Cari @ Amanz

Syarikat  penerbangan United Airlines akan memberikan 23 000 iPhone 6 Plus kepada kesemua krew penerbangan sebagai langkah memperbaiki mutu perkhidmatan bermula tahun hadapan. Pemberian phablet ini memudahkan krew penerbangan untuk berhubung sesama sendiri dan mendapatkan maklumat terkini tentang pesawat yang akan digunakan. Di samping itu setiap iPhone 6 Plus akan dilengkapi dengan manual digital prosedur kecemasan dalam penerbangan. Maklumat di hujung jari adalah lebih pantas berbanding terpaksa membaca manual dalam bentuk fizikal. Sistem email khas United turut disertakan bagi memudahkan komunikasi di antara majikan dan para pramugari/pramugara. Syarikat penerbangan ini memang sudah lama menggunakan peranti Apple bagi memudahkan tugasan pekerja mereka.

United-iphone-6-plus

Pada tahun 2011 mereka memberikan iPad kepada kesemua juruterbang untuk tujuan yang sama. Proses menyemak prosedur keselamatan sebelum penerbangan dilakukan sepenuhnya secara digital. Tahun ini kesemua iPad ini diperbaharui dengan model iPad 2. Penggunaan tablet ini bukan sahaja mempercepatkan tugasan pekerja tetapi turut menjimatkan kos kepada syarikat. Tablet dengan manual penerbangan digital adalah lebih ringan dari manual fizikal yang selalunya dibawa oleh juruterbang dan krew penerbangan.  Selain United, syarikat penerangan Delta turut serta mendigitalkan krew penerbangan mereka. Delta memberikan 11 000 Surface 2 kepada juruterbang bagi menggantikan manual fizikal. Pengurangan berat beg yang dibawa selepas menggunakan Surface 2 dijangka akan mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 1.2 juta Gelen setahun. Virgin Atlantic pula memberikan krew lapangan terbang mereka Google Glass yang mempercepatkan proses pemeriksaan masuk penumpang di Lapangan Terbang Heathrow.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd