Tahun lalu Sony mula menjual lensa pintar siri QX mereka ke seluruh dunia. Lensa yang boleh ditambat keman-mana peranti pintar ini mendapat sambutan hangat kerana memberikan kualiti gambar yang baik dan boleh digunakan secara selari dengan aplikasi kamera peranti pintar anda. Kodak hari ini memperlihatkan lensa pintar mereka sendiri iaitu Kodak PixPro SL10 dan SL 25.
Seperti Sony QX lensa ini ditambat kepada peranti pintar menggunakan teknologi WiFi. Dari segi rupa fizikal lensa pintar ini mempunyai rekabentuk yang serupa dengan QX. Terdapat klip plastik yang mencengkam tubuh peranti apabila ianya dipasangkan.Lokasi butang pengatup kamera juga terdapat pada posisi yang sama.
Spesifikasi penuh PixPro masih belum dikeluarkan. Apa yang kami tahu PixPro SL10 ialah lensa 28-280 mm dengan kemampuan zoom optikal 10x dan SL25 ialah lensa 24-600 mm ultra lebar dengan kemampuan zoom optikal 25x. Kodak juga mengatakan lensa ini boleh digunakan dengan peranti Android dan IOS. Tiada perancangan untuk Windows Phone ataupun BB10. Kedua-dua lensa mampu mengambil video pada resolusi 1080P. Ia dijangka memasuki pasaran pada musim bunga kelak dengan harga USD 199 untuk SL10 dan USD 299 untuk SL25. Pada hemat kami Kodak PixPro adalah lensa pintar versi mampu milik kerana dijual pada harga yang lebih murah.
Sumber Kodak Digital