Cari @ Amanz

kurios-4s-touch

Telefon pintar kini bukan sahaja mainan untuk orang dewasa tetapi juga untuk kanak-kanak. Anak saudara kami walaupun baru berusia empat tahun sudah pandai memuat turun dan bermain aplikasi di dalam peranti milik ibu bapa mereka. Di pasaran sudah ada beberapa peranti pintar yang direka khas untuk kanak-kanak. Beberapa pengeluar telefon pintar seperti HTC pula memasukkan fungsi mesra kanak-kanak (HTC KidMode) pada peranti sedia ada bagi mengawal apa yang boleh diakses si kecil apabila menggunakan peranti ibu bapa mereka. Samsung pula mengeluarkan Samsung Tab 3 Kids dengan antaramuka ceria direka untuk kanak-kanak pra sekolah.

Kurios 4S Touch keluaran Kurio, sebuah syarikat yang berpengkalan di Perancis ialah sebuah lagi peranti yang cuba mensasarkan golongan kanak-kanak. Sebelum ini mereka mengeluarkan Kurio 7X, sebuah tablet untuk kanak-kanak. Jadi apakah kelebihan Kurio 4S berbanding pesaingnya di pasaran? Telefon pintar ini direka dengan rekaan kontemporari. Pada pendapat Kurio telefon untuk kanak-kanak tidak bermakna ia harus kelihatan seperti telefon palsu yang boleh dibeli di pasar malam. Mereka mendapati kanak-kanak lebih gemar menggunakan peranti yang kelihatan seperti peranti milik orang dewasa. Dari pengalaman peribadi kami, kami bersetuju dengan pendapat Kurio.

4S Touch ialah sebuah peranti yang diperkasakan pemproses dua teras Cortex A20, 1 GB RAM, kamera utama 2.1 MP, muatan dalaman 8 GB dan skrin sebesar 3.9″. Ia mempunyai aplikasi Kurio Genius yang mempunyai pengkalan data 450 laman sesawang yang dipantau aksesnya. Telefon ini juga dilengkapi sistem kawalan aplikasi, masa penggunaan , penjejak GPS dan akses secara jauh oleh ibu bapa dari peranti lain. Akhir sekali Kurios 4S Touch mempunyai sistem kecemasan dimana sekiranya anak anda diculik, butang kuasa boleh ditekan beberapa kali bagi mengaktifkan sistem SOS yang menghantar mesej dan lokasi kepada ibu bapa.

Masih tiada pengumuman tentang harga tetapi telefon pintar ini akan memasuki pasaran Amerika utara musim panas yang akan datang.

Persoalannya ialah adakah perlu anak-anak kecil memiliki peranti pintar? Adakah ini sesuatu yang sihat ataupun hanya mewujudkan generasi hamba peranti akan datang? Sila nyatakan pendapat anda di bawah. Kami ingin tahu pendapat golongan ibu bapa kerana kami sendiri akan menjadi seorang bapa tahun ini dan tak pasti sama ada mahu mendedahkan anak kami kepada dunia peranti pintar.

kurio-4s-touch2

Sumber KURIO

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd