Raspberry Pi sememangnya tidak asing lagi dalam dunia pengkomputeran. Ia hadir dengan ciri-ciri asas untuk membina sebuah set komputer pada kos rendah dan menariknya, ia didatangkan dalam bentuk peranti sekecil saiz kad kredit sahaja. Kini, jualan Raspberry Pi dilaporkan sebanyak 2 juta unit telah dijual sehingga kini.
Pada awal tahun ini, Raspberry Pi telah melepasi angka jualan sebanyak 1 juta unit dan dilihat semakin mendapat permintaan hari demi hari. Dengan hasil jualan lebih 2 juta pada hari ini, Raspberry Pi terus mengukuhkan usaha untuk meningkatkan nilai kreativiti kepada pengguna selain membantu untuk menggalakan penggunaan komputer terutamanya kepada negara-negara membangun.
Raspberry Pi telah diperlihatkan kepada umum pada pertengahan 2011 yang mana ia direka untuk pengkomputeran berkuasa rendah dan ditawarkan pada harga yang berpatutan. Melalui peranti ini, ia hadir dengan beberapa fungsi asas pengkomputeran yang membolehkan para pengguna membina sebuah set komputer serta hadir dengan kebolehan untuk menjalankan sistem operasi padanya.
Pada pasaran tempatan, Raspberry Pi boleh didapati di atas talian pada harga sekitar RM145 dan juga melalui beberapa pengedar seperti Thunder Match yang menawarkan harga RM199 untuk seunit peranti ini.