Lenovo selain mengambil-alih bahagian Motorola baru-baru ini, ia dilihat mereka turut memberikan sokongan untuk Chrome OS, dengan memperkenalkan dua komputer riba Chromebook baru-baru ini – dinamakan ThinkPad Yoga 11e Chromebook dan ThinkPad 11e Chromebook.
Dua komputer riba Chromebook telah diperkenalkan oleh Lenovo, dimana salah satunya membawakan rekabentuk biasa, dan satu lagi membawakan rekabentuk fleksibel seumpama Yoga. Dari segi spesifikasi, ia membawakan skrin bersaiz 11.6-inci, dilengkapi bateri bertahan sepanjang 8 jam dan menggunakan cip pemprosesan daripada Intel.
Kedua-duanya dilihat disasarkan untuk golongan pelajar, dan turut hadir dengan rekaan bahagian tepi yang boleh menyerap sedikit hentakan – sesuai untuk digunakan dalam bilik darjah dan sebagainya.
Ia tidak diketahui lagi sama ada Chromebook daripada Lenovo ini akan memasuki pasaran Malaysia ataupun sebaliknya. Buat masa ini, hanya Samsung sahaja yang menawarkan komputer riba berasaskan Chrome OS di Malaysia.