Ulasan: Otterbox Armor iPhone 5

Ulasan: Otterbox Armor iPhone 5

Diterbitkan pada Jan 12, 2014 oleh .

Telefon pintar pada masa sekarang telah menjadi satu peranti yang boleh diguna-pakai dalam semua keadaan, dan bukan sekadar sebagai peranti perhubungan. Selain membuat panggilan, ia juga digunakan sebagai permainan interaktif, kamera, diari, GPS malahan boleh juga digunakan untuk aktiviti riadah seperti bersenam, berlari, berbasikal dan sebagainya. Oleh kerana kegunaan telefon pintar yang pelbagai, ia juga turut terdedah kepada pelbagai bahaya seperti bahaya terjatuh semasa berbasikal mahupun terjatuh dari meja.

Otterbox pada tahun lepas telah mengumumkan Otterbox Armor, salah sebuah pelindung tahan lasak untuk telefon pintar anda dan kami telah mencubanya selama dua bulan pada telefon iPhone 5.

Bentuk Fizikal

Pelindung telefon pintar ini di datangkan dalam beberapa variasi warna dan untuk ulasan ini kami menggunakan unit berwarna Neon. Saiznya adalah agak tebal dan besar dan sekiranya diletakkan didalam poket seluar, poket anda akan membonjol sedikit – berbanding menggunakan pelindung telefon biasa. Hilang perasaan kenipisan dan perasaan premium terhadap telefon ini namun ia berbaloi untuk perlindungan yang ditawarkan.

Ketebalan Otterbox Armor semestinya kerana strukturnya yang keras untuk perlindungan yang diberikan. Ia terdiri dari dua bahagian di mana pada tempat letak iPhone diselaputi dengan silika keras untuk menyerap hentakan. Di dalamnya juga terdapat rangka silika yang memastikan telefon tersebut berada pada tempat asal dan juga berfungsi sebagai penyerap hentakan. Turut tersedia adalah pelindung skrin telefon. Bahagian kedua pula merupakan penutup belakang yang turut dilengkapi silika lembut untuk menyerap hentakan dari belakang. Penutup belakang ini dikunci oleh klip bagi memastikan ianya ketat untuk mencegah debu dan juga air masuk kedalam.

Perlindungan Yang Diberikan

Perlindungan yang diberikan Otterbox Armor antaranya termasuk kalis air, debu, jatuh serta dikatakan tahan tekanan “sekuat” 2 tan. Sepanjang dua bulan menggunakannya, penulis telah melakukan ujian jatuh serta tempias secara rambang tanpa perancangan. Kebanyakan jatuhan adalah bukan dengan sengaja. Ujian tekanan 2 tan tidak dilakukan kerana ketiadaan lori dan ketidak-sanggupan kami untuk mencubanya.

Dari pengamatan penulis, pelindung ini memang tahan lasak namun begitu terdapat hakisan yang berlaku pada penutup belakangnya oleh kerana kekerapan menggunakan telefon ini di bilik air. Telefon ini juga diletakkan di dalam poket seluar jadi ianya tidak dapat dipastikan sekiranya peluh juga memungkinkan hakisan sebegini. Berikut merupakan gambar kesan hakisan yang terjadi sepanjang penggunaan pelindung ini.

IMG_3517 copy

Kesimpulan

Sekiranya anda ingin mencari pelindung telefon pintar yang kukuh, lasak, dan kuat, maka Otterbox Armor seharusnya disenarai pendek dalam pilihan anda. Pada harga USD 99.95, perlindungan yang diberikan berbaloi dan ia terdapat dalam pelbagai warna dan tersedia untuk model Apple iPhone 5, iPhone 4/4S, serta Samsung Galaxy S3.

Pro

  1. Pelindung tahan lasak, kalis air termasuk rendaman, kalis debu, kalis hentakan serta mampu menahan tekanan seberat 2 tan.
  2. Turut disediakan adalah pelindung paparan skrin.
  3. Binaan kalis air yang meyakinkan.

Kontra

  1. Menjadikan peranti anda tebal dan berat. Bukan untuk mereka yang tidak suka peranti berat didalam poket.
  2. Hakisan pada penutup belakang menjadikan ianya seolah-olah pelindung yang telah lama digunakan.
  3. Harga yang agak tinggi berbanding pesaing lain.

TIPS & ULASAN