Ulasan Papan Kekunci Armaggeddon Stealth Raptor MKA7

Ulasan Papan Kekunci Armaggeddon Stealth Raptor MKA7

Diterbitkan pada Jan 16, 2014 oleh .

Armaggeddon ialah syarikat pengeluar aksesori komputer yang mensasarkan golongan pemilik komputer yang mahukan aksesori dengan kualiti binaan yang premium. Sebelum ini kami mengulas tetikus  Armaggeddon Alien Craft G17  keluaran mereka,. Hari ni mari kita lihat papan kekunci mekanikal Stealth Raptor MKA7. Nama papan kekunci ini mengingatkan kami kepada pesawat tempur milik Amerika Syarikat yang tiada tolok bandingnya. Adakah papan kekunci ini juga tiada tolok tandingannya di pasaran?

Armaggeddon Stealth Raptor MKA7
Jenis Kekunci Mekanikal
Pencahayaan kekunci Ya – biru dan oren
Port 1 USB 2.0 . 1 input dan output audio
Fungsi Tambahan  8 kekunci tambahan. 6 Butang makro

Dari segi binaan papan kekunci ni mempunyai rekaan yang bersegi. Mungkin ini lah sebab mengapa ia diberi nama Stealth Raptor. Ada iras-iras permukaan bersegi sebuah pesawat stealth. Bagi melengkapkan perbandingan papan kekunci ini dengan pesawat stealth, kemasan permukaan papan kekunci ini juga kusam (matte) seperti permukaan anti radar pesawat stealth. Permukaan yang kusam ini dipilih bagi memastikan permukaan papan kekunci tidak mudah memerangkap kesan cap jari. Tidak seperti Logitech G19S yang kami ulas sebelum ni, MKA7 tidak didatangi dengan kekunci tambahan pada bahagian sisi yang dikhaskan untuk tujuan makro. Bercakap tentang butang kekunci, MKA 7 hadir dengan 4 versi berbeza bergantung kepada jenis suis yang anda mahukan. Pilihan yang diberikan ialah suis Cherry MX merah, biru, hitam dan coklat. Setiap satu memberikan maklum balas, tekanan dan bunyi yang berbeza apabila ditekan. Suis yang dipilih berbeza mengikut setiap individu. Kami diberikan model Cherry MX coklat yang mengimbangi keperluan kami untuk menggunakan MKA7 sebagai papan kekunci untuk menaip dan untuk bermain permainan komputer.

Kekunci MKA7 dilengkapi lampu berwarna biru (kecuali pada butang WASD dan anak panah yang berwarna kuning). Tahap kecerahan lampu ini boleh diubah menggunakan butang berputar  yang terletak pada bahagian kanan papan kekunci atau menggunakan perisian yang disertakan. Butang berputar ini juga mempunyai fungsi kedua di mana ia juga digunakan untuk mengawal tahap bunyi komputer. Anda boleh memilih fungsi mana yang dikawal oleh butang berputar ini dengan menekan 2 butang pilihan fungsi yang terletak di sebelahnya. Di sini harus kami katakan kualiti binaan 2 butang ini dan juga butang berputar MKA 7 adalah mengecewakan. Ianya longgar dan terlalu plastik. Tidak ada maklum balas sentuhan apabila butang ini diputarkan. Ianya terasa seperti butang papan kekunci murah RM 20 yang kami gunakan sebagai papan kekunci kecemasan sekiranya papan kekunci utama kami rosak. Bagi sebuah papan kekunci yang dijual pada harga RM 438,  kami mahukan kualiti binaan yang berkualiti secara menyeluruh.

Pada bahagian bawah MKA 7 alur-alur yang berfungsi sebagai sistem pengurusan kabel . Terdapat 3 konfigurasi kabel yang boleh anda pilih. Akhir sekali pada bahagian kanan MKA 7 juga terdapat sebuah port USB 2.0,  lubang input mikrofon dan output untuk sebuah fon kepala.

MKA-Stealth-RaptorM1740013
Butang Makro Dan Perisian Armaggeddon 

Stealth Raptor MKA 7 tidak dilengkapi dengan butang makro khas. Sebaliknya butang makro (M1 – M6) yang boleh diprogramkan ini diletakkan pada 6 buah butang yang terletak di atas butang anak panah papan kekunci. Di dalam gaming mode, butang insert, home, page up, page down, delete dan end akan berfungsi sebagai butang makro MKA 7.  Proses memprogramkan makro kepada butang-butang ini boleh dilakukan dengan mudah menggunakan perisian yang disertakan.

MKA-Stealth-RaptorM1740016 Terdapat slot untuk 5 profil yang boleh diprogramkan mengikut kehendak anda. Satu kekurangan yang kami dapati pada MKA 7 ialah proses penukaran profil perlu dilakukan menggunakan perisian yang disediakan. Ini tidak seperti papan kekunci Logitech G19s yang mempunyai butang fizikal pada papan kekunci untuk menukar profil dengan segera. Selain itu tiada isyarat yang menunjukkan anda menggunakan profil yang mana satu. Sekali lagi menggunakan G19s sebagai perbandingan, pada G19s warna lampu papan kekunci ini berubah mengikut profil yang dipilih. Ini pada pandangan kami lebih mesra pengguna. Mungkin dalam iterasi MKA7 seterusnya lampu isyarat khas untuk profil yang dipilih boleh disertakan.

SmallKeyboardM1650001

Kami kurang pasti mengapa 6 butang di atas ini dipilih sebagai butang makro. Adalah hampir mustahil mahu menekan bukan makro ini ketika sedang rancak bermain. Tangan kanan anda sudah melekap pada tetikus manakala tangan kiri sudah melekap pada kekunci WASD. Satu-satunya cara untuk memudahkan akses butang makro ialah dengan menggunakan butang anak panah ketika bermain. Hanya dengan cara ini jari dapat menekan butang makro dengan mudah. Kami yakin majoriti pembaca Amanz adalah seperti kami di mana apabila bermain permainan FPS, kami menggunakan butang WASD untuk bergerak dan bukan anak panah. Harus kami akui ini mengakibatkan butang makro yang diprogramkan langsung tidak digunakan oleh kami.

Kedudukan butang makro papan kekunci ini mungkin menyusahkan tetapi secara keseluruhan menggunakan MKA7 untuk bermain permainan komputer memang memuaskan. Ianya sangat selesa digunakan dan segala arahan yang diberikan kepada watak yang dikawal dapat dilakukan dengan jitu. Tidak timbul masalah sela masa ataupun arahan gagal dikesan. Di akhir hari Stealth Raptor MKA 7 berfungsi seperti yang telah dijanjikan. Sungguhpun begitu kami sarankan anda bermain dengan menggunakan fon kepala ataupun sistem audio yang kuat kerana bunyi derapan butang kekunci MKA7 adalah agak bising.

Melalui perisian yang sama kadar polling rate dan kepantasan tindak balas kekunci juga boleh diubah. Julat pilihan untuk polling rate ialah 125- 1000 Hz manakala untuk kepantasan tindak balas kekunci pula di antara 1- 16 milisaat.

SmallKeyboardM1650001

 

Kesimpulan

 Stealth Raptor MKA 7 buatan Armaggeddon ialah papan kekunci mekanikal yang mempunyai kualiti buatan yang teguh, kekunci yang jitu dengan fungsi asas yang baik. Secara keseluruhan papan kekunci dari Temasek ini memenuhi segala keperluan permainan komputer dan menaip kami sepanjang tempoh ulasan. Ia mempunyai pelbagai kustomasi bagi memastikan ia benar-benar memenuhi kehendak anda. Sebagai contoh terdapat pilihan suis dengan tetapan keperincian tersendiri yang boleh anda pilih. Ini ditambah lagi dengan kostumasi polling rate serta kepantasan tindak balas setiap kekunci. Terdapat juga 6 butang makro yang boleh diprogramkan. Ini sesuai digunakan oleh mereka yang gemar bermain permainan RTS seperti Starcraft.  Kustomasi warna kekunci juga boleh dilakukan kerana 8 kekunci tambahan bewarna perak yang disertakan sekali oleh Armaggeddon.  Ini walau bagaimanapun terhad kepada butang WASD dan 4 anak panah.

SmallKeyboardM1650001

Kelemahan yang kami sedari ialah butang berputar yang digunakan untuk mengawal tahap bunyi dan kecerahan lampu kekunci. Ianya terlalu plastik dan tidak mempunyai kualiti binaan setaraf dengan kekunci yang lain. Selain daripada itu lokasi butang makro M1-M6 juga tidak mesra pengguna kerana terletak pada bahagian kanan papan kekunci. Hanya seorang kidal sahaja mungkin merasakan kedudukan butang ini mudah diakses ketika sedang khusyuk bermain.

Pada harga jualan RM 438 harga Stealth Raptor MKA7 adalah agak mahal. Tetapi jika anda mahukan papan kekunci mekanikal dengan kualiti binaan yang baik MKA7 mampu memenuhi keperluan anda.

PRO dan Kelebihan
  • Binaan yang kukuh dan berat. Tampak agresif untuk sebuah papan kekunci untuk seorang pemain komputer tegar. Papan kekunci ini dapat menerima segala hentaman yang mungkin berlaku apabila anda amuk selepas kalah ketika bermain.
  • Kekunci yang responsif dan selesa digunakan ketika sesi bermain permainan komputer dan juga untuk menaip
  • Tahap pencahayaan boleh laras.
  • Sistem pengurusan wayar yang bagus pada bahagian bawah papan kekunci.
  • 8 butang kekunci tambahan dengan warna berbeza disertakan sekiranya anda mahu melakukan kustomasi sendiri. Turut disertakan ialah pengumpil butang kekunci.
KONTRA dan Kekurangan
  • Butang kawalan bunyi dan pencahayaan papan kekunci mempunyai kualiti binaan yang kurang memuaskan
  • Tiada butang makro khas. Lokasi butang makro juga tidak strategik. Terlalu jauh untuk dicapai dengan mudah.
  • Bunyi papan kekunci ini lebih kuat dari biasa.
  • Harga yang mahal

Armaggeddon Stealth Raptor MKA 7 dijual pada harga RM439 sebuah .


TIPS & ULASAN