Lenovo A369i – Peranti Dwi-Teras Dengan Android 4.2 Jelly Bean Pada Harga RM289

Lenovo A369i – Peranti Dwi-Teras Dengan Android 4.2 Jelly Bean Pada Harga RM289

Diterbitkan pada November 24, 2013 oleh .

Lenovo boleh dikatakan sering hadir dengan peranti spesifikasi menarik pada harga yang berpatutan. Salah satu peranti yang menjadi daya tarikan kami minggu ini ialah Lenovo A369i yang mula ditawarkan pada harga RM289.

Direka untuk tahan lasak dan gemarkan gaya hidup aktif, Lenovo A369i hadir dengan pemprosesan dwi-teras MTK 6572 1.3GHz, memori sebesar 512MB RAM, muatan dalaman sebanyak 4GB dengan sokongan microSD, skrin sebesar 4-inci, dan dijana menggunakan Android 4.2.2 Jelly Bean.

Lenovo Fix

Apa yang menarik tentang peranti ini, ia juga tampil dengan sokongan dwi-sim dengan sokongan dwi-mod sedia membolehkan anda menjawab panggilan dan menerima mesej tanpa perlu mengubah sebarang tetapan sim.

Turut didatangkan bersama peranti ini beberapa sambungan asas seperti sambungan HSDPA dengan kelajuan 7.2 Mbps, sokongan WiFi & GPS, dan sambungan Bluetooth 3.0.

Bercakap mengenai ketahanan bateri, Lenovo A369i dilengkapi dengan kapasiti bateri sebesar 1500 mAh dengan masa sedia selama 12 hari. Kami difahamkan ia juga hadir dengan masa panggilan sehingga 14 jam untuk panggilan dengan sambungan 2G dan 8 jam untuk sambungan 3G.

Cuma apa yang menjadi kekurangan pada peranti ini ialah kameranya hanya dilengkapi dengan sensor sebesar 2MP sahaja.

Namun, sekiranya anda mementingkan prestasi keseluruhan dan mahu merasai keenakan Android 4.2 Jelly Bean pada harga rendah, Lenovo A369i adalah satu peranti kemestian buat anda miliki.

Lenovo A369i boleh didapati melalui beberapa pengedar tempatan seperti Thunder Match yang menawarkannya pada harga RM289 untuk seunit peranti ini.


TIPS & ULASAN