Cari @ Amanz

Kaspersky hari ini berkongsi mengenai penemuan malware baru yang dinamakan sebagai The Mask (ataupun Careto), yang mana memberikan kesan kepada pelbagai sistem termasuk Windows, Mac OS X, Linux, dan berkemungkinan Android serta juga iOS.

Careto

Kaspersky mengatakan sasaran utama The Mask ini adalah institusi kerajaan, pejabat duta, syarikat gas, organisasi penyelidikan dan sebagainya. Dengan menyerang sistem, ia mengumpulkan pelbagai data, tetapan VPN, kekunci SSH dan juga fail RDP (untuk Remote Desktop).

The Mask atau Careto ini dilihat telah menyerang lebih daripada 380 mangsa, termasuk satu daripada Malaysia sehingga kini. Menurut Kaspersky, serangan dilakukan dalam bentuk emel, dimana emel dengan sebuah pautan dihantar, dan apabila pengguna klik pada pautan tersebut ia akan membawa pengguna ke sesuatu web yang membolehkan ia menyerang komputer pengguna – sebelum membawa pengguna ke laman seperti YouTube dan sebagainya.

Seperti biasa, pihak Kaspersky menekankan yang mana perisian keselamatan mereka boleh mengesannya dan mengelakkan daripada pengguna terjejas dengan malware ini. Bagi kami, sekiranya anda tidak memasang perisian keselamatan pada komputer anda, mungkin anda boleh mengelak masalah ini dihadapi dengan memastikan daripada siapa anda menerima sesuatu emel atau pautan sebelum klik padanya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd