Carian
Ulasan Samsung Galaxy Gear
January 3, 2014 Effi Saharudin

 

Samsung Galaxy Gear
Pemproses 800 MHz
Skrin 1.63″ Super Amoled 320 x 320 Pixel
RAM 512 Megabyte
Storan Terbina 4 Gigabyte
Kamera 1.9 Megapixel
Bateri  315  mAH

Teknologi yang boleh dipakai ataupun Wearable Tech bukanlah idea baru. Idea jam pintar yang boleh digunakan sebagai alat komunikasi sudah wujud selama puluhan tahun tetapi dipopularkan oleh watak komik Dick Tracy pada tahun 1931. Jam tangan sebagai alat komunikasi juga menjadi peranti klise setiap filem fiksyen sains dan perisikan ketika perang dingin. Sejak dua tahun kebelakangan ini kegilaan menghasilkan jam pintar hangat semula selepas kejayaan Pebble dan kit jam tangan untuk iPod Nano. Samsung Galaxy Gear ialah percubaan keempat Samsung untuk menghasilkan jam pintar. Mereka sudah menghasilkan jam tangan dengan kemampuan telefoni sejak 1999.  Gear diperkasakan pemproses 800hz, 512 Mb RAM, kamera utama 1.9 Megapixel, muatan dalam 4 Gigabyte dan skrin sebesar 1.63 inci. Dari segi fizikal, bahagian luaran Gear diperbuat dari plastik dan besi. Pada bahagian tepi sebelah kanan terdapat butang kuasa. Ini adalah satu-satunya butang fizikal pada Gear. Muka hadapan jam diperbuat daripada sebongkah aluminium manakala tali jam diperbuat daripada bahan plastik yang agak keras. Kamera 1.9 Megapixel terbina diletakkan pada tali jam ini. Mekanisma menutup tali juga diperbuat daripada aluminium dan ianya juga dilengkapi mikrofon terbin.a Tidak seperti Sony Smartwatch 2 rekaan Gear kelihatan dan terasa lebih premium. [amanz-gallery]

Antaramuka

Menggunakan Gear adalah sama seperti menggunakan peranti sesentuh yang anda miliki sekarang. Tatalan kekiri atau kekanan membolehkan anda mengakses pintasan untuk aplikasi kegemaran ini. Sebanyak 10 pintasan pantas boleh diletakkan mengikut kehendak pengguna pada satu-satu masa. Penyusunan urutan aplikasi dan jumlah pintasan yang ingin diletakkan pada Gear dilakukan sepenuhnya pada telefon pintar anda dan bukan pada jam pintar ini. Dari skrin utama tatalan dari bawah keatas skrin akan membuka aplikasi kamera. Gambar diambil dengan menyentuh skrin jam. Setiap kali gambar diambil bunyi akan dihasilkan oleh Gear. Bunyi picu kamera ini agak kuat dan tidak boleh dinyahaktifkan. Ini mungkin dilakukan dengan sengaja oleh Samsung bagi mengelakkan Gear dijadikan peranti kegemaran manusia gatal yang gemar menangkap gambar secara curi-curi.

Tatalan dari bawah keatas pada skrin utama pula membuka aplikasi mendail nombor telefon. Ya, Galaxy Gear boleh melakukan panggilan telefon secara terus. Terdapat sebuah mikrofon pada kancing tali jam. Apabila telefon anda berdering, Gear juga akan turut berdering dan anda boleh menjawab panggila dengan bercakap terus pada bahagian kancing Gear. Ini mengingatkan kami kepada cara watak komik Dick Tracy menjawab panggilan telefon dari jam tangan beliau. Hidupan sebenar akhirnya mencerminkan seni. Sungguhpun begitu kami rasakan agak canggung untuk menjawab panggilan telefon dengan menggunakan gear. Orang ramai boleh mendengar dengan jelas apa yang dibualkan oleh pemanggil anda. Ketiadaan privasi ini membuatkan fungsi telefoni Gear kurang praktikal di dunia sebenar.

Tatalan dari atas dan kebawah juga digunakan bagi membawa anda balik semula ke skrin utama dari mana-mana skrin ataupun aplikasi yang sedang digunakan. Jika skrin ditekan sebanyak dua kali dengan menggunakan dua jari pula, anda akan dibawa ke skrin status bateri, tetapan kelantangan bunyi dan keterangan skrin. Jika anda menekan skrin dengan dua jari dan membiarkan ia selama beberapa ketika pula skrin multitasking pula akan muncul pada skrin Gear.

Gear Manager

Aplikasi Gear Manager ialah aplikasi yang dimuat turun pada telefon pintar anda. Aplikasi ini digunakan untuk mengurus aplikasi yang boleh digunakan pada Gear. Aplikasi ini juga berfungsi sebagai manual selok belok penggunaan Gear kepada anda. Tetapan notifikasi dari aplikasi tertentu yang mahu dipaparkan juga dilakuan menerusi aplikasi ini.  Aplikasi mudah digunakan dan mesra pengguna. Masalah yang kami hadapi hanyalah kekurangan aplikasi yang boleh kami gunakan. Sepanjang tempoh 6 minggu penggunaan kami hanya menemui empat aplikasi baru untuk gear. Majoriti aplikasi yang  boleh digunakan adalah aplikasi merubah gaya muka jam yang tidak berapa menarik. Adalah sukar untuk  menghalalkan pembelian jam pintar berharga hampir RM 1000 ini sekiranya ia mempunyai fungsi yang masih terlalu terhad. Kekurangan aplikasi yang benar-benar berguna inilah yang membuatkan kami berasa Gear masih belum berbaloi dimiliki. Nota buat Samsung, perbanyakkanlah aplikasi yang boleh digunakan pada Gear sebelum ianya menjadi gajah putih pada pergelangan pemiliknya. Kami ada beberapa idea seperti fungsi Google Now , Google Maps ataupun Waze pada Gear. Melihat arah perjalanan pada Gear kami rasakan lebih mudah dilakukan dari melihat skrin telefon pintar semasa sedang memandu.

Kamera

Kami membandingkan kualiti gambar yang diambil Galaxy Gear dengan Note 3. Kamera Gear hanya sebesar 1.9 Megapixel dan kualiti gambar yang diambil seperti yang dijangkakan tidak berapa cantik. Gambar agak kusam dan tidak cukup tajam. Ia mengingatkan kami kepada kualiti gambar yang diambil menggunakan GalaxyTab 1 yang pernah kami miliki tiga tahun dahulu. Gambar pula hanya boleh diambil pada nisbah 4:3 ataupun 4:4.  Gambar yang diambil boleh dihantar terus kepada telefon pintar anda sejurus selepas diambil. Ini adalah fungsi yang cukup baik. Kamera Gear juga menyokong fungsi Sound and Shot  Samsung. Bagi yang kurang arif Sound and Shot merakam gambar beserta audio sepanjang 9 saat pada waktu yang sama.

Samsung Tab 3M1690019

Bateri

Secara purata bateri Galaxy Gear mampu bertahan sehingga 60 jam pada penggunaan biasa. Sepanjang tempoh ulasan kami mengaktifkan notifikasi GMail, Twitter dan Facebook. Jangka hayat gear turun kepada sekitar 40 jam apabila tiga notifikasi  di atas diaktifkan. Kami menerima ribuan notifikasi untuk twitter sepanjang hari jadi tidak mengejutkan bateri Gear akan lebih cepat habis untuk pengguna seperti kami. Apabila bateri Gear habis anda perlu memasang jam ini kepada alat pengecas khas. Tidak seperti Sony Smartwatch 2 port pengecas tidak terbina pada Gear. Ini adalah kurang mesra pengguna pada hemat kami. Samsung Tab 3M1690019

Kesimpulan

Percubaan pertama Samsung untuk menghasilkan telefon pintar moden bermula dengan baik. Fungsi-fungsi asas yang dijanjikan oleh Samsung kesemunya mampu dilakukan tanpa sebarang masalah. Notifikasi dari peranti muncul pada waktu yang sama pada Gear tanpa sebarang lengah masa. Kami juga meminati fungsi memaparkan isi kandungan notifikasi yang diterima pada Gear terus ke peranti. Tidak perlu melakukan proses unlocking dan membuka aplikasi pada peranti. Kesemua dilakukan dengan lancar dan cukup baik sekali. Sokongan aplikasi yang sedia ada buat masa ini memandai tetapi kami berharap terdapat lebih banyak lagi aplikasi yang dimuat turun. Adalah membazir sekiranya jam tangan pintar yang beharga RM999 mempunyai pilihan aplikasi yang sedikit. Fungsi telefoni Gear pula mengingatkan kami kepada zaman gelap menggunakan Galaxy Tab generasi pertama. Gear diletakkan pada telinga dan anda akan kelihatan seperti bercakap dengan pergelangan tangan. Posisi bercakap dengan pergelangan tangan mungkin normal sekiranya anda bekjerja sebagai pengawal peribadi Presiden Amerika Syarikat di White House tetapi sekiranya anda tidak ianya kelihatan sangat canggung. Ini sahaja cara yang dapat memastikan panggilan telefon peribadi anda tidak didengari orang lain. Kemampuan kameranya adalah mengecewakan. Resolusi gambar adalah rendah, kusam dan tidak cukup tajam. Bagi yang mempunyai idea kurang suci untuk menjadikan Gear sebagai kamera risikan lupakan sahaja niat anda, bunyi pengatup kamera yang kuat tidak boleh dimatikan. Hayat bateri pula adalah sekitar dua setengah hari untuk setiap pengecasan pada  penggunaan biasa dan 40 jam pada penggunaan berat. Alat pengecas khas diperlukan bagi mengecas Gear kerana port pengecas terbina tidak ada pada jam pintar ini. Akhir kata Gear ialah percubaan awal yang masih belum sempurna dari Samsung. Buat masa ini kami rasakan jam pintar Galaxy Gear belum cukup sempurna dan mempunyai pelbagai fungsi bagi membuatkannnya berbaloi untuk anda miliki.

PRO dan Kelebihan
  • Binaan dan kemasan yang cantik. Kelihatan lebih premium dari pesaing yang ada di pasaran.
  • Terdapat banyak pilihan kustomasi paparan jam yang boleh dimuat turun. Anda tidak terhad kepada hanya satu gaya paparan.
  • Gear dan peranti pintar anda menyegerak dengan sempuran. Notifikasi emel, Twiiter , SMS, kalendar dan panggilan telefon dipaparkan tanpa sela masa
  • Kebolehan membaca terus notifikasi yang muncul di Gear terus ke peranti juga dilakuka dengan baik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Memerlukan lebih banyak sokongan aplikasi Sokongan dari GoogleMap ataupun Waze adalah antara yang kami rasa perlu ada untuk Gear
  • Memerlukan alat khas untuk mengecas.
  • Hanya berfungsi dengan sesetengah peranti buatan Samsung buat masa ini.
  • Samsung Galaxy Note 3 dijual pada harga RM 2399 .
Komen