Sebelum ini, kami telah berkongsi serba sedikit mengenai pengenalan kepada Raspberry Pi. Komputer bersaiz mini tersebut boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, dan salah satunya adalah untuk menggunakan ia sebagai pusat media anda yang diuruskan melalui penggunaan XBMC.
Menggunakannya, ia membolehkan pengguna untuk menguruskan pelbagai fail-fail media digital mereka, termasuk daripada lagu, filem, gambar dan sebagainya.
Terdapat beberapa perisian yang membawakan sokongan XBMC kepada Raspberry Pi, dan salah satu yang popular adalah Raspbmc. Ia bersaiz mini – sekitar 70MB, dan membawakan pelbagai sokongan menarik, termasuk cara pemasangan yang amat mudah, sokongan memainkan video 1080p, kebolehan berkongsi kandungan daripada PC, serta membolehkan anda memainkan kandungan daripada peranti iOS menggunakan AirPlay.
Untuk menggunakan Raspbmc, pengguna diberikan dua pilihan, sama ada memuat-turun fail pemasangan mudah ataupun fail pemasangan berbentuk IMG yang boleh dipasang menggunakan Win32DiskImager. Untuk kami, kami memilih memuat-turun fail pemasangan berbentuk IMG, dan kemudiannya memasang ia secara manual pada kad-SD. Namun, bagi pengguna yang mempunyai sambungan internet laju, mereka boleh memuat-turun fail pemasangan mudah – sekitar 200kb – dan kemudiannya ia akan memuat-turun fail yang diperlukan secara automatik.
- Muat-Turun Raspbmc
Sebaik sahaja selesai memasangnya pada kad-SD anda, anda boleh menghubungkan ia kepada Raspberry Pi kemudiannya memasang ia kepada televisyen atau skrin monitor anda. Untuk permulaan, ia akan memerlukan anda untuk memuat-turun kemaskini sistem fail, yang mana mungkin mengambil sedikit masa sebelum selesai sepenuhnya.
Selesai sepenuhnya, pengguna akan melalui beberapa skrin tetapan, dan seterusnya boleh menggunakan ia dengan menghubungkan USB, atau memainkan fail media menggunakan AirPlay dan sebagainya. Untuk menambah pengalaman penggunaan, pengguna juga turut boleh memasang addon pada pemasangan Raspbmc anda, dan menjadikan pengalaman penggunaan Media Center anda lebih menarik lagi.