Bagaimana Syarikat Rakaman Bakal Memanfaat Dari Khidmat Penstriman Audio Oleh YouTube?

Bagaimana Syarikat Rakaman Bakal Memanfaat Dari Khidmat Penstriman Audio Oleh YouTube?

Diterbitkan pada November 21, 2013 oleh .

TechTamburYouTube dikatakan bakal memulakan khidmat audio-streaming, lebih kurang menyerupai Spotify, Deezer dan Rdio dan dijangka berkemungkinan akan muncul seawal bulan Disember tahun ini. Isu ini menyentuh dua perkara: jumlah besar pengguna yang sedia ada dan pendapatan bulanan. Spotify mempunyai lebih kurang 6 juta pelanggan berbayar yang aktif tetapi pada hari ini lebih daripada 1 billion orang menonton YouTube setiap bulan di seluruh dunia.

Sekiranya YouTube ada peluang untuk mendapat separuh, mahupun satu-per-empat pendapatan yang dijana oleh Spotify, itu adalah salah satu perniagaan yang luarbiasa. “Spotify tidak mempunyai pemasaran dan pangkala data pengguna seluas YouTube, tidak sedikit pun.

Khidmat ini mungkin akan berputik dari mobile app YouTube, dan juga mungkin hadir dengan beberapa fungsi seperti beberapa perkhidmatan di luar sana, seperti langganan bulanan, hadir tanpa iklan, pendengaran offline, fungsi membentuk playlist sendiri dan juga berkebolehan dimainkan sambil mengguna aplikasi lain.

Wakil YouTube enggan memberi penjelasan mendalam buat masa ini; “Kami sentiasa mengusahakan cara baru dan cara lebih baik untuk orang ramai melanggani kandungan YouTube tidak kira di web atau mobile, memberi rakan-kongsi (artis dan syarikat rakaman) kami lebih banyak peluang untuk mendekati penggemar. Walaubagaimanapun, kami tidak akan mengumumkan apa-apa lagi pada ketika ini”.

Spotify - Deezer - Rdio

Ramai eksekutif dari syarikat rakaman berharap khidmat baharu ini menawarkan pengalaman mendengar muzik yang baik melalui YouTube. Walaupun syarikat video terbesar di dunia itu telah mendapat pujian untuk memberi bayaran royalti kerap kepada artis, pencipta lagu dan pemilik syarikat rakaman, kadang memang sukar untuk peminat YouTube mencari video rasmi dari akaun saluran yang sah, jika dibandingkan dengan Spotify. YouTube telah memikirkan khidmat langganan ini berbulan-bulan lamanya sehinggakan perjanjian bersama pemilik syarikat rakaman telahpun dibuat seawal setahun yang lalu. Ia boleh dijalankan searus dengan Google Play Music All Access, yang dimiliki juga ibu syarikat YouTube, sekaligus memberi Google dua saluran pendapatan; muat-turun dan streaming.

“Jenama YouTube adalah lebih berkuasa dalam minda orang ramai daripada Google Play buat masa sekarang”, kata Jeremie Varengo, mantan pengurus muzik digital di Universal Music. “Mungkin jenama YouTube boleh menyerap Google Play dan terbinalah khidmat gergasi yang bakal bertanding dengan iTunes dan iTunes Radio.” Ramai eksekutif syarikat rakaman telah meramalkan khidmat langganan audio streaming akan lebih popular dari budaya muat-turun muzik cara iTunes. Peredaran ini akan membuat perkerja industri muzik lebih bahagia – yang terpaksa menurunkan harga CD dari $15-$18 kepada $0.99 setiap satu MP3 sepanjang sedekad yang berlalu. Khidmat $10 sebulan adalah lebih menguntungkan apabila dibandingkan. “Pendapatan berulang adalah fenomena dalam dunia perniagaan” kata sumber syarikat rakaman besar, “YouTube kini ada peluang untuk melakukannya juga”. Audio streaming (mendengar muzik tanpa memuat-turun) baru menjadi popular sekitar dua tahun yang lepas.

Untuk kali pertama sejak tahun 1999, pendapatan dari penjualan muzik telah meningkat, walaupun pada kadar yang amat kecil (sekitar 0.3% menurut International Federation of the Phonographic Industry). Dengan hadirnya laman-laman penstriman audio ini, penjualan muat-turun MP3 dilihat makin menyusut, namun pendapatan berulang adalah salah satu perniagaan yang lebih sihat kepada syarikat rakaman.

Pengguna juga lebih selesa untuk menghabiskan sekitar $10 setiap bulan tanpa sebarang masalah, dan mengakses kepada jutaan lagu melaluinya.

Di Malaysia sendiri, pada tahun 2013 kita telah sedia melihat pelbagai syarikat penstriman audio memperkenalkan perkhidmatan mereka untuk pengguna negara ini. Spotify, Deezer dan juga Rdio telah sedia menawarkan perkhidmatan mereka.

Tidak ketinggalan adalah syarikat telekomunikasi tempatan yang bekerjasama dengan syarikat penyedia penstriman audio ini dalam memberikan nilai tambah untuk pelanggan mereka. Maxis di Malaysia telah sedia bekerjasama dengan pihak Spotify, sementara DiGi pula bekerjasama dengan pihak Deezer. Harga tawaran langganan juga amat rendah, dimana boleh didapati bawah RM15 untuk sebulan melalui perkhidmatan ini.

Buat masa ini, pihak Google tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkhidmatan penstriman audio mereka. Google sendiri mempunyai Play Music yang mana masih terhad untuk beberapa negara sahaja, dan masih belum tiba ke Malaysia buat masa ini. Sebaliknya, untuk YouTube, YouTube Malaysia telah sedia dilancarkan dengan beberapa jenama besar di Malaysia telah menjadi rakan kerjasama untuknya.

Mungkin juga kita akan melihat integrasi dua perkhidmatan seperti yang dilakukan pada Google Play Newsstand baru-baru ini, yang mengintegrasikan khidmat langganan YouTube, ataupun mungkin juga Google akan mengekalkan jenama YouTube tersebut sendiri. Apa pun, sama-sama kita nantikan apakah yang bakal dibawakan oleh YouTube, dan bagaimanakah perkhidmatan penstriman audio akan berkembang serta menguntungkan para artis dan syarikat rakaman seluruh dunia.

P.S : Online radio syiok sendiri bakal pupus lah ya?

Terjemahan dan olahan oleh Imran Ajmain. Ikuti beliau di Twitter @ImranAjmain, ataupun langgani saluran YouTube rasmi beliau. Anda juga boleh mengikuti penulisan beliau di laman ImranAjmain.com


TIPS & ULASAN