Cari @ Amanz

Asus Malaysia hari ini telah mengumumkan yang mana komputer tiga dalam satu mereka, Asus Transformer Book Trio akan mula dijual di Malaysia bermula penghujung minggu ini.

Asus Transformer Book Trio

Secara kasarnya, ia boleh dikatakan membawakan konsep sama dengan Asus Transformer AIO sebelum ini, tetapi pada saiz yang lebih kecil dan dengan rekabentuk yang menarik.

Transformer Book Trio dilengkapi dengan dua cip pemprosesan dan juga dua sistem operasi. Ketika digunakan dalam mod “PC Station”, ia hadir dengan cip pemprosesan Intel Haswell dan sistem operasi Windows 8 – sesuai untuk pelbagai tugasan berat menggunakannya. Apabila ia ditanggalkan, Transformer Book Trio beroperasi sebagai tablet, dan dilengkapi cip Intel Atom dwi-teras serta menjalankan sistem operasi Android. Asus Transformer Book Trio ini hadir dengan skrin sentuh bersaiz 11.6-inci.

Selain daripada dua mod tersebut, pengguna juga boleh menanggalkan papan kekuncinya, dan mengabungkan ia kepada monitor. Papan kekuncinya sendiri menyertakan spesifikasi khas, iaitu cip Intel Haswell, Intel HD 4400, memori 4GB RAM, ruangan storan sehingga 1TB dan beberapa port utama melaluinya.

Asus Transformer Book Trio

Ketika digunakan dalam mod “PC Station”, Transformer Book Trio ini boleh diubah antara sistem operasi Windows 8 dan Android 4.2 dengan hanya menekan sebuah kekunci khas pada papan kekunci, dilabelkan sebagai “Trio”.

Di Malaysia, dua variasi ditawarkan, dimana versi Core i7 dijual pada harga RM4099, sementara versi Core i5 pula pada harga RM3799.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd