Adakah Laman “BBCTrending-Kangkung” Dihalang Akses? – TM Mengeluarkan Kenyataan Rasmi

Adakah Laman “BBCTrending-Kangkung” Dihalang Akses? – TM Mengeluarkan Kenyataan Rasmi

Diterbitkan pada Jan 16, 2014 oleh .

Pada malam semalam, ramai pengguna laman sosial yang menggunakan talian internet TM mengatakan mereka gagal mengakses laman BBCTrending yang menyentuh isu “Kangkung” yang hangat diperkatakan sejak sehari dua ini.

Bercakap mengenainya, kini kami telah mendapat kenyataan rasmi berkaitan dengan isu berkenaan daripada pihak Telekom Malaysia.

Menurut Telekom Malaysia, mereka mengatakan sebarang isu berkaitan halangan kandungan dan sebagainya perlu diajukan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), dan sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pihak TM mematuhi peraturan internet yang ditetapkan di Malaysia.

TM turut mengatakan mereka komited dalam menyediakan rangkaian dan perkhidmatan dalam usaha meningkatkan gaya hidup digital di Malaysia.

Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Telekom Malaysia, ia tidak memberikan jawapan yang pasti, dan bagi kami secara rambangnya kelihatan seperti halangan atau kesukaran akses berlaku pada malam semalam untuk laman berkenaan.

Perkara ini mungkin bukan kali pertama berlaku, sebelum ini ketika pilihanraya umum, perkara sama turut dilaporkan berlaku, dimana beberapa laman menghadapi masalah untuk diakses menggunakan sesetengah talian internet.

Akses ke laman BBCTrending dilihat tidak menghadapi masalah sejak petang hari ini.

Pihak SKMM turut telah mengeluarkan kenyataan rasmi mereka – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak pernah menghalang atau mengarahkan mana-mana pembekal perkhidmatan Internet supaya menyekat laporan dalam talian British Broadcasting Corporation (BBC).


TIPS & ULASAN