Cari @ Amanz

Chris Yerga GoogleSejak setahun dua ini, kita dapat melihat perkembangan positif dalam dunia peranti mudah-alih, terutamanya di Asia – yang mana memperlihatkan perkembangan positif dari segi kandungan mahupun angka pengguna peranti mudah-alih tersebut sendiri. Pihak Google boleh dikatakan antara syarikat yang telah memfokuskan kepada platform dan penawaran mudah-alih, dan kini mereka berkongsi beberapa data menarik berkaitan dengannya.

Berbeza dengan pelbagai negara maju, dikebanyakkan negara di Asia, ramai pengguna menggunakan telefon pintar sebagai komputer pertama mereka – ataupun sebagai satu-satunya peranti dengan akses ke internet. Perkara ini membawakan kepada pelbagai penggunaan trend yang hadir dari rantau Asia, yang mana pada masa yang sama memberikan impak kepada pasaran global.

Telefon pintar sebagai peranti utama mengakses internet berbanding komputer.Sebagai contoh, antara trend yang dimulakan di Asia adalah rakaman gambar sendiri dinamakan selfie – sehinggalah penggunaan kepada kayu rakaman yang turut dikenali sebagai monopod. Perkara ini memberikan impak kepada seluruh dunia, dan membuatkan ramai pembangun hadir dengan aplikasi memfokuskan kepadanya.

Selain daripada gaya hidup, pengguna Asia juga merupakan antara yang terawal menggunakan peranti bersaiz besar atau dinamakan sebagai phablet. Di rantau Asia, memandangkan ramai pengguna mendapatkan telefon pintar sebagai “komputer” pertama, maka mereka lebih selesa mendapatkan peranti bersaiz besar untuk mengakses media, berkomunikasi, membuat tugasan, melayari web – mahupun menulis menggunakannya dalam bahasa ibunda.

Bercakap mengenainya, pihak Google berkongsi beberapa data menarik. Di Korea Selatan, lebih 25% pengguna menggunakan phablet sebagai peranti mudah-alih mereka, sementara secara keseluruhan, Singapura dan Korea Selatan mempunyai angka pengguna telefon pintar yang tinggi. Di Malaysia sahaja, lebih kurang 35% pengguna hanya menggunakan telefon pintar sahaja untuk mengakses internet, berbanding yang lain menggunakan komputer dan peranti mudah-alih.

Mike NelsonPenggunaan peranti mudah-alih yang tinggi juga membawa kepada kesan lain di rantau Asia – dimana beberapa aplikasi dibangunkan hanya khusus untuk peranti mudah-alih sahaja, selain lebih ramai pengguna mengakses kandungan seperti video, muzik, dan permainan pada peranti mudah-alih mereka.

China dan Korea merupakan antara negara tertinggi yang mengakses kandungan berbentuk video pada telefon pintar, sementara Vietnam dan Thailand memperlihatkan trend serupa untuk muzik. Dari segi permainan pula, China dan Thailand menerajui penggunaannya pada peranti mudah-alih di rantau Asia. Menariknya mengenai statistik yang dikongsikan Google, kesemua penggunaan akses kandungan ini memperlihatkan angka yang amat tinggi di Asia jikalau dibandingkan dengan negara di Eropah dan Amerika.

Perkara ini juga membawakan kesan positif kepada industri kandungan di sesuatu negara. Lebih ramai pembangun hadir dari Asia pada masa kini, dan salah satu negara yang memperlihatkan peningkatan positif adalah Korea Selatan. Korea Selatan merupakan salah satu negara daripada lima negara teratas dengan bilangan pembangun yang tinggi menerbitkan aplikasi dan kandungan di Google Play.

Kita akan dapat melihat transasi daripada “mendahulukan peranti mudah-alih” kepada “hanya untuk peranti mudah-alih”Apa pun, penggunaan kad kredit di rantau Asia masih kecil berbanding di beberapa negara membangun. Untuk mengatasi perkara ini, Google bersama-sama syarikat telekomunikasi di beberapa buah negara telah sedia memperkenalkan sokongan pembelian melalui kredit bil syarikat telekomunikasi. Menggunakannya juga ia menggunakan pengguna untuk membuat pembelian aplikasi dan kandungan untuk peranti mudah-alih mereka. Budaya pembelian ini meningkat dari tahun ke tahun ini, dimana pada tahun 2014 ini sahaja pihak Google telah membayar sehingga 2.5 kali ganda berbanding tahun lepas kepada para pembangun dan penerbit di Google Play.

Selain daripada kandungan, beberapa inovasi lain juga turut berlaku pada platform mudah-alih. Kini, peranti mudah-alih telah menjadi salah satu komputer utama kepada para pengguna, dimana ia dihubungkan kepada pelbagai peranti boleh-pakai. Disamping itu, ia juga turut digunakan untuk beberapa tujuan lain selain komunikasi, termasuk untuk merakamkan gambar, mendapatkan data tambahan melalui sensor terbina – disamping menggunakannya untuk beberapa tujuan lain termasuk untuk tujuan sains serta menambah-baik dalam kawalan kandungan – seperti mengintegrasikan ia bersama-sama kereta dan juga televisyen. Penggunaan peranti mudah-alih juga memperlihatkan perkembangan positif dalam arena AI (kecerdasan buatan) yang membawakan kepada kemudahan dalam kehidupan manusia.

“Asia mengintegrasikan penggunaan teknologi mudah-alih dalam budaya kehidupan”

Untuk menjayakan dan memfokuskan kepada perkembangan budaya teknologi ini sendiri, pihak Google mempunyai beberapa perancangan. Salah satunya adalah dengan penawaran sokongan carian dan akses Google yang dioptimasikan berdasarkan kepada akses data seseorang pengguna. Sekiranya akses data mereka pantas, maka Google akan memaparkan ia bersama-sama gambar dan sebagainya, dan sebaliknya tidak ia hanya akan memaparkan hanya teks sahaja.

Perkara sama juga untuk video, dimana Google sedia bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi untuk menawarkan akses YouTube pada kadar rendah. Di Malaysia mereka telah bekerjasama dengan pihak U Mobile dalam menawarkan akses YouTube pada kadar rendah berbanding kebiasaan. Di India pula, Google menawarkan akses YouTube Offline – dan perkara ini dijangka akan diperluaskan ke pelbagai negara tidak lama lagi. Pada masa yang sama, Google turut mempunyai beberapa perancangan lain termasuk pengenalan Project Loon yang ingin membawa akses internet ke kawasan pedalaman, dan membolehkan pengguna mengakses dan mendapatkan data serta informasi dengan lebih cepat.

Google Mobile FirstBerkongsi mengenai trend akan datang, Eric Schmidt daripada Google mengatakan kita mungkin akan dapat melihat peralihan daripada “mendahulukan peranti mudah-alih” (mobile first kepada “hanya peranti mudah-alih” (mobile only”). Malah, terdapat beberapa perkara yang telah pun menggunakan konsep tersebut, termasuk antaranya adalah aplikasi popular seperti Instagram dan juga WhatsApp. WeChat juga merupakan salah satu aplikasi yang berjaya daripada rantau Asia yang mendahulukan kepada peranti mudah-alih. Kebanyakkan aplikasi dan perkhidmatan ini menawarkan aplikasi mereka dengan pelbagai fungsi, tetapi penawaran fungsi yang terhad pada desktop atau web.

Google turut mengatakan yang mana Asia mungkin menerajui trend-trend teknologi selepas ini, dan ia merupakan salah satu pasaran yang berpotensi tinggi dan memperlihatkan peningkatan positif dari tahun ke tahun.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd