Pandang Pertama Playstation 4
Artikel Berkaitan

Pandang Pertama Playstation 4

Diterbitkan pada November 18, 2013 oleh .

 

Sony PlayStation 4
Cip Pemproses AMD Jaguar 8 Teras
Cip Grafik AMD Pitcairn 800 Mhz
RAM 8 Gigabyte
Storan Terbina 500 Gigabyte
Cakera Optik BluRay
USB 2 USB 3.0
Fungsi Tambahan  output audio optikal, Playstation Camera

Konsol generasi ke-empat PlayStation akan mula dijual di Malaysia 20 Disember ini. Khamis lalu kami berpeluang untuk melihat sendiri konsol ini di majlis pelancarannya. Dari segi rekabentuk, PlayStation 4 mempunyai rekaan yang agak aneh kerana mempunyai sisi yang menyendeng. Bahagian hadapannya diletakkan 2 port USB 3.0 dan pemacu optik BluRay. Butang  kuasa dan mengeluarkan cakera optik yang kecil juga terletak pada bahagian konsol. Bahagian belakang pula terdapat port output HDMI, output audio optikal, port LAN dan port AUX yang digunakan untuk menyambung Playstation Camera. Majoriti bahagian belakang PS4 didominasi oleh lubang saluran udara keluar yang besar. Pada bahagian tepi pula terdapat lubang saluran udara masuk yang agak tersorok.

PS4M1680015

Port Multi Out yang digunakan sejak PlayStation 1 tidak lagi disokong. Hanya output HDMI disokong oleh PS4. Ini adalah berita kurang baik bagi mereka yang masih mengggunakan televisyen analog  yang memerlukan component input. Selain ketiada sokongan component output, PS4 juga tidak mempunyai penerima  infra merah. Ini bermakna  pengawal pemain BluRay PS3 anda tidak lagi boleh digunakan.

PS4M1680014

DualShock 4

Pengawal permainan DualShock juga diberikan perubahan yang drastik. Dualshock 4 lebih besar berbanding Dualshock 3. Bahan binaan pada bahagian bawah pengawal ini bertekstur bagi memudahkan genggaman. Dua butang pengawal analognya kini mempunyai permukaan yang cekung dan tidak lagi kembung seperti tiga generasi DualShock sebelum ini. Butang start pula digantikan dengan butang share yang kini tidak lagi terletak pada bahagian tengah pengawal. Terdapat juga sebuah pembesar suara diantara dua pengawal analog dan butang PlayStation diletakkan di bawahnya. Jack fon telinga juga disertakan pada pengawal generasi ke empat ini. Ini membolehkan anda menyambung fon telinga dan mic yang disertakan sekali apabila anda membeli PS4. Perubahan paling ketara ialah kini terdapat pad sesentuh pada bahagian atas DualShock 4 disamping sebuah lightbar pada bahagian depannya.

Sususan butang-butang kawalan permainan utama dikekalkan cuma rekaan picu R2 dan L2 kini menyerupai picu pistol bukan lagi butang yang ditekan kedalam seperti picu R1 dan R2.  Rekaan bahagian genggaman DualShock4 juga diberikan penambah baikan dimana ianya kini lebih selesa dipegang.

[youtube http://www.youtube.com/watch?v=mfD0hkC1Sy8]

Perisian Dan Fungsi

Antaramuka XMB diolah untuk kelihatan lebih moden. Kerana mengikut trend semasa, antaramuka kali ini mengutamakan perkongsian sosial. Anda boleh melihat gambar, video dan juga trofi terkini yang dikongsi oleh teman-teman PlayStation Network anda. Bagi mereka yang gemarkan elemen media sosial perubahan ini pastinya sudah lama anda mahukan kerana notifikasi sebegini tidak wujud pada PS3.

Pada hari pelancaran kami menghabiskan beberapa jam bermain dengan beberapa demo permainan yang disediakan. Yang paling menarik perhatian kami ialah permainan ekslusif Killzone Shadow Fall. Kesinambungan siri Killzone ini mempunyai kualiti grafik yang sangat mengagumkan. Ia benar-benar menunjukkan kemampuan tinggi grafik PlayStation 4 berbanding kualiti grafik konsol generasi sekarang. Dinding dan objek di dalam dunia Killzone boleh dimusnahkan apabila ditembak. Pergerakan musuh dan skuad juga kelihatan realistik.  Efek letupan, partikel api dan bayang-bayang Killzone juga menunjukkan ianya sebuah permainan generasi akan datang. Killzone Shadow Fall memang sebuah permainan konsol yang akan “menjual” PS4 kepada mereka yang belum pasti mahu memilikinya. Permainan lain yang sempat kami main seperti Knack, Drive Club, Assassin’s Creed IV dan Dynasty Warrior 8 pada pendapat kami tidak menunjukkan kemampuan grafik setanding Killzone. Disinilah pada pendapat kami terdapat kelemahan untuk pembeli awal konsol ini. Ketiadaan permainan yang boleh dimainkan membuatkan pembelian berharga RM1799 terasa seperti agak membazir. Kami berharap masalah ketiadaan permainan yang baik untuk dibeli pada awal kemunculan PS3 tidak berlaku pada PS4.

Kami difahamkan Playstation 4 tidak akan menyokong format audio MP3 dan juga kemampuan membaca cakera padat. Sokongan memainakan media melalui perkongsian media server juga tidak ada buat masa ini tetapi pihak Sony ada berkata mereka mungkin akan membawa sokongan fungsi yang kerap kami gunakan pada PS3 kami ini pada masa akan datang. Kami tidak tahu mengapa fungsi-fungsi ini dibuang sedangkan umum diketahui pada zaman sekarang konsol tidak berfungsi hanya sebagai sebuah konsol permainan tetapi sebagai alat pemain pelbagai media di rumah.

PRO dan Kelebihan

  • Binaan yang kemas dan tegap. Mengingatkan kami kepada konsol Playstation 2 generasi pertama
  • Pengawal DualShock 4 yang lebih selesa dipegang dari DualShock 3. Keseluruhan pengawal diberikan penambah baikan. Dua butang kawalan analog kini cengkung bagi memastikan jari tidak mudah tergelincir. Bahagian bawah yang bertekstur juga membantu mengekalkan genggaman
  • Kipas yang tidak bising. Kepada pemilik PlayStation 3 bunyi kipas penyejuk yang agak bising adalah sesuatu yang agak menjengkelkan.
  • Menyokong video dan gambar beresolusi 4K.

KONTRA dan Kekurangan

  • Tiada lagi sokongan memainkan CD Audio, media server dan alat kawalan jauh BluRay PS3.
  • Barisan permainan yang kurang menarik setakat ini.

TIPS & ULASAN