Cari @ Amanz

Hugo Barra sebelum ini merupakan salah satu orang kuat di Google untuk bahagian Android, sebelum beralih ke sebuah syarikat pengeluar peranti di China, iaitu Xiaomi. Baru-baru ini, beliau telah meluangkan masa seketika bersama kami, sekaligus berkongsi mengenai Xiaomi yang akan memasuki pasaran Malaysia.

Bersama Hugo Barra - Xiaomi Memasuki Malaysia

Bagi yang tidak mengenali Xiaomi, ia merupakan salah satu syarikat pengeluar peranti di China, dimana mereka mempunyai beberapa jenis telefon pintar, selain turut menawarkan penghala rangkaian, set-top box, perkhidmatan storan awan, dan beberapa perkhidmatan lain.

Bercakap mengenainya, Hugo Barra berkongsi akan yang mana syarikat mereka kini berusia empat tahun, dan sejak ia dimulakan, mereka telah berjaya hadir dengan pelbagai peranti-peranti yang menarik minat ramai. Kebanyakkan peranti mereka boleh dikatakan habis dijual dalam tempoh yang singkat, sekaligus menjadikan nama Xiaomi sering disebut-sebut di media.

Bermula tahun lepas, mereka telah aktif memperluaskan jualan peranti mereka di luar China, dan pada bulan ini mereka akan memasuki pasaran Malaysia secara rasminya. Salah satu peranti baru yang akan memasuki pasaran tempatan adalah Xiaomi Mi 3.

Xiaomi Mi 3

Menariknya mengenai Xiaomi, harga tawaran mereka yang amat murah berbanding kebanyakkan peranti-peranti lain di pasaran. Bercakap mengenainya, Hugo Barra mengatakan mereka berjaya mencapai harga jualan yang murah disebabkan beberapa faktor, termasuk kerana mereka tiada sebarang kos untuk pemasaran produk mereka seperti kebanyakkan pengeluar lain. Xiaomi dilihat lebih percaya kepada bentuk pemasaran natural, iaitu daripada pengenalan pengguna sedia ada kepada rakan-rakan dan ahli keluarga mereka.

Xiaomi juga turut menawarkan peranti mereka secara terus kepada pengguna melalui laman jualan Mi.com, sekaligus mengurangkan keperluan untuk perlu membayar pengedar. Perkara ini menjadi antara faktor mengapa Xiaomi boleh menjualnya pada harga murah, walaupun membawakan spesifikasi peranti yang lebih kurang sama seperti beberapa peranti popular lain.

Selain daripada harga, satu lagi kelebihan Xiaomi adalah komuniti disebaliknya. Pihak Xiaomi menyediakan sebuah forum khusus untuk para pengguna mereka, membolehkan mereka membincangkan pelbagai perkara, disamping memberikan maklumbalas berkenaan beberapa perkara. Hugo Barra turut berkongsi mengatakan terdapat beberapa fungsi yang diintegrasikan pada sistem operasi MIUI adalah hadir daripada pengguna sendiri, selain mengatakan mereka mengambil serius berkaitan maklumbalas daripada pengguna.

Xiaomi Mi 3

Xiaomi menggunakan sistem operasi berasaskan Android (AOSP), tetapi diubah-suai dengan pelbagai penambahan. Dikalangan pengguna, ia dikenali sebagai MIUI. Bersama-sama pengenalan untuk pasaran Malaysia, pihak Xiaomi turut menambah sokongan bahasa Malaysia untuk MIUI. Bercakap mengenainya, Xiaomi mengatakan lebih daripada 12 orang penyumbang bebas telah membantunya tanpa mengharapkan sebarang imbuhan wang untuknya.

MIUI hadir dilengkapi dengan beberapa fungsi menarik, termasuk pilihan pelbagai jenis tema daripada sumbangan komuniti, fungsi sekuriti yang memberikan kawalan untuk pelbagai perkara dan akses internet, sokongan integrasi MiTalk, dan juga sokongan storan awan MiCloud. Xiaomi Mi 3 kelak untuk pasaran tempatan akan hadir dilengkapi dengan pelbagai aplikasi Google, Swiftkey dan juga aplikasi Facebook padanya.

Untuk mereka yang teknikal, anda turut boleh menyertai saluran beta untuk MIUI yang mana dikemaskini setiap penghujung minggu. Menurut Barra, terdapat beberapa fungsi baru yang diuji pada versi beta, dan ia akan ke versi stabil akhir berdasarkan kepada maklumbalas pengguna. Ia dikatakan terdapat juga beberapa fungsi yang tidak hadir ke versi akhir disebabkan pengguna tidak menyukainya.

Sebagai permulaan memasuki pasaran tempatan, pihak Xiaomi akan menawarkan beberapa telefon pintar, dan aksesori untuknya – seperti powerbank, kerangka luar, dan sebagainya. Mereka juga turut merancang untuk membawa masuk beberapa peranti lain, seperti penghala mereka. Apa pun, tiada perancangan untuk membawa MiTV untuk pasaran luar China buat masa ini disebabkan ia dipenuhi dengan perlesenan kandungan di China sahaja buat masa ini, dan mereka tiada kerjasama dengan penerbit kandungan luar buat masa ini.

Xiaomi akan memasuki pasaran Malaysia secara rasminya pada 20 Mei ini, dimana peranti mereka yang pertama akan ditawarkan di Malaysia adalah Xiaomi Mi 3. Mereka juga bakal membawa masuk Xiaomi Redmi selang beberapa minggu selepasnya, dan mungkin selepas itu pelbagai peranti baru lain akan turut ditawarkan mereka.

Untuk proses menjual, ia akan dilakukan melalui Mi.com, dan Xiaomi akan menggunakan PayPal untuk proses transaksi. Tiada perancangan untuk mengintegrasikan sokongan pembayaran perbankan tempatan buat masa ini.

Sebagai persediaan untuk pelancaran Xiaomi di Malaysia, mereka juga telah menyediakan pusat perkhidmatan di sekitar Semenanjung Malaysia (buat masa ini), iaitu di Selangor, Perak, Pulau Pinang, dan juga Kelantan. Memandangkan ia baru sahaja permulaan, maka mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak pusat khidmat ditambah oleh mereka, yang mana akan menjadi pusat untuk pengguna pergi apabila peranti mereka menghadapi masalah dan sebagainya.

Xiaomi - Pusat Khidmat Pelanggan

Malaysia akan menjadi negara kedua untuk Xiaomi di rantau Asia Tenggara ini, dimana sebelum ini mereka telah menawarkan peranti mereka di Singapura. Pihak Xiaomi turut mengatakan ia akan diperluaskan ke beberapa negara lain, tetapi seperti biasa mereka akan memfokuskan satu demi satu secara berperingkat.

Jadi, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut Xiaomi di Malaysia, dan mari kita nantikan 20 Mei 2014 kelak untuk melihat resipsi pengguna untuk jualan Xiaomi Mi 3 melalui laman rasmi Mi.com kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd