Cari @ Amanz

Intel pada tahun ini telah memperkenalkan beberapa perkara untuk peranti boleh-pakai seperti pengenalan Edison dan sebagainya. Dan untuk tahun 2015 akan datang, Intel dilihat ingin turut mengambil bahagian dalam pengenalan peranti boleh-pakai di kepala, terutamanya kaca mata pintar.

Beberapa hari yang lepas, kita sedia mendengar desas-desus mengatakan Google Glass baru mungkin menggunakan cip Intel, dan hari ini pengeluar cip pemprosesan terkemuka tersebut mengumumkan kerjasama secara rasminya dengan Luxoticca Group.

Bagi yang tidak mengenali akan Luxoticca Group, mereka merupakan salah seorang pembuat kaca mata terkemuka dunia untuk pelbagai jenama terkemuka, termasuk Ray-Ban, Giorgio Armani, Coach, Burbery dan sebagainya.

Intel mengatakan kerjasama dengan Luxoticca Group ini adalah untuk tempoh beberapa tahun, dan produk pertama hasil kerjasama ini dijangka akan hadir pada tahun 2015 kelak.

Seperti semua sedia maklum, dengan rekaan yang cantik dan juga penawaran harga rendah, tidak mustahil untuk kaca mata pintar menjadi salah satu aksesori fesyen dan peranti pintar yang akan digunakan pengguna.

Intel mengatakan hasil kerjasama ini mereka akan memperluaskan lagi apakah yang akan ditawarkan oleh kaca mata pintar, dan membawakan produk yang akan diminati oleh pengguna.

Jadi, sama-sama kita nantikan tahun hadapan apakah yang bakal dibawakan oleh Intel bersama-sama Luxoticca Group ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd