Cari @ Amanz

Microsoft sebelum ini telah memberikan tawaran sebanyak $7.2 bilion untuk pengambil-alihan bahagian peranti Nokia oleh mereka. Kini, selepas lebih kurang dua bulan, ia dilihat pemegang saham Nokia telah pun memberikan “lampu hijau” untuknya.

Walaupun terdapat sebahagian kecil yang tidak menyukai pengambil-alihan ini, namun ia dilihat majoriti daripadanya memberikan pengesahan, sekaligus akan membuatkan bukan sahaja bahagian peranti dan perkhidmatan Nokia menyertai Microsoft, tetapi beberapa eksekutif turut akan menyertainya – termasuk Stephen Elop, CEO Nokia.

Nokia sedia mempunyai hampir keseluruhan pasaran Windows Phone melalui jenama Lumia mereka. Namun, ia tidak diketahui bagaimanakah pihak Microsoft akan meneruskan pembangunan Asha.

Nokia pula, akan terus beroperasi dengan memfokuskan kepada bahagian pemetaan -HERE Maps, tawaran rangkaian telekomunikasi, dan beberapa perkhidmatan lain lagi.

Seperti biasa, selepas ini mereka akan melalui fasa pengesahan daripada pihak berkuasa, dan mungkin jika semuanya berjalan lancar, kita akan melihat pengintegrasian bermula awal tahun hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd