Cari @ Amanz

Khamis dua minggu yang lalu Muhammad Arif Mohd Yusof yang berusia tiga tahun meninggal dunia setelah ditinggalkan di dalam kereta selama 9 jam oleh ayah beliau. Kanak-kanak ini mati kepanasan setelah si bapa terlupa anak beliau diletakkan di kerusi belakang kereta yang dipandunya. Kejadian sebegini malangnya bukanlah perkara yang jarang berlaku malah boleh dikatakan setiap tahun frekuensi kejadian semakin meningkat. Menurut statistik, sebanyak 40 orang kanak-kanak mati kelemasan setiap tahun akibat kekhilafan ibu bapa di Amerika Syarikat manakala di Eropah pula sekitar 20 orang. Apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan kematian yang boleh dielakkan ini berlaku lagi?

Jawapan yang dihasilkan oleh pengeluar kereta Opel ialah Gabriel. Gabriel yang meminjam nama malaikat Jibrail ialah alat yang diharapkan dapat memastikan ibu bapa tidak lagi meninggalkan anak mereka di dalam kereta. Gabriel terdiri dari sebuah pengesan suhu dan tekanan serta sebuah penggera yang juga merangkap sebuah pemegang kunci kereta. Pengesan tekanan/suhu ini diletakkan di bawah kerusi kanak-kanak/bayi di dalam kereta.

Sekiranya jarak diantara pengesan dan penggera ini melepasi 5 meter, penggera akan mula berbunyi bagi mengingatkan ibu bapa untuk memeriksa anak mereka. Sekiranya bunyi ini tidak didengari, penggera akan sekali lagi berbunyi apabila suhu di dalam kereta mencecah 28 darjah selsius. Sistem penggera dwi peringkat ini diharap dapat memastikan tidak akan ada lagi kes anak kecil meninggal dunia di dalam kereta.

Gabriel ialah idea yang dihantar oleh Kenny Devlieger untuk pertandingan inovasi kereta anjuran Opel. Idea beliau kemudian diubah menjadi realiti oleh barisan jurutera Opel dan kini prototaip pertama Gabriel dipasang pada kereta milik bapa kepada dua orang anak ini.

Idea seperti Gabriel ini kami pernah lihat di beberapa pameran semester tahun akhir beberapa universiti di Malaysia. Anehnya walaupun idea yang bernas ini bukanlah baru tidak ada inisiatif untuk menjadikannya realiti. Syabas buat Opel kerana akhirnya mengambil masalah kematian anak kecil di dalam kereta secara serius dan menghasilkan sendiri prototaip yang berfungsi. Harapannya alat ini akan dijual secara komersil di seluruh dunia kerana kematian anak di dalam kereta boleh dielakkan.

[youtube http://www.youtube.com/watch?v=DQe37i22aNI]

gabriel1

gabriel2Sumber Opel Gabriel

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd