Cari @ Amanz

Sebulan telah berlalu sejak penjualan Sony PlayStation 4 (PS4) secara rasmi di Malaysia. Maka genap juga sebulan saya telah menggunakan PS4 untuk melampiaskan nafsu permainan video setiap hari. Kebiasaannya saya bermain permainan di komputer. Permainan konsol terakhir yang saya miliki adalah Micro Genius, salah satu konsol permainan klon Famicom paling popular ketika itu. Itu pun kerana PlayStation Portable boleh dikatakan konsol mudah alih dan saya perlu memfokus pada skrin kecil. Saya rindu zaman memegang controller permainan sambil duduk bersandar memandang TV besar. Dan PS4 telah mengimbau semula kenangan tersebut, malahan, mempersembahkan permainan generasi baru dalam resolusi yang tinggi.

Nyahkotak

Stesen Permainan 4

PS4 yang digunakan saya adalah set asas, dijual pada harga RM1799 dan disertakan dengan satu DualShock 4. Turut disertakan adalah kabel kuasa, kabel micro-USB untuk mengecas DualShock 4, kit headset dan mikrofon, dan juga kabel HDMI. Bagi saya, kit headset dan mikrofon sedikit mengecewakan kerana ia hanya boleh digunakan untuk sebelah telinga. Saya tidak pasti dengan pengguna lain adakah ini kit headset yang diberi secara kebiasaannya tetapi saya lebih sukakan andainya kit headset tersebut boleh digunakan pada kedua belah telinga.

Headset tersebut boleh dicucuk pada DualShock 4 membolehkan anda berinteraksi dengan pemain lain, ataupun memberi komentari terhadap permainan yang sedang dimainkan. Anda juga boleh menggunakan headset kegemaran anda. Saya mencubanya dengan Apple EarPod dan fungsi mikrofonnya juga boleh digunakan. Saya rasa mungkin ia juga menyokong headset yang lain.

Pemasangan

PS4 memberikan lebih perhatian untuk sokongan atas talian. Semasa memulakan PS4 buat kali pertama, saya perlu memuatturun kemaskini terbaru perisian untuk membolehkannya beroperasi. Tidak salah saya ini adalah perkara yang perlu dilakukan jadi sudah pasti ia akan menimbulkan masalah buat mereka yang mempunyai capaian internet yang perlahan. Selesai penetapan kali pertama, menu terbaru dinamakan PlayStation Dynamic Menu muncul, menggantikan XMB yang biasa buat pengguna PSP dan PS3.

IMG_3473

Semasa pemasangan juga, pengguna perlu mendaftar akaun PlayStation Network (PSN) dan boleh mengintegrasikannya bersama-sama akaun Facebook & Twitter. Fungsi sosial merupakan satu perkara utama dalam PS4 dan selain dari hanya berkongsi gambar permainan anda, anda juga boleh merekod sehingga 15 minit video rakaman anda bermain.

PS4 boleh diletak dalam kedudukan mendatar atau menegak. Semasa saya meletakkannya secara mendatar, tiada bunyi kipas yang didengari, atau mungkin kerana ia diletak berhampiran pembesar suara. Apabila saya meletakkannya secara menegak, bunyi kipas dapat didengar mungkin kerana salah satu lubang udaranya dihalang oleh lantai, menyebabkan kipas berputar lebih laju.

Permainan

Permainan pertama yang saya beli adalah Assassin Creed 4: Black Flag melalui PlayStation Store pada harga RM179. Dengan menggunakan Unifi 5MB, permainan tersebut mengambil masa lebih kurang 7 jam untuk dimuat-turun. Terdapat juga perbezaan harga antara versi pembelian melalui muat-turun dan juga pembelian di kedai permainan. Contohnya Killzone Shadow Fall beharga RM 169 di PS Store akan tetapi di kedai permainan sekitar Lembah Klang menjualnya pada harga RM199. Apapun, perbezaan sebanyak RM30 ringgit mungkin beza yang kecil seandainya anda tidak mampu bersabar kerana perlu menunggu tempoh muat-turun yang lama.

Akan tetapi, dengan versi fizikal format Blu-Ray permainan PS4, anda juga boleh berkongsi dengan pemain lain seperti video diatas. Saya tidak pasti sama ada perkongsian permainan boleh dilakukan pada masa yang sama sekiranya kedua belah pihak ingin bermain diatas talian. Mungkin kami akan uji perihal berkenaan ini di kemudian hari. Juga perlu diingatkan untuk pembelian atas talian, maklumat kad debit/kredit diperlukan. Salah satu perkara yang perlu dipuji adalah harga permainan yang dipaparkan adalah dalam RM, jadi tidak perlu anda mencongak sekiranya harga USD tertera.

Berkenaan kualiti grafik, saya rasa ia tidak perlu penjelasan lanjut kerana ia sememangnya mengasyikkan. Bermain Assassin Creed 4 dengan pengalaman kejernihan pantai Havana, menghadapi ribut dilautan serta menyusup masuk dicelah rumput untuk membunuh Templar laknat memang menambah kesan dari segi pengalaman bermain. Dan melalui permainan Resogun, walaupun premis permainannya ringkas; hanya perlu menembak kapal musuh dan menyelamatkan manusia, berjuta-juta polygon telah digunakan untuk menambah kesan khas pada permainan.

Salah satu perkara yang kurang saya sukai adalah pilihan permainan PS4 yang sedikit pada awal ini. Boleh dikatakan permainan yang dijual di PS Store tidak banyak, kurang dari 50 pilihan permainan. Atau mungkin kerana paradoks ketiadaan duit saya tidak mampu untuk melebihi bajet bulanan untuk hiburan duniawi ini menyebabkan nafsu membeli permainan terbantut. Apapun, terdapat juga permainan percuma seperti Pinball, DC Universe Online, Blacklight Retribution dan juga WarFrame. Harga permainan bermula sekitar RM19 (Flow) hingga semahal RM230 (Need For Speed Rivals).

Antara permainan yang saya miliki selain Assassin Creed 4 adalah Escape Plan, Demo FIFA, serta permainan dari langganan PlayStation Plus, iaitu Contrast, Resogun dan terbaru pada bulan ini Don’t Starve: Console Edition.

PlayStation Plus: Berbaloi atau Tidak ? 

PlayStation Plus merupakan keahlian secara langganan. Pemain boleh melanggan keahlian tersebut sama ada setiap bulan (RM21), 3 bulan (RM43), atau setahun (RM129). Saya melanggan untuk setahun + 3 bulan pada harga promosi RM129. Dengan keahlian tersebut, pemain akan menerima permainan percuma, demo permainan serta kandungan interaktif selagi mana tempoh keahlian sah. Dan permainan yang diterima melalui keahlian juga hanya boleh dimainkan selagi tempoh keahlian sah.

Bagi saya, sudah tiga permainan yang saya terima dan ketiga-tiga permainan tersebut berjumlah RM148 jadi ia sedikit sebanyak sudah membayar keahlian saya. Dari ketiga-tiga permainan tersebut, dua permainan mempunyai nilai main semula yang tinggi iaitu Resogun dan Don’t Starve. Apapun saya berharap lebih kerap permainan akan diberikan melalui PlayStation Plus pada kadar yang pantas.

Dualshock 4

Mungkin ramai yang mempersoal rekaan baru DualShock 4 disamping ketiadaan butang START namun bagi saya yang kadang-kala bermain konsol lain dirumah orang merasakan itu bukan masalah utama. Fungsi START ditukar kepada OPTION, dan membolehkan lebih banyak pilihan dilakukan. Touchpad yang diletakkan di atas pula bagi saya mempunyai ruang yang cukup dan boleh ditekan, sekaligus menambah input butang pada DualShock 4 namun buat masa ini tidak banyak fungsi touchpad yang menggunakan gesture kecuali pada permainan WarFrame.

IMG_3463

Apa yang saya tidak sukai adalah ketahanan bateri DualShock 4 sekitar 6-7 jam. Mungkin ada sedikit perbezaan dari ulasan lain yang mengatakan 7-8 jam kerana saya kerap bermain menggunakan headset, mungkin lebih tenaga digunakan. Sekiranya anda membeli DualShock kedua, kabel mikro-USB tidak disediakan dan pada harga RM249, ianya agak mahal.

Berkenaan pembesar suara pada DualShock 4, kegunaannya juga terhad buat masa ini. Di dalam permainan WarFrame dan Resogun, ia digunakan untuk membantu pemain dalam memberikan arahan serta amaran.

Fungsi SHARE pada DualShock 4.

Umum mengetahui antara perkara yang suka dilakukan oleh para pemain adalah untuk merakam detik-detik mereka semasa bermain. PS4 menyediakan cip pemprosesan kedua yang bertanggungjawab untuk melakukan kesemua perkara tersebut. Saya sedikit kagum apabila mengetahui PS4 akan merakam keseluruhan tempoh permainan anda sehinggalah anda menekan butang SHARE.

Sejurus anda menekan butang SHARE, apa yang PS4 lakukan adalah seperti berikut:

  • Mengambil detik tersebut dalam format gambar, dan sedia untuk dimuatnaik.
  • Menghentikan rakaman yang dilakukan sama ada secara automatik atau rakaman yang dimulakan pemain.
  • Memberi pilihan sekiranya pemain ingin menyiarkan permainan mereka secara langsung, yang memerlukan pemain untuk mempunyai akaun Twitch.

Anda boleh meneruskan permainan anda sambil cip pemprosesan kedua memuatnaik perkongsian anda keatas talian. Video yang dimuatnaik akan diterbitkan di halaman Facebook pemain dan pemain juga boleh memilih tahap privasi yang diinginkan. Agak pelik mengapa PS4 tidak boleh memuat-naik video ke YouTube. Saya harap fungsi ini akan diadakan tak lama lagi. Kualiti video yang dimuatnaik pula 80% menyamai kualiti permainan yang dimainkan.

Pro

  • Kualiti grafik yang mencengkam jiwa.
  • Harga yang berpatutan berbanding harga PlayStation yang lain pada dahulu
  • Fungsi SHARE membolehkan anda berkongsi detik permainan anda bersama yang lain.

Kontra

  • Sekiranya anda ingin bermain berdua, pembelian DualShock 4 yang kedua tidak disertakan kabel mikro-USB
  • Ketahanan bateri DualShock 4 adalah kurang.
  • Pilihan permainan yang masih terhad.

Skor Sony PlayStation 4

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd