Carian
Ulasan: Asus Transformer Book T100
January 19, 2014 Arib Ismail

Melihat sistem operasi Windows dijalankan pada permukaan satah rata yang ringan dan nipis cukup mengujakan saya jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu. Pada waktu itu, apa yang dapat dilihat Windows hanya dijalankan pada sebuah desktop tower sambil disambungkan pada monitor CRT yang besar sebagai paparan. Komputer riba pun tidak senipis hari ini dan terlalu berat untuk dibawa. Kini, dunia pengkomputeran kita berubah yang mana PC Windows hadir dalam pelbagai bentuk peranti seperti tablet, hibrid dan tidak lagi terhad pada bentuk desktop sahaja. Windows 8 mengubah segalanya.

Banyak pengeluar telah menghadirkan peranti Windows 8 mereka dengan pelbagai bentuk. Tablet dan peranti hibrid sering menjadi tumpuan pengeluar dan kebanyakannya terlalu mahal untuk dimiliki atas faktor penggunaan pemprosesan berprestasi tinggi seperti siri Intel Core. Ada juga pengeluar hadir dengan tablet Intel Atom pada awal Windows 8 dikeluarkan tapi harganya juga dikira agak mahal seperti Asus VivoTab Smart yang berharga RM1899 ketika itu. Mungkin disebabkan faktor peranti tablet berkelas desktop masih mahal ketika itu dan tidak mustahil atas faktor generasi Intel Atom lama yang berkos tinggi untuk diguna pakai pada peranti jenis tablet.

DSC00060

Intel telah melancarkan pemprosesan Intel Atom generasi baru ‘Bay Trail’ pada Oktober tahun lepas yang membawakan prestasi yang lebih pantas, penggunaan tenaga yang efisien, dan paling penting lebih berkos rendah berbanding generasi sebelumnya. Selepas kehadiran pemprosesan ini, banyak tablet Windows hadir selepasnya didatangkan dengan harga yang lebih murah seperti Acer Iconia W4 yang ditawarkan secara rasmi pada harga RM1099.

DSC00244Salah satu peranti Intel Bay Trail yang cukup mendapat perhatian saya ialah Asus Transformer Book T100 yang ditawarkan bersama papan kekunci khas padanya dengan harga RM1199 ketika awal dilancarkan. Cuma pada ulasan kali ini, saya akan membawakan ulasan Asus Transformer Book T100 versi 32GB + 500GB yang ditawarkan pada harga RM1399 ketika ulasan ini ditulis. Sejauh manakah Transformer T100 beraksi? Bolehkah Bay Trail menjanjikan pembelian yang bernilai untuk peranti ini? Ikuti ulasan di bawah.

Reka Bentuk dan Fizikal

Asus Transformer Book T100 hadir dengan rekaan hibrid yang dapat berfungsi sebagai tablet ataupun anda boleh menjadikannya sebagai sebuah netbook apabila disambungkan pada pada kekuncinya. Menyambungkan kedua-dua bahagian tidak terasa sukar dan boleh dilekatkan dengan mudah.

Bahagian tablet didatangkan dengan paparan 10.1-inci berteknologi IPS yang memberikan darjah pandangan yang sangat baik walaupun dilihat dari pelbagai sudut darjah. Paparan dengan resolusi 1366×768 ini mungkin tidak secantik paparan iPad Air atau Nexus 7 (2013) yang hadir dengan PPI yang tinggi, tapi bagi saya secara keseluruhannya paparan T100 cukup baik dan memuaskan. Cuma saya tidak sukakan bahagian bezel paparan yang agak tebal menyebabkan tablet ini kelihatan kekok apabila dipegang secara menegak.

Perkara yang membuatkan saya sedikit pelik mengenai peranti ini adalah kedudukan butang Windows diletakkan pada sisi tablet dan bukan pada bahagian bawah tengah seperti kebanyakan tablet Windows 8 yang lain. Ia berada di bawah butang perlarasan suara dan kedudukan ini bagi saya tidak begitu praktikal. Akibatnya, saya lebih gemar menekan butang Start melalui Charm Bar dan jarang menggunakan butang ini untuk ke Start Screen.

DSC00267

Beberapa sambungan pada bahagian tablet ini turut disediakan antaranya port sambungan 3.5 mm earphone jack dan juga sambungan micro HDMI yang membolehkan anda menyambungkan ke paparan monitor, TV atau projektor. Sekiranya anda gemar menggunakan tablet sahaja, ia turut hadir dengan sambungan microUSB yang boleh dijadikan sebagai sambungan USB apabila anda menyambungkan kabel USB On-the-Go padanya. Apa yang menarik mengenai peranti ini, sambungan microUSB turut bertindak sebagai sambungan pengecas dan perkara ini tidak menjadi masalah sekiranya anda ingin mengecas peranti ini dengan pengecas telefon pintar anda.

DSC00273Bercakap mengenai binaan, bahagian belakang  tablet yang berteraskan plastik agak sedikit mengecewakan kerana meninggalkan kesan cap jari yang serius. Ia menjadikan bahagian belakang tablet cepat kotor dan agak tidak cantik jika ia dibiarkan.

Bahagian kekunci pula hadir dengan binaan logam pada bahagian atasnya disamping menghadirkan tekstur bergetah pada bahagian bawahnya. Secara peribadi, saya sukakan binaan bahagian kekunci peranti ini kerana ia kelihatan kemas, segak, dan mampu menarik impresi pertama apabila seseorang melihatnya. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bateri didatangkan pada bahagian ini dan keseluruhan tenaga hanya bergantung pada bateri di bahagian paparan tablet.

Mengenai storan peranti ini, pada bahagian tablet dilengkapi dengan storan eMMC sebanyak 32GB dengan jumlah storan yang tersedia untuk pengguna sebanyak 14.7GB. Ia turut menyokong storan microSD sehingga 64GB sekiranya anda lebih gemar menggunakan paparan tablet untuk mengisi fail peribadi anda. Untuk versi 32GB + 500GB seperti di dalam ulasan ini, pada bahagian papan kekuncinya hadir dengan storan tambahan 500GB dan pastinya memerlukan anda untuk menyambung kedua-dua bahagian (tablet + papan kekunci) untuk mengakses storan ini.

DSC00266

Sistem Operasi dan Aplikasi

Transformer Book T100 dilengkapi dengan sistem operasi Windows 8.1 yang membolehkan anda memasang perisian .exe tanpa masalah. Bermakna anda boleh memasang aplikasi desktop seperti Google Chrome, VLC Player, Photoscape, dan Adobe Photoshop pada peranti ini. Ia juga turut hadir dengan Microsoft Office Home and Student 2013 secara percuma yang membolehkan anda melakukan tugasan pejabat padanya.

DSC00096Asus juga turut menghadirkan fungsi Reading Mode di dalam peranti ini yang hadir dengan kebolehan menukar mod mengikut masa bacaan anda. Sekiranya anda membaca pada waktu malam atau di tempat yang gelap, anda boleh menukar kepada ‘night mode’ yang didatangkan dengan latar belakang gelap yang dapat memberi keselesaan kepada mata anda.

Dari segi masalah bloatware, secara keseluruhannya Asus tidak membebankan T100 dengan masalah ini. Secara tersedia, ia hanya hadir dengan beberapa fungsi asas Asus seperti fungsi Asus Gesture dan tiada sebarang kemasukan perisian tambahan seperti anti-virus versi percubaan yang cuba dilakukan oleh kebanyakan pengeluar.

Prestasi

Peranti hibrid ini didatangkan dengan pemprosesan empat-teras Intel Atom Z3740 1.3GHz dan RAM sebanyak 2GB. Jujurnya saya merasakan prestasi Asus Transformer T100 tidak memberi sebarang masalah untuk kegunaan harian. Membuka dan menggunakan aplikasi utama dilihat sangat lancar dan pantas. Menggunakan Google Chrome dan menonton video 1080p pada laman Youtube juga tidak memberikan sebarang masalah lengah masa dan saya kira Bay Trail berkerja sangat responsif dan cemerlang untuk tugasan harian.

DSC00252

Salah satu perkara yang cukup mengujakan saya adalah ketika membuka aplikasi Adobe Photoshop CS6 yang mengambil masa tidak kurang 7 saat. Ia lebih pantas daripada peranti Intel Haswell yang sedang saya gunakan juga ketika ini dan jauh meninggalkan prestasi generasi Atom terdahulu. Memasukkan filter kompleks pada gambar melalui Photoshop juga terasa pantas dan hasilnya dapat dipaparkan dengan hanya beberapa saat sahaja. Saya boleh kata, prestasi Intel Bay Trail adalah lebih kurang sama pengalamannya seperti menggunakan peranti dengan Intel Core i3.

DSC00298Dari segi prestasi untuk permainan, hampir jumlah besar permainan daripada Windows Store tidak memberi masalah prestasi pada peranti ini. Permainan seperti Asphalt 8: Airbone dan Minion Rush berfungsi dengan lancar dan baik sekali. Cuma beberapa permainan desktop seperti Dota 2, Counter Strike: Global Offensive dan permainan perlumbaan seperti Need For Speed: Most Wanted (2012) mencatatkan frames per second yang rendah dan tidak sesuai dimainkan. Permainan sukan bola sepak seperti FIFA 2014 dilihat kurang memberi masalah atas sebab tidak memerlukan grafik yang tinggi dan boleh dimainkan pada setting paling terendah.

Papan Kekunci dan Touchpad

Menulis pada papan kekunci T100 saya boleh katakan pengalaman menggunakannya agak sederhana kerana saiz kekuncinya yang sedikit kecil berbanding komputer riba biasa. Saya merupakan pengguna netbook Asus Eee PC 1000H dari 2009 sehingga kini dan saya tidak mempunyai sebarang masalah menulis pada papan kekuncinya. Ia hadir dengan papan kekunci standard dan selesa ditekan pada kadar pantas. Tapi berbeza pada T100, ia hadir dengan rekaan papan kekunci chiclet yang sedikit sebanyak mengecilkan saiz butang kekunci. Menulis pada peranti ini kadangkala mengundang kesalahan ejaan yang ketara. Secara peribadi, saya sukakan rekaan chiclet cuma saya merasakan ia tidak sesuai diaplikasikan pada peranti 9-10 inci. Terlalu kecil.

DSC00251

Mengenai touchpad T100 pula ia hadir dengan permasalah bunyi klik yang terlalu ketara jika anda menekan kedua-dua butang touchpad (klik-kanan dan klik-kiri) secara fizikal. Saya boleh katakan ia agak menggangu dan sebagai cara mengatasinya, saya lebih gemar menekan touchpad secara sentuhan atau multi-touch untuk membuat sebarang klik. Mengawal kursor pada touchpad T100 juga tidak beberapa menarik bagi saya atas sebab permukaannya terlalu licin sehinggakan ada satu tahap saya ‘fed up’ dan terus gunakan fungsi touch pada paparannya.

DSC00287Cuma satu sahaja yang saya suka mengenai papan kekunci dan touchpad T100, tiada sebarang haba dapat dirasai kerana haba pada peranti kesemuanya terletak pada paparan tablet.

Jangka Masa Bateri

Kekuatan Intel Bay Trail selain menambah baik prestasi berbanding Atom generasi terdahulu, ia turut membawakan prestasi jangka hayat bateri yang lebih lama. Pada percubaan saya, menggunakan peranti ini dengan melayari internet secara berterusan dilihat mampu bertahan sekitar 11 jam dengan kadar keterangan skrin sebanyak 40%. Saya boleh katakan ia lebih baik berbanding Microsoft Surface yang mencatat bacaan sekitar 7-8 jam dan peranti Intel Core i5 (Haswell) yang mampu bertahan sekitar 9 jam.

Rumusan

Kebolehan jangka hayat bateri yang tahan lama sehingga 11 jam lamanya menjadikan T100 dikira agak murah jika dibandingkan dengan peranti Intel Haswell yang ditawarkan dua kali ganda lebih mahal. Prestasi harian menerusi pemprosesan Bay Trail dilihat sangat lancar menjadikan Windows 8.1 tidak memberi sebarang masalah lengah masa dan bertindak sangat responsif pada Transformer T100. Rekaan hibrid Asus yang turut menghadirkan papan kekunci sebagai satu pakej pembelian adalah satu tidakan bijak yang dapat menarik perhatian pengguna dan sudah pasti menjadi pelaris bagi jualan peranti ini.

DSC00259

Cuma beberapa masalah yang dihadapi adalah kekunci yang sedikit kecil menyukarkan pengguna berjari besar menaip pada papan kekunci T100 ini. Touchpad yang kurang responsif dilihat mencacatkan pengalaman pengguna apabila menavigasi kursor dan bunyi klik touchpad yang agak mengganggu menyebabkan ia tidak beberapa selesa digunakan. Rekaan bahagian belakang tablet yang mudah memerangkap cap jari dan bahagian bezel panel paparan yang besar turut menjadi perkara yang mengisi kontra bagi peranti ini.

Apapun secara keseluruhannya Asus Transformer T100 merupakan salah satu peranti yang berbaloi untuk dimiliki kerana harganya yang berpatutan bagi sebuah peranti jenis hibrid. Atas saiznya yang mudah dibawa dan kemampuan baterinya yang mampu bertahan sehingga 11 jam lamanya, ia sebuah peranti yang menjanjikan pengalaman mobiliti yang terhebat untuk anda.

Skor Asus Transformer Book T100

Komen