Telefon Pintar Pertama Jolla Sailfish OS Mula Dijual Kepada Umum

Telefon Pintar Pertama Jolla Sailfish OS Mula Dijual Kepada Umum

Diterbitkan pada November 28, 2013 oleh .

Jolla sebelum ini telah dimulakan oleh sekumpulan bekas pekerja dari Nokia, dan setelah memperlihatkan platform dan peranti mereka sebelum ini, hari ini secara rasminya mereka melancarkan peranti pertama mereka kepada umum.

Telefon pintar pertama berasaskan Sailfish OS ini akan dikenali dengan nama “Jolla”, dan kebanyakkan daripadanya telah di pra-tempah oleh pengguna seluruh dunia, dijangka akan diterima oleh mereka dalam beberapa minggu lagi.

Untuk makluman, Sailfish OS ini dibangunkan berasaskan kepada platform MeeGo daripada Nokia. Nokia sebelum ini telah menggunakannya pada Nokia N9, dan dilihat tidak menyambung pembangunannya selepas itu.

Ia boleh dikatakan Jolla masih lagi jauh jikalau dibandingkan dengan beberapa platform seperti Android, iOS, Windows Phone dan sebagainya. Namun, apa yang menariknya, Jolla sedia mempunyai peminat mereka tersendiri, selain permintaan untuknya yang agak tinggi daripada pengguna seluruh dunia.

Telefon pintar Jolla pertama ini dilengkapi dengan skrin bersaiz 4.5-inci qHD, cip pemprosesan dwi-teras Qualcomm Snapdragon, memori 1GB RAM, ruangan storan 16GB, dan juga kamera belakang 8-megapixel. Ia turut hadir dengan sokongan HERE Maps, disamping membawakan Yandex.Store untuk pemasangan aplikasi Android.


TIPS & ULASAN