Mungkinkah Ini Gambar Bahagian Hadapan Peranti HTC M8?
HTC

Mungkinkah Ini Gambar Bahagian Hadapan Peranti HTC M8?

Diterbitkan pada Feb 12, 2014 oleh .

Selain Galaxy S5 dan juga Xperia Z2, satu lagi peranti yang tidak sabar dinantikan ramai adalah kemaskini HTC One daripada pihak HTC. Lanjutan daripada beberapa gambar yang tertiris sebelum ini, kini satu lagi gambar hadir memperlihatkan bahagian hadapan peranti berkenaan.

HTC M8

Selari dengan gambar-gambar yang tertiris sebelum ini, ia memperlihatkan sokongan butang maya, dan sedikit perubahan pada rekabentuk mereka. Sekiranya gambar ini adalah benar, maka logo HTC boleh dikatakan agak menganggu bagi kami dan mungkin mereka boleh menjadikannya sedikit kecil atau membuangnya terus.

Pada gambar yang tertiris ini juga, ia dilihat sebuah pelindung khas digunakan, lebih kurang menyerupai rekaan untuk Power Flip Case yang diperkenalkan bersama-sama HTC One Max.

Mengikut ura-ura sebelum ini, peranti yang dikenali dengan nama HTC M8 ini bakal menyertakan cip pemprosesan Snapdragon terkini, memori 2GB RAM, dan skrin bersaiz 5-inci. Ia juga bakal dijana menggunakan Android 4.4.2 dan antaramuka HTC Sense 6.0.

Memandangkan ia mungkin juga gambar peranti prototaip ataupun mungkin gambar yang palsu, maka kita mungkin perlu nantikan sehingga pengumuman rasmi HTC untuk melihat bagaimanakah rupa asli peranti ini.

HTC dijangka menjadualkan acara pelancaran mereka pada bulan Mac kelak.


TIPS & ULASAN