Cip Pemprosesan Samsung Exynos Baru Akan Diumumkan Pada CES 2014

Cip Pemprosesan Samsung Exynos Baru Akan Diumumkan Pada CES 2014

Diterbitkan pada Dis 28, 2013 oleh .

Samsung bakal menghadirkan diri pada acara CES 2014 ini, dan melalui tweet yang dikongsikan hari ini, ia dilihat syarikat gergasi dari Korea Selatan berkenaan akan memperlihatkan cip Exynos generasi baru mereka.

Samsung Exynos

Daripada tweet pihak Samsung, mereka menyertakan sebuah hashtag #UnlockExynos. Ini sekaligus menyumbang kepada spekulasi sokongan Heterogeneous Multi-Processing (HMP) mungkin hadir melalui cip baru ini kelak.

Melaluinya, ia akan membolehkan semua teras CPU digunakan pada masa yang sama, sekaligus memberikan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, HMP juga boleh mengawal tugas dan membuatkan hanya satu atau beberapa teras sahaja berfungsi untuk sesuatu tugas, sekaligus membolehkan tenaga digunakan dengan lebih efisyen.

Ia dikatakan sokongan HMP sedia terdapat pada Exynos 5 Octa, tetapi masih tidak diaktifkan memandangkan tiada sokongan dari segi perisian dan sebagainya. Namun, pihak Samsung dikatakan boleh mengaktifkannya melalui kemaskini kecil untuknya.

Selain daripada perkara tersebut, beberapa spekulasi sebelum ini turut mengatakan Samsung mungkin hadir dengan cip Exynos 64-bit untuk peranti mudah-alih.

Apa pun, sama-sama kita nantikan apakah yang akan diumumkan oleh Samsung pada CES 2014 ini.


TIPS & ULASAN