Asus hari ini memulakan acara CES 2014 mereka dengan memperkenalkan Asus Transformer Book Duet yang mana membawakan sokongan sistem operasi Android dan Windows dalam mod tablet serta komputer riba.
Transformer Book Duet merupakan sebuah peranti dua-dalam-satu yang boleh digunakan sebagai tablet ataupun komputer riba. Menariknya, pihak Asus menyertakan dua sistem operasi – Android 4.1 dan Windows 8.1, sekaligus membolehkan pengguna memilih untuk menggunakan sistem operasi kegemaran mereka pada sebarang mod penggunaan.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan skrin bersaiz 13.3-inci dengan paparan 1080p, cip Intel Core i7, memori 4GB RAM dan ruangan storan 128GB SSD pada tablet serta 1TB pada dock ketika digunakan sebagai komputer riba.
Seperti beberapa peranti Asus dengan dwi-OS sebelum ini, ia masih bergantung kepada sebuah butang khas yang membolehkan pengguna mengubah antara sistem operasi yang digunakan.
Asus Transformer Book Duet ini berharga $599 (~RM1968). Ia tidak diketahui lagi berkenaan tawaran peranti berkenaan untuk pasaran Malaysia buat masa ini.