Microsoft kini dalam persediaan untuk memperkenalkan kemaskini Windows 8.1 Update 1. Ia disasarkan untuk dilancarkan sekitar bulan hadapan, dan seperti biasa, versi pembangunannya kini dilihat tertiris ke arena web sekaligus memperlihatkan apakah yang bakal dibawakan olehnya.
Mengikut apa yang dilihat, Update 1 ini membawakan kebolehan untuk pengguna pin akan sesuatu aplikasi Windows 8 terus ke taskbar di desktop. Perkara ini dilihat memudahkan akses ke aplikasi berkenaan tanpa melalui pelbagai proses. Sebagai contoh, sekiranya pengguna ingin menggunakan aplikasi Flipboard, mereka boleh pin ia ke taskbar dan akses terus dari desktop – tanpa melalui Start Screen seperti sebelum ini.
Disamping itu, aplikasi Windows 8 juga kini menyertakan sebuah bar khas untuk memudahkan ia ditutup atau di minimize. Untuk Tiles pada Star Screen pula, kini ia menyertakan sebuah menu pada klik-kanan dalam membolehkan pengguna untuk memadamkan tiles berkenaan ataupun untuk mengubah saiznya.
Sebuah butang Shutdown juga kini ditambah pada skrin Start, dan tidak lagi memerlukan pengguna untuk ke Charm Bar dalam menutup komputer.
Daripada apa yang diketahui, versi yang tertiris ini merupakan versi pembangunan sekitar tiga minggu yang lepas. Mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak pembaharuan daripada Microsoft pada Windows 8.1 Update 1 yang disasarkan sekitar Mac kelak.