Cari @ Amanz

Norton 2Bila kita sebut mengenai perisian anti-virus, saya pasti ramai yang mengenali Norton Anti-Virus. Teringat saya semasa menggunakan komputer pertama pada sekitar tahun 2000, perisian inilah yang membantu dalam memberi perlindungan daripada virus terutamanya virus daripada disket. Waktu itu saya gemar untuk membuat salinan flash game daripada makmal komputer sekolah dan dimasukkan ke dalam disket untuk dimainkan di rumah. Makmal komputer seperti sedia maklum, sudah menjadi lumrah dengan masalah penyebaran virus yang berleluasa dan mujur ada Norton Anti-Virus yang dapat menangani masalah ini ketika itu.

Tahun demi tahun, landskap dunia pengkomputeran kita berubah secara drastik yang mana virus tidak lagi menyerang pada komputer sahaja malah telefon pintar di sekeliling kita. Virus pada telefon pintar bukanlah sesuatu yang baru kerana pada zaman kegemilangan telefon Symbian, ia turut menjadi sasaran utama virus. Cuma pada waktu itu, telefon pintar tidak banyak yang disambungkan ke internet dan sistem operasi Symbian ketika itu pun tidak didatangkan dengan aplikasi Store yang didedikasi khas di dalamnya seperti mana Android dan iOS pada hari ini.

Masalah utama pengguna pada hari ini cukup mudah, mereka perlu membeli perisian anti-virus untuk setiap platform. Masalah utama pengguna pada hari ini cukup mudah, mereka perlu membeli perisian anti-virus untuk setiap platform. Di komputer lain, di telefon pintar lain. Kebanyakannya pengguna harini juga ada yang menggunakan komputer lebih dari satu komputer dan ini menyebabkan mereka terpaksa membeli langganan anti-virus secara berasingan. Katakanlah harga anti-virus pada Android sekitar RM30 dan komputer dikenakan sebanyak RM60 untuk satu tahun langganan. Pengguna ini selain menggunakan komputer riba dan peranti Android, dia turut mempunyai dua komputer desktop di rumah dan terpaksa untuk membelanjakan sebanyak RM210 setahun untuk perisian anti-virus sahaja.

Norton 360 2014 Multi-Device dilihat mampu untuk menangani permasalahan di atas kerana ia hadir dengan fungsi perlindungan sehingga 5 peranti. Ia hadir dengan beberapa fungsi asas Internet Security seperti perlindungan anti-virus, anti-spyware, anti-spam, dan perlindungan untuk pelayar web. Turut didatangkan bersama dengannya adalah kebolehan online backup yang dapat membantu untuk membuat salinan data ke web daripada diancam malware jahat di dalam komputer anda.

Backup-fix

Apa yang membezakan 360 berbanding Internet Security daripada Norton, ia turut hadir dengan perlindungan tambahan seperti kawalan ibu bapa yang membolehkan anda memantau anak-anak anda daripada melawat laman yang tidak sesuai untuk mereka. Beberapa fungsi seperti storan dalam talian turut disediakan disamping dengan perlindungan multi-peranti yang menjadi premis utama perisian ini. Tidak seperti pesaing terdekatnya, ia memberi perlindungan bukan sahaja pada komputer malah turut memberi perlindungan pada peranti pintar iOS disamping turut hadir untuk platform Android.

1496200_10151760747851020_1867315785_oMengawal antara muka Norton 360 juga mudah kerana ia telah dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu Security, Identity, Backup, dan Tuneup. Dari segi antara muka, saya boleh katakan ia agak menarik, minimal dan menepati standard antara muka masa kini. Antara mukanya kemas dan tidak berserabut menjadikan Norton 360 lebih mesra pengguna dan saya yakin pengguna biasa pun tidak mempunyai masalah mengawalnya.

Pada platform Android, Norton 360 hadir dalam bentuk Norton Mobile Security yang juga turut bertindak sebagai anti-virus pada peranti mudah-alih. Sama seperti di Norton 360 di desktop, ia turut hadir dengan fungsi real-time scanning yang mengenal pasti aktiviti-aktiviti malware liar di kesemua tempat yang berada dalam lokasi storan mudah-alih anda. Cuma dari segi pengalaman pengguna pada aplikasi Android agak sedikit mengecawakan kerana tidak hadir dengan mod potrait dan antara mukanya agak ketinggalan serta tidak selari dengan aplikasi pada desktop.

Bercakap mengenai fungsi yang disukai, secara peribadi saya gemarkan fungsi Tuneup yang membolehkan PC dioptimasikan dengan hanya satu klik sahaja. Ia juga hadir dengan fungsi optimasi secara berkala sekiranya anda ingin membiarkan Norton Tuneup melakukannya secara automatik untuk anda. Saya kira ini salah satu fungsi yang patut hadir bersama dengan sut perisian sekuriti memandangkan sekuriti bukan sahaja untuk mempertahankan PC daripada ancaman malware malah mengoptimasikannya untuk berfungsi dengan stabil.

…virus yang disyaki paling berbahaya pun turut dikenal pasti oleh Norton 360.Melalui beberapa ujian percubaan saya, kecekapan Norton 360 dalam menangani malware dan virus jahat sangat efektif dan saya tidak berdepan dengan masalah mengenal pasti virus. Ada suatu ketika saya menerima virus yang disyaki paling berbahaya pun turut dapat dikenal pasti oleh Norton 360. Melalui ujian AV-Test, Norton 360 mencatatkan bacaan yang dikira sangat baik dan mendahului perisian anti-virus McAfee daripada Intel.

Dari sudut prestasi, mungkin ada masih ingat pada zaman awal kehadiran Norton dahulu. Pasti ada yang teringat bagaimana Norton memberi ‘mimpi ngeri’ pada prestasi komputer sekiranya anda pernah cuba perisian dari Symantec ini. Masalah sebegitu tidak lagi berlaku pada Norton hari ini dan melalui percubaan saya, Norton 360 beraksi amat baik sekali. Ia tidak memberi sebarang masalah di PC saya malah perisian Norton Mobile Security pada peranti Android saya pun turut tidak memberi sebarang gangguan pada prestasi.

Norton 360 Multi-Device menjanjikan perlindungan sekuriti yang berkesan pada nilai yang berpatutan.Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan Norton 360 Multi-Device kerana ia menjanjikan perlindungan sekuriti yang berkesan pada nilai yang berpatutan. Tindakan Symantec dalam menghadirkan Norton 360 dalam satu sut perlindungan multi-peranti adalah bijak kerana menjimatkan pengguna dalam membelanjakan set perisian anti-virus tanpa perbelanjaan yang berlebihan. Sistem perlindungannya yang efektif menjadikan Norton 360 salah satu perisian sekuriti yang dipercayai dan tidak hairanlah Norton masih terkenal sehingga hari ini. Sebuah perisian anti-virus yang sangat disyorkan untuk anda.

Skor Norton 360 Multi-Device

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd