Carian
Mungkin Anda Perlu Elak Membeli Galaxy S4 Pada Bulan Ini
February 6, 2014 Aman

Dengan jemputan Samsung Unpacked yang telah dihantar beberapa hari lepas, kini pihak NYT turut sama hadir dengan laporan mereka, mengatakan Samsung dalam persediaan untuk melancarkan Samsung Galaxy S5 dan juga kemaskini Galaxy Gear pada bulan ini.

Kelmarin, pihak Samsung telah menghantar jemputan dengan nama “Unpacked 5”, sekaligus memberikan petanda berkemungkinan telefon pintar generasi ke-5 keluarga Galaxy S mungkin akan diumumkan pada 24 Februari kelak.

Samsung Unpacked 5

Mengikut ura-ura, Galaxy S5 dijangka akan menyertakan skrin bersaiz 5.24-inci, cip Snapdragon 805 atau Exynos 6, dan kamera belakang 16-megapixel. Samsung dikatakan turut akan memfokuskan kepada aplikasi terbina mereka, yang akan diberikan nafas baru termasuk penambahan beberapa fungsi baru pada peranti berkenaan. Versi baru Knox juga dijangka akan disertakan pada telefon pintar ini.

Selain daripada telefon pintar, Samsung juga dikatakan akan memperlihatkan kemaskini kepada Galaxy Gear – jam tangan pintar mereka.

Sekiranya Samsung mengumumkan telefon pintar baru mereka itu pada bulan ini, mungkin ia akan hadir ke pasaran tempatan dalam masa lebih kurang sebulan atau dua selepas itu. Bagi anda yang berhajat mendapatkan Galaxy S4 pada bulan ini, mungkin boleh tangguhkan sebentar dan melihat apakah yang akan diumumkan oleh Samsung pada acara Unpacked mereka kelak.

Selain Samsung, acara Mobile World Congress juga bakal mengambil tempat pada bulan ini yang akan menyaksikan pelbagai syarikat pengeluar peranti menyertainya dan memperkenalkan peranti baru mereka.

Komen