ini dikawal oleh anda setiap masa untuk melawat puluhan bandar, bangkai kapal karam dan kuil Mayan yang wujud di dalam dunia Black Flag. Kerana Edward Kenway bukan seorang pembunuh upahan ataupun agen Templars anda bebas melakukan apa sahaja dari awal. Kami langsung tidak menyentuh misi jalan cerita utama selama berpuluh jam kerana lebih seronok berlayar dan membuka peta dunia Black Flag yang amat besar. Kami berasa lebih seronok menjadi lanun dan menyamun kapal dagang milik Sepanyol dan Inggeris. Mungkin ini cara kami melepaskan geram dengan kebosanan AC III yang kami beli tahun lalu. Wang dari melanun ini kemudiannya digunakan untuk menaik taraf Jackdaw supaya menjadi kapal lanun paling ditakuti di lautan Caribbean.

AC4_1

Terdapat beberapa perubahan dari segi kawalan kapal Black Flag berbanding AC III. Pertama sekali kemampuan menembak grape dan chain shot dihadkan. Tembakan rantai kini hanya boleh digunakan pada meriam hadapan kapal. Kemampuan grape shot dihentikan tetapi digantikan dengan mortar jarak jauh. Secara keseluruhan sistem peperangan dan kawalan kapal Black Flag adalah jauh seronok berbanding AC III. Seperkara lagi yang berbeza di dalam Black Flag ialah kapal yang disamun boleh ditenggelamkan atau dinaiki oleh anda. Kemudian anda diberi pilihan untuk membaiki Jackdaw menggunakan bahan dari kapal yang dikalahkan atau menyerahkannya kepada krew anda untuk menjadi sebahagain dari armada peribadi anda.

Kapal yang menyertai armada peribadi Kenway ini kemudiannya akan melakukan aktiviti dagangan dan memberikan anda wang sepanjang masa. Ini menggantikan sistem dagangang Davenport Homestead dari AC III. Sistem dagangang masih sama cuma kali ini misi boleh dilakukan dengan bantuan rakan. Rakan-rakan atas talian boleh memilih untuk mempercepatkan masa pelayaran atau membaikai kapal anda yang rosak.  Sistem ini menggalakkan anda untuk berinteraski dengan kawan atas talian kerana ada misi perdagangan yang mengambil masa 12 jam untuk dilaksanakan.

assasinc-reeeds

Selain daripada misi utama dan perdagangan terdapat juga misi tambahan memburu dengan menggunakan tempuling, memburu harta karun, kunci tamadun Mayan, menyelam bangkai kapal karam dan mengumpul serpihan Animus. Kesemua misi sampingan ini tidak wajib dilakukan untuk meneruskan plot permainan tetapi perlu untuk mendapatkan senjata dan penambah baikan terbaik untuk kapal Jackdaw.

air

Mod permainan tambahan yang kami nyatakan di atas memberikan variasi kepada pemain tetapi kami rasakan ketiadaan mod mencari artifak Pieces of Eden sambil memanjat monumen sejarah seperti yang ada di dalam Brotherhood membuatkan permainan ini terasa kurang epik. Teka – teki bagi membuka bilik rahsia di Colosseum, St Peter’s Basilica dan Hagia Sophia masih segar diingatan kami kerana ianya antara misi paling menarik Assassin’s Creed. Kami berharap di dalam siri AC seterusnya pihak Ubisoft akan mengembalikan mod permainan ini.

Untuk misi diluar animus pula anda mengawal pemain dari pandangan pertama (first person) dan majoriti misi yang perlu anda lakukan ialah misi menggodam komputer yang terdapat di dalam pejabat. Setiap kali godaman berjaya dilakukan anda mengetahui lebih banyak tentang rancangan rahsia Abstergo. Misi luar Animus ini adalah menarik kerana berbeza dari misi-misi yang ada sebelum ini. Variasi seperti ini memang kami alu-alukan kerana tidak membosankan.

godam

Grafik

Grafik Black Flag adalah yang tercantik untuk siri ini setakat ini. Air Lautan Caribbean beralun dengan realistik sekali dan dipenuhi pelbagai hidupan laut. Kitaran siang , malam, cerah dan ribut dunia Black Flag juga nampak hidup. Yang mengecewakan bagi kami ialah bandar-bandar utama Nassau, Havana dan Kingston yang kurang menarik jika dibandingkan dengan bandar Rom , Juruselem dan New York yang muncul sebelum ini. Tiada monumen tinggi dan megah di dalam bandar-bandar Lautan Caribbean ini dan akibatnya ianya terasa agak kosong.

Kami bermain Black Flag versi konsol PlayStation 3 dan kami menyedari perubahan dari segi grafik diantara versi ini dan PS4 adalah kecil. Black Flag edisi PlayStation 4 mempunyai lebih banyak kesan khas seperti simulasi air yang realistik, rintikan hujan, asap volumetrik dan resolusi yang lebih tinggi. Bagi sebuah konsol yang berusia tujuh tahun PS3 masih mampu memaparkan grafik yang cantik cuma kami sedari ada berlaku sedikit masalah sela masa apabila terlalu banyak objek di skrin. Sungguhpun begitu masalah sela masa ini tidak berlaku dengan kerap sehingga membuatkan anda gagal menyelesaikan misi.

honrigold

Kesimpulan

Pada pendapat kami Assassin’s Creed Black Flag ialah Assassin’s Creed kedua terbaik sejak Brotherhood. Pemain tidak dikekang oleh jalan cerita utama dan bebas melakukan aktiviti melanun sekiranya mereka mahu. Jalan ceritanya mungkin agak lemah tetapi misi serta aktiviti baru yang boleh anda lakukan di dalam Black Flag mengimbangi kelemahan jalan cerita ini. Pilihan Ubisoft untuk menjadikan misi diluar Animus dari pandangan pertama juga kami rasakan cukup baik kerana memberikan variasi kepada jenis misi yang boleh dilakukan. Secara keseluruhan kerana pilihan misi dan variasi yang ada anda memerlukan 60 jam untuk melakukannya semua. Kami cuma terkilan misi mencari Pieces of Eden yang memerlukan kami menyelesaikan teka-teka dengan memanjat monumen ternama tidak wujud di dalam Black Flag.  Misi menyelam kapal karam dan kunci kuil Mayan menggantikan mod permainan ini tetapi ianya tidak memberikan kepuasan atau perasaan epik yang kami mahukan.

Dari segi grafik Black Flag mempunyai grafik yang cukup baik sungguhpun pada konsol PlayStation 3 yang sudah ketinggalan zaman. Simulasi ombak laut dan hidupa didalamnya cukup mengagumkan. Perbezaan dari segi grafik konsol PlayStation 3 dan PlayStation 4 pula tidak ketara bezanya.

JIka anda sudah bermain siri-sir Assassin’s Creed sebelum ini anda wajib memiliki Black Flag kerana ia mengembalikan keseronokan bermain siri yang menjadi bosan kerana AC3. Apa yang anda nantikan? Belilah permainan komputer ini sekarang. Jumpa anda di dalam Animus!

PRO dan Kelebihan
  • Jalan cerita yang lebih pantas dan tidak berbelit-belit seperti AC III, Misi diluar animus kini dari perspektif pandangan pertama. Ini memberikan variasi dari misi biasa. Kepelbagaian misi ini membuatkan Black Flag lebih seronok dimain tanpa muncul rasa bosan.
  • Grafik yang cantik. Air lautan Caribbean nampak realistik dan dipenuhi pelbagai hidupan laut.
  • Kemampuan menyerang mana-mana kapal di lautan. Anda boleh belayar selama berjam-jam lamanya tanpa perlu melakukan misi utama. Terasa seperti simulasi Sid Meier Pirates! edisi 2013.
  • Aplikasi skrin kedua membolehkan anda bermain Black Flag tanpa konsol. Permainan mini misi perdagangan di dalam aplikasi skrin kedua ini agak menarik
KONTRA dan Kekurangan
  • Jalan cerita yang agak lemah. Mitologi dan kesinambungannya dengan siri Assassin’s Creed yang lain terlalu sedikit.
  • Mekanik menaiki kapal musuh untuk dirompak tidak mempunyai banyak variasi. Berulang terlalu kerap
  • Senjata baru yang tidak mearik.
  • Tiada misi menyelesaikan teka-teki sambil memanjat seperti yang ditemui di dalam AC  II, Brotherhood dan Revelations. Ini membuatkan Black Flag kehilangan faktor epik.

Assassin’s Creed IV Black Flag dijual dengan harga RM 169 untuk versi PS3 .


TIPS & ULASAN