Cari @ Amanz

Spotify merupakan salah satu perkhidmatan penstriman lagu yang sedia menawarkan perkhidmatan secara percuma pada desktop dan secara berbayar pada peranti mudah-alih. Selepas memperluaskan perkhidmatan mereka ke Malaysia awal tahun ini, hari ini Spotify memperkenalkan beberapa perubahan pada perkhidmatan mereka.

Spotify Shuffle

Salah satunya adalah pengenalan perkhidmatan percuma mereka untuk pengguna walaupun diakses pada sebarang peranti.

Spotify ShuffleSpotify mengatakan dengan penggunaan PC yang makin berkurangan dan pengguna peranti mudah-alih yang semakin meningkat, ia seperti tidak lagi relevan untuk hanya percuma pada desktop sahaja.

Perkhidmatan percuma sepenuhnya ditawarkan pada pengguna tablet Android dan juga iOS, dimana ia disokong dengan paparan iklan – sama seperti pada desktop.

Selain hanya untuk tablet, Spotify turut mengumumkan perkhidmatan percuma untuk semua peranti mudah-alih, tetapi ia hadir dengan sokongan yang terhad. Untuk perkhidmatan percuma ini ia tidak hadir dengan sokongan carian dan lebih memfokuskan kepada sokongan shuffle lagu.

Dinamakan Spotify Shuffle, ia menawarkan sokongan seumpama penstriman radio, tetapi pengguna boleh memilih artis kegemaran mereka, dan mendengar lagu-lagu nyanyian artis berkenaan. Tiada sokongan carian yang disediakan dan pengguna hanya boleh shuffle lagu untuk mendengar lagu-lagu yang seterusnya.

Seperti biasa, dengan membayar langganan RM14.90, pengguna ditawarkan dengan beberapa sokongan tambahan pada perkhidmatan penstriman lagu berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd