Cari @ Amanz

Microsoft pada bulan Ogos yang lepas telah memperkenalkan telefon feature-phone menggunakan Series-30, iaitu Nokia 130. Kini, selang beberapa bulan, telefon tersebut dilihat telah dijual dengan terhad di beberapa kedai sekitar Lembah Klang pada harga RM85.

Nokia 130

Nokia 130 yang dijual di Malaysia dilihat membawakan sokongan dwi-SIM, selain turut dilengkapi dengan sokongan kad-SD sehingga 32GB. Telefon ini ditujukan bagi mereka yang sentiasa bergerak dan bertugas di luar, disamping pada masa yang sama menyukai untuk mendengar lagu pada telefon mereka.

Menggunakan kad-SD, pengguna boleh menyimpan pelbagai fail lagu padanya, dan mengakses ia menggunakan telefon Nokia 130 ini. Microsoft menjanjikan Nokia 130 ini akan menawarkan 46 jam masa mendengar lagu, selain turut hadir dengan sokongan radio FM.

Nokia 130 Dwi-SIM ini turut membawakan masa bertahan bateri sehingga 26 hari – hadir dengan skrin berwarna bersaiz 1.8-inci, dan hadir dalam warna hitam dan putih. Melengkapkan peranti ini adalah papan kekunci klasik, dimana pengguna menekan beberapa kali untuk sesuatu abjad. Nokia 130 menggunakan panel pengecasan berasaskan mikro-USB, dan turut hadir dengan headset untuk memudahkan anda mendengar lagu dan radio, selain menikmati video menggunakannya.

Bagi anda yang inginkan telefon kedua, ataupun telefon dengan masa bertahan bateri yang lama, mungkin Nokia 130 Dwi-SIM ini boleh menjadi pilihan anda – selain pada masa yang sama menjadi telefon ganti anda untuk digunakan sekiranya telefon pintar anda kehabisan bateri dalam tempoh kurang sehari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd