Carian
Pandang Pertama Alcatel One Touch Hero
January 25, 2014 Effi Saharudin

 

Dalam laporan Juniper Report yang diterbitkan dua hari lalu, pasaran peranti phablet akan berkembang secara mendadak. Tahun lalu sebanyak 20 juta phablet dijual dan menjelang 2018 130 juta dijangkakan akan dijual setiap tahun. Kenaikan jumlah jualan phablet dipacu trend di mana pengguna semakin gemar menggunakan aplikasi permainan yang lebih selesa digunakan pada peranti berskrin besar. Jadi tidak mengejutkan apabila ura-ura bahawa Apple akan menghasilkan phablet pertama mereka tahun ini. Apple juga sebahagian dari potongan kuih bakar yang kini dikuasai Android and Windows Phone. Jika ura-ura ini dimanifestasi menjadi realiti, debu Steve Jobs akan berguling di dalam balang abu beliau kerana Apple mengeluarkan produk yang pernah dicemuhnya.

Alcatel One Touch Hero
Pemproses 1.5 GHz Empat Teras Mediatek
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 8 GB sokongan kad MikroSD 32 GB
Kamera 13 MP utama/ 2 MP hadapan
Skrin 6″ LCD IPS HD Penuh
Bateri 3400 mAh
Fungsi Tambahan stylus, penutup LED, Telefon Bluetooth
Harga RM 1399

Sementara Apple masih cuba bereksperimentasi dengan saiz peranti baru seperti seorang pelajar  kolej bereksperimentasi dengan herba psikoaktif, Alcatel sudah mengeluarkan One Touch Hero. Phablet dengan skrin LCD 6″ lengkap dengan stylus ini diperlihatkan kepada umum September tahu lalu. Ia mula di jual di Malaysia sejak rabu lalu dan kami sempat menghabiskan beberapa jam mencuba phablet terbaru di pasaran ini

Ia diperkasakan pemproses 1.5 GHz empat teras Mediatek, 2 GB RAM, muatan dalaman 8 GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 32 GB, kamera utama 13 MP dan beteri berkapasiti 3200 mAh.
Di atas kertas spesifikasi Hero tidak banyak bezanya dengan Galaxy Note 3 dan Asus Fonepad Note FHD 6. Kekurangan utama yang kami sedari ialah dari pemproses Mediatek yang digunakan dan stylus yang disertakan.

[amanz-gallery]

Umun diketahui pemproses Mediatek ialah pemproses kelas pertengahan dengan kemampuan sederhana. Stylus yang disertakan pula tidak menggunakan teknologi Wacom Ia hanyalah stylus getah kapasitif seperti yang anda boleh beli di kedai aksesori telefon. Oleh sebab itu kami sedari ketepatan melakar dan menulis pada skrin Hero menggunakan stylus ini tidak setanding Note 3 ataupun Fonepad Note. Tiada juga butang khas pada stylus yang membolehkan fungsi tambahan diaktifkan ketika penggunaan. Seperkara lagi peranti ini masih menggunakan Android 4.2.2 dan kami difahamkan tiada tarikah muktamad ia akan menerima penambah baikkan ke 4.3 ataupun 4.4. Sungguhpun begitu terdapat juga keunikanyan disertakan apabila anda membeli peranti ini.

 

Penutup LED Magnetik

Penutup LED mangnetik disertakan sekali di dalam kotak dengan setiap pembelian. Penutup ini bercantum dengan bahagian belakang peranti seperti papan kekunci Microsoft Surface. Panel penutup juga magnetik dan akan melakukan proses nyahkunci peranti secara automatik apabila dibuka. Magnet yang digunakan agak kuat dan panel penutup tidak mudah terbuka walaupun apabila peranti digoncang. Panel LED terbina pula mampu memaparkan masa, jumlah cas bateri, notifikasi SMS, notifikasi panggilan terlepas dan juga visualisasi equaliser bunyi apabila muzik dimainkan. Ia adalah fungsi yang agak unik bagi sebuah penutup peranti. Pada asalnya Hero sepatutnya disertakan dengan penutup berskrin e-ink. Oktober tahun lalu ketika Hero diumumkan, prototaip e-ink ini diperlihatkan kepada umum. Kami difahamkan oleh pihak Alcatel sungguhpun penutup Hero digantikan dengan penutup LED, teknologi penutup e-ink ini masih dalam proses pembangunan. Mungkin dalam jangka masa terdekat ia akan terjual sebagai aksesori tambahan. Selain penutup e-ink, aksesori projektor piko Hero juga nampaknya masih belum sedia dihasilkan secara komersial dan kekal sebagai prototaip.

alcatel One HeroM1780036

Sidekick : Telefon Bluetooth

Sebuah lagi aksesori unik dan aneh Alcatel One Touch Hero ialah Sidekick. Ia adalah sebuah telefon mini yang ditambat secara Bluetooth kepada peranti anda. Fungsinya ialah sebagai telefon tanpa wayar yang boleh anda gunakan sekiranya anda tidak mahu menggunakan Hero untuk menjawab telefon. Sidekick juga boleh digunakan untuk membaca sms. Adakah ianya aksesori yang anda idamkan dan rasakan perlu ada sepanjang masa? Mungkin tidak tetapi yang pasti ia membuatkan kami terasa ingin menghasilkan meme “Yo abang, saya dengar anda suka telefon maka saya sertakan telefon di dalam telefon anda” seperti Xzibit.

alcatel One HeroM1780038

Antaramuka

Alcatel One Touch Hero menggunakan antaramuka yang sama pada Idol X yang muncul  September lalu. Kerana skrin yang lebih besar, sebanyak 5 ikon aplikasi boleh disusun secara mendatar pada skrin berbanding 4 pada Idol X. Tetapi tidak seperti Idol X, Hero dilengkapi talam aplikasinya sendiri.  Kesemua ikon dan paparan antaramuka mempunyai rekaan minimalis dengan sentuhan warna pastel. Secara keseluruhan kelajuan tatalan dan pelancaran aplikasi adalah pantas dan lancar.

Kesimpulan

Pasaran phablet kini semakin mendapat tempat di kalangan pengguna. Alcatel One Touch Hero memasuki pasaran phablet dengan menawarkan pakej yang menarik pada harga yang mampu milik. Skrin peranti ini memang cantik, tajam dan jelas. Aksesori yang disertakan juga menarik dan pada masa yang sama membingungkan. Penutup magnetik dengan LED ialah aksesori unik yang kami sangat gemari. Dari segi spesifikasi peranti ini mempunyai kemampuan yang sederhana. Dari segi rekaan peranti ia kelihatan kemas dan cantik. Ianya juga selesa dipegang sungguhpun mempunyai skrin yang besar. Buat masa ini kami masih belum mampu mengatakan sama ada peranti ini harus anda miliki atau tidak. Tetapi dari pandangan pertama kami semuanya mengunjur kepada ya, ianya mungkin peranti alternatif kepada mereka yang mahukan phablet berstylus pada harga yang mampu milik. Nantikan ulasan penuh daripada kami di masa terdekat.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin HD Penuh dengan kepadatan pixel yang tinggi (367 ppi). Paparan sangat jelas dan tajam
  • Harga yang mampu milik bagi sebuah phablet berskrin 6″ dengan pelbagai aksesori yang diberikan dengan setiap pembelian
  • Penutup skrin magnetik dengan paparan LED terbina. Sesuatu yang kami tidak pernah lihat sebelum ini. Mampu memaparkan panggilan, notifikasi sms dan visualisasi audio.
  • Kemasan dan kualiti binaan yang baik. Selesa dipegang.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan 4G
  • Stylus bukan dari keluarga Wacom. Tiada butang khas. Berfungsi seperti stylus kapasitif biasa
  • Alcatel One Touch Hero dijual pada harga bermula dari RM1399 sebuah .
Komen