Adakah Galaxy S5 Bakal Menyertakan Sokongan Pengimbas Cap Jari?

Adakah Galaxy S5 Bakal Menyertakan Sokongan Pengimbas Cap Jari?

Diterbitkan pada Jan 31, 2014 oleh .

Samsung sebelum ini telah memperkenalkan peranti keluarga “Galaxy S” pada suku pertama, dan perkara sama dijangka untuk tahun ini. Dengan tarikh pengumumannya yang dikatakan sekitar Mac, kini pelbagai informasi berkaitan dengannya mula kedengaran.

Salah satu perkara menarik yang dikongsikan oleh pihak @evleaks baru-baru ini adalah berkenaan gambar sebuah fail APK yang akan disertakan bersama-sama Galaxy S5, memfokuskan kepada perkhidmatan cap jari.

Melalui apa yang diperlihatkan, ia nampaknya seperti Samsung ingin membawa sokongan pengimbas cap jari pada peranti mereka. Namun, pada masa yang sama, ia turut boleh dikatakan hanya sebagai ujian awal dari segi sokongan perisian dan mungkin peranti versi akhir mereka tidak menyertakannya.

Buat masa ini, beberapa peranti menyediakan sokongan pengimbas cap jari, dan paling terbaru adalah HTC One Max. Namun, ia tidak menerima reaksi positif pengguna kerana implementasinya yang tidak begitu menarik perhatian pengguna. Salah satu sebab yang diberikan adalah kerana Android sendiri tidak menyediakan API yang memfokuskan kepada sokongan pengimbas cap jari ketika itu.

Apa pun, sama-sama kita nantikan sama ada peranti baru Samsung ini akan mengimplementasikan sokongan cap jari atau sebaliknya. Sekiranya ya, semestinya cara bagaimana Samsung akan mengintegrasikan ia akan menjadi penantian ramai.


TIPS & ULASAN