Cari @ Amanz

Cortana merupakan salah satu fungsi yang hadir terbina pada Windows Phone, yang mana berfungsi sebagai pembantu peribadi maya anda selain turut membolehkan anda mengawal peranti menggunakan arahan suara. Dengan pihak Microsoft yang menyatukan pelbagai platform Windows menjadi satu, kini Cortana turut akan diintegrasikan pada Windows 10 untuk desktop.

Cortana pada Windows 10 masih lagi pada peringkat pembangunan buat masa ini, dan telah mula hadir pada versi pembangunan Windows 10 baru-baru ini. Walaupun ia masih lagi dalam pembangunan, tetapi Cortana untuk Windows 10 dilihat telah berfungsi dengan lancar dan mengecam suara tanpa sebarang masalah.

Seperti Cortana pada Windows Phone, pengguna turut boleh membuat panggilan (melalui Skype), menambah temujanji kepada kalendar, menyemak lokasi, memainkan muzik, melancarkan aplikasi, menyemak cuaca dan sebagainya.

Ia dikatakan Cortana pada versi akhir kelak akan membawakan antaramuka yang lebih kemas, disamping membawakan beberapa fungsi lain – termasuk perbualan kasual bersama-sama Cortana.

Windows 10 buat masa ini masih lagi pada peringkat pembangunan, dan pihak Microsoft diura-ura akan memperlihatkan fungsi penuh untuk para pengguna umum pada awal tahun 2015 kelak. Mungkin kita akan mendengar lebih lanjut mengenainya daripada Microsoft ketika itu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd