Mari Mengenali Angka Ketahanan IP

Mari Mengenali Angka Ketahanan IP

Diterbitkan pada November 17, 2013 oleh .

Sejak akhir-akhir ini banyak pengeluar hadir dengan beberapa peranti tahan lasak seperti kalis daripada air dan habuk. Setiap peranti sebegini turut diberi nilai IP untuk mengetahui setakat manakakah telefon tersebut tahan dari segala aspek. Kita sering dengar IP54, IP57, IP58, tetapi apakah maksud disebalik angka tersebut?

Pada umumnya, IP dari segi ketahanan peranti membawa maksud ‘Ingress Protection’ dan setiap peranti yang hadir dengan nilai IP ini untuk menentukan sejauh manakah tahap perlindungan yang diberi. Untuk mengenal pastinya, selepas anda melihat singkatan ‘IP’, ia diikuti dengan dua digit dari 0-6 dan 0-8.

Untuk digit pertama, ia membawa maksud perlindungan mekanikal seperti yang tertera di bawah.

IP Test Final

Untuk angka kedua pula ia membawakan tahap bacaan IP dari segi perlindungan daripada air.

IP Test 2 Final

Apabila kedua angka-angka ini digabungkan, ia menunjukkan bagaimana peranti ini diberi perlindungan sama ada pada ketahaan binaan dan juga perlindungan daripada air. Sebagai contoh, Xperia Z yang mempunyai angka IP55 dan IP57.

IP55 yang dibawa oleh Xperia Z membawa maksud “perlindungan daripada habuk yang dapat mengganggu kelancaran operasi di dalam peranti” dan “perlindungan daripada air pancuran tekanan rendah”. Untuk IP57, ia hadir dengan “perlindungan daripada habuk yang dapat mengganggu kelancaran operasi di dalam peranti” dan “perlindungan daripada rendaman sehingga 1 meter”.

Xperia Z

Salah satu cara membolehkan pengeluar hadir dengan spesifikasi IP ini dengan mendatangkan penutup pada binaan telefon seperti pentutup di bahagian port USB, headphone jack 3.5 mm, dan port HDMI.

Melalui cara ini sedikit sebanyak agak menyukarkan pengguna terutamanya ketika ingin menggunakan beberapa sambungan tersebut. Contohnya ketika ingin mengecas telefon, pengguna perlu membuka penutup port USB dan sekiranya ia dibuka dengan kerap, lama kelamaan ia akan ‘haus’ seperti yang terdapat pada Xperia Go. Beberapa solusi lain seperti yang hadir pada Xperia Z dengan menghadirkan sambungan dock pengecas tersendiri, tetapi pada lubang headphone jack, ia perlu dibuka dan dibiarkan terjuntai ketika menggunakan lubang tersebut.

Sony Xperia Z

Walaupun telefon yang hadir dengan spesifikasi ini dapat memberi banyak manfaat dari segi keselamatan dan perlindungan tambahan, soalan seperti “bolehkah telefon jenis ini hadir tanpa sebarang penutup tersebut?”, mungkin akan terjawab tidak lama lagi.

Teknologi terbaru yang diberi nama Crystalusion Liquid Glass dapat menghadirkan spesifikasi ketahanan IP yang tinggi tanpa lagi perlu didatangkan dengan penutup sebagai perlindungan pada binaan peranti.

Baru-baru ini, Sony Xperia Z Ultra yang diberi angka IP58 hadir dengan lubang headphone jack 3.5mm yang dibiarkan terdedah tanpa sebarang perlindungan, walaupun pada bahagian port lain dilindungi dengan penutup tambahan padanya.

Sekiranya teknologi ini digunakan lebih meluas lagi pada masa akan datang, peranti yang bakal hadir kelak mungkin dapat menjadi penyelesaian kepada permasalahan ini. Tiada lagi penutup yang menyukarkan pengguna dan tiada lagi masalah penutup longgar atau ‘haus’ pada port sambungan telefon.

Dengan kehadiran teknologi ini juga mungkin kita akan dapat lihat lebih banyak lagi peranti biasa akan hadir dengan ketahanan yang tinggi dan tidak lagi terhad kepada peranti yang direka spesifik untuk tahan lasak seperti mana Sony lakukan pada peranti Xperia mereka.

130904-xperia-640x427

Diharapkan pada paparan kali ini dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan dari segi nilai ketahanan IP dan sedikit permasalahan yang dialami oleh peranti mempunyai ketahanan yang tinggi hari ini.

Sekiranya anda pengguna peranti ketahanan IP yang tinggi ini, mungkin ada pengalaman menarik atau permasalahan yang sering dihadapi dan kongsikan kepada kami sepanjang menggunakan peranti jenis ini.


TIPS & ULASAN