Cari @ Amanz

Asus mengeluarkan peranti keluarga PadFone pada tahun 2012 yang membolehkan pengguna memiliki tablet dan telefon pintar dengan harga sebuah peranti pintar biasa. Sebelum itu mereka mengeluarkan tablet Asus Transformers yang dlengkapi papan kekunci fizikal. Bolehlah dikatakan Asus ialah pakar dalam penghasilan produk hibrid dwi fungsi. Dalam penghasilan telefon pintar biasa pula nama mereka tidak segah pengeluar lain.  FonePad Note ialah siri phablet mereka yang diperkembangkan dari tablet FonePad yang dikeluarkan tahun lalu. Ia dilengkapi sebatang stylus danm mempunyai skrin sebesar 6″ HD Penuh

Asus FonePad Note FHD6
Pemproses 2 GHz Dua Teras Intel AtomZ2580
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16/32 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera 8 MP utama/ 1.2 MP hadapan
Skrin 6″ Super LCD IPS 1080p (367 ppi)
Bateri 3200 mAh

Dari segi fizikal FonePad Note FHD6 mempunyai rekaan yang lebih tebal berbanding phablet yang ada dipasaran. Ketebalannya hampir dua kali ganda XPeria Z Ultra. Tetapi kerana bahagian belakang ini melengkung dan diperbuat daripada bahan yang agak kasar ianya masih selesa dipegang. Sebenarnya rekaan gempal ini jauh lebih selesa dipegang berbanding rekaan Samsung Note ataupun Z Ultra. Terasa lebih semula jadi dengan lengkungan tangan manusia ciptaan Allah Azza Wajalla.

Bahagian hadapan peranti didominasi skrin sebesar 6″ dari keluarga LCD IPS. Berbanding phablet lain yang pernah kami ulas FonePad Note mempunyai saiz bazel tepi yang besar. Terdapat juga sebuah kamera 1.2 Megapixel pada bahagian hadapan beserta 2 pembesar suara stereo. FonePad Note tidak mempunyai butang fizikal pada skrin hadapan dan kesemua butang hadapan adalah kapasitif.

Pada bahagian kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara. Pada bahagian kiri pula terdapat panel untuk mengakses slot KadSIM dan kad MikroSD. Peranti ini menyokong penambahan memori dalaman sehingga 64 Gigabyte. Slot jack fon kepala terletak pada bahagian atas manakala terdapat slot MikroUSB dan stylus pada bahagian bawah. Akhir sekali kamera sebesar 8 Megapixel terdapat pada bahagian FonePad note tetapi ianya tidak didatangi dengan sebuah flash. Kami agak kecewa FonePad Note tidak dilengkapi dengan sebuah flash kerana ianya sebuah peranti yang tebal.

Apa alasan Asus tidak menyertakan flash sedangkan kami yakin masih terdapat banyak ruang di dalam kerangka peranti yang boleh diletakkan sebuah flash.  Ini berbeza dengan Z Ultra yang menitikberatkan kenipisan kerangka dan sudah tiada ruang untuk meletakkan flash. Ketiadaan flash pada peranti bersaiz besar ini ialah antara benda yang menjengkelkan kami. Ia bermula dengan Samsung Galaxy Tab generasi pertama. Ianya juga tidak dilengkapi flash. Alasan yang kami terima dahulu ialah tablet tidak memerlukan flash kerana mahu membezakannya dari sebuah telefon pintar. Ini sememangnya alasan yang tidak lagi boleh diguna pakai dan selari dengan alasan “kami tidak mampu menggaji penterjemah pada lama kami maka kami gunakan Google Translate untuk versi Bahasa Inggeris laman kami”.

[amanz-gallery]

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaKustomasi antaramuka yang dihasilkan oleh Asus adalah minima. Sekila pandang FonePad Note FHD 6 kelihatan seperti sebuah peranti Android Vanilla. Kepada yang menyukai rekaan Android asal anda akan menyukai antaramuka phablet ini. Tetapi kepada mereka yang lebih menyukai kustomasi yang dihasilkan oleh HTC dan Sony, skim warna dan rekaan ikon peranti ini mungkin boleh dikategorikan sebagai serabut.

Antara kustomasi yang diberikan ialah pendail telefon yang mempunyai fungsi merekod panggilan terbina. Lihat gambar pendail telefon yang kami sertakan (lihat bahagian kanan) dan anda boleh melihat butang rekod di bahagian kanan skrin. Setahu kami (jika ada peranti lain dengan fungsi ini sila beritahu) fungsi merekod ini tidak ada pada peranti lain.

Terdapat juga skrin tetapan tahap kelantangan bunyi berbeza untuk deringan telefon, muzik, notifikasi dan loceng jam. Ini adalah fungsi yang sangat berguna bagi pengguna seperti kami yang suka meletakkan deringan telefon pada tahap minimum tetapi mahu deringan notifikasi email didengari dengan lantang. T

Talam notifikasi telefon juga diberikan sentuhan Asus dimana terdapat pintasan pantas untuk melakukan screen mirroring dan fungsi Audio Wizard.  Audio Wizard membolehkan anda menetapkan mod bunyi peranti kepada mod menonton video, merekod bunyi , mod muzik dan sebagainya.  Tetapi sebenarnya pada hemat telinga kami yang bukan Audiophile sebenar, perbezaan diantara pilihan mod bunyi ini tidaklah berapa ketara. Ini adalah kerana pembesar suara stereo FonePad Note FHD6 ini tidak cukup berkuasa. Bunyi yang dihasilkan tidak cukup kuat walaupun pada tahap kelantangan maksimum. Kami juga menyedari pada peranti ulasan kami pembesar suara bahagian atas lebih kuat dari bahagian bawah. Dari segi kualiti penghasilan bunyi pembesar suara FonePad Note FHD 6 masih tidak mampu menyaingi HTC One dengan Boomsound.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Pintasan Pantas

xperia-Z-antaramukaSebuah lagi fungsi unik yang disertakan Asus ialah  kustomasi meletakkan 8  slot pintasan pantas untuk melancarkan aplikasi kegemaran anda. Pintasan pantas ini diakses dengan menekan butang home untuk beberapa saat. Dari pintasan pantas ini ada juga boleh melancarkan Google NOW,  mengakses talam aplikasi, menggunakan dan mengunci butang navigasi kapasitif pada bahagian bawah peranti. Mod mengunci butang navigasi ini digunakan ketika bermain aplikasi permainan dan anda tidak mahu secara tidak sengaja menutup aplikasi tersebut dan kembali ke muka home.

Kembali kepada fungsi pintasan pantas yang kami sebuatkan tadi. Terdapat 8 slot pintasan pantas untuk aplikasi kegemaran anda. Ini mengurangkan jumlah tekanan butang yang perlu dilakukan untuk melancarkan aplikasi. Hanya tekan butang home untuk beberapa ketika dan anda akan melihat paparan seperti yang dipaparkan pada gambar di sebelah kanan ini . Tekan ikon aplikasi yang anda mahu lancarkan dan aplikasi tersebut akan dilancarkan dengan pantas. Fungsi yang cukup berguna kepada mereka yang mahu melancarkan aplikasi sepantas mungkin tetapi ada sedikit kelemahan yang kami rasa boleh diperbaiki.

Cara slot pintasan pantas ini ditetapkan kurang mesra pengguna. Anda perlu drag and drop ikon aplikasi yang anda inginkan ke slot kosong. Jika slot sudah penuh anda perlu menarik keluar ikon aplikasi yang anda tidak perlukan dahulu kembali ke talam aplikasi sebelum meletakkan ikon baru ke dalam slot yang kini kosong. Sedikit menyusahkan dan harus dipelajari sendiri oleh pengguna kerana tidak ada tutorial bagaimana melakukan kustomasi ini di laman rasmi Asus FonePad Note FHD 6. Malah fungsi menarik ini langsung tidak diketengahkan oleh pihak Asus sendiri di dalam risalah penjualan FonePad Note FHD6! Manual penggunaan juga tidak disertakan untuk memberitahu pengguna akan fungsi ini.

Stylus

Stylus yang disertakan menggunakan teknologi Wacom. Ini bermakna ia membawakan fungsi yang tidak mampu dihasilkan menggunakan stylus kapasitif biasa yang digunakan pada Alcatel One Touch Hero ataupun Optimus Vu. Pertama sekali ianya lebih responsif. Melakar dan menulis dapat dilakukan dengan lebih jitu. Tiada masalah sela masa seperti stylus kapasitif. Seperti Samsung Galaxy Note 3, apabila stylus dicabut dari tempat penyimpanannya skrin aplikasi khas akan dibuka pada FonePad Note. Aplikasi khas ini diberi nama Super Note. Seperti S Note anda boleh memilih untuk menulis nota ataupun melakar apa yang anda fikirkan. Fungsi mengubah tulisan tangan kepada muka taip juga disokong di dalam aplikasi Super Note Asus.

Sebuah lagi aplikasi khas Asus ialah Instant Page. Terdapat tab kecil pada tepi skrin yang boleh ditarik ke kanan untuk membuka overlay bercorak grid berkotak. Secara automatik paparan skrin akan diambil dan anda boleh melakar terus pada gambar yang diambil. Ini kemudiannya boleh disimpan kedalam galeri peranti.  Akhir sekali ialah fingsi Smart Peek yang membolehkan anda mengintai kandungan folder gambar dengan meletakkan stylus di atas folder tanpa menyentuh skrin phablet.

Stylus FonePad Note adalah lancar dan mudah digunakan. Tetapi dari segi kejituan ianya masih belum mampu menandingi stylus Galaxy Note 3. Tetapi ini tidak bermakna stylus FonePad Note tidak bagus. Ianya masih berkali-kali ganda lebih baik dari stylus kapasitif yang anda boleh beli di kiosk aksesori peranti ataupun yang digunakan pada Alcatel One Touch Hero. Anda masih boleh melakar dengan baik tetapi jika anda mementingkan kejituan tertinggi, Note 3 masih lagi menduduki tangga teratas dengan  jidar yang kecil.

Bagi sebuah percubaan awal peranti menggunakan teknologi Wacom Asus, FonePad Note ialah permulaan yang bagus. Fungsi-fungsi asas yang paling diperlukan pengguna disertakan pada phablet ini namun penggunaan stylus secara menyeluruh masih belum menghampiri tahap integrasi sepenuhnya seperti Galaxy Note 3. Kami yakin jika diberikan lebih masa tidak mustahil FonePad Note versi hadapan (sekiranya ada) akan mampu menyaingi raja phablet di pasaran ini suatu hari nanti.

Kamera

Kamera utama FonePad hanyalah sebesar 8 Megapixel dan tidak dilengkapi dengan flash. Pada mod 8 Megapixel anda hanya boleh mengambil gambar pada nisbah 4:3. Gambar bernisbah 16:9 hanya boleh diambil pada resolusi 5 Megapixel. Kami rasakan adalah tidak adil untuk membandingkan FonePad Note dengan Galaxy Note 3 dari segi kualiti gambar. Peranti phablet utama Samsung ini dilengkapi kamera 13 Megapixel dengan flash. Kami rasa lebih adil jika kami membandingkan gambar FonePad Note dengan Sony Xperia Z Ultra. Kedua-dunya mempunyai skrin melangkaui 6″ , kamera bersaiz serupa dan kedua-dunya tidak mempunyai flash.

Kesemua gambar diambil pada tetapan resolusi penuh dan kawalan automatik. Tekan gambar di bawah bagi melihatnya pada resolusi asal.

Jelas kelihatan secara keseluruhan gambar yang diambil menggunakan FonePad Note adalah lebih baik dari yang diambil menggunakan Z Ultra. Tidak berlaku masalah white balance dan gambar bewarna keungguan pada FonePad Note.  Masalah gambar yang agak kabur dengan masalah softening  ketika diambil dalam situasi pencahayaan rendah juga tidak tidak berapa ketara pada FonePad Note. Hanya gambar pada mod makro (Gambar pertama) sahaja boleh dikatakan gambar yang diambil oleh Z Ultra berkualiti lebih baik. Jika difikirkan harga FonePad Note yang lebih murah berbanding Z Ultra, kualiti gambar yang diambil phablet asus ini boleh dibanggakan.

Penanda Aras

Untuk ujian Qudrant FonePad Note mencatat 6584 markah manakala untuk ujian Antutu pula ia mencatatkan 20333 markah. Ini meletakkan FonePad Note di bawah Samsung Galaxy Note 2 apakan pula Note 3 yang mencatat lebih dari 29464 markah untuk ujian Antutu. Jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Mega pula, FonePad adalah lebih baik daripada Mega yang mencatat 13699 markah. Bagi melengkapkan perbandingan phablet bersaiz melangkaui 6″, Z Ultra mencatat 33546 markah untuk ujian Antutu. Maka dari segi kemampuan FonePad Note lebih berkuasa dari Galaxy Mega tetapi lebih rendah berbanding Note 2, Note 3 dan Z Ultra. Harus diingatkan FonePad Note diperkasakan pemproses dua teras berbanding empat teras yang digunakan pada 3 phablet yang kami sebutkan tadi.

Untuk ujian grafik Futuremark pula, FonePad Note mencatat 7124 markah. Sekali lagi ini adalah lebih rendah berbanding Note 3 dan Z Ultra yang mencatatakan keputusan 5 angka dan 10 ribu markah lebih tinggi. Sungguhpun begitu kami tidak mengalami sebarang masalah memainkan aplikasi permainan yang memerlukan kemampuan memproses tinggi seperti Dead Trigger 2 dan Robocop.

Sepanjanh tempoh ulasan selama sebulan tiada masalah peranti berhenti berfungsi secara tiba-tiba atapun masalah kronik yang memerlukan peranti ditetapkan semula kepada tetapan asal. Apa yang kami sedari hanyalah beberapa aplikasi yang tidak berfungsi dengan sepatutnya. Seperti kesemua peranti yang menggunakan pemproses Intel Atom, kami sedari terdapat masalah kesan filter yang tidak dipaparkan pada gambar ketika menggunakan Instagram. Ini adalah masalah penyesuaian aplikasi dan pemproses yang sehingga kini nampaknya tidak diselesaikan. Gambar yang dimuat naik kelihatan berkecamuk seperti siaran TV yang diganggu gelombang telefon mobil. Pada aplikasi popular lain kami tidak menyedari apa-apa masalah.

xperia-z-penanda-aras xperia-z-penanda-aras

Bateri

Kemampuan bateri FonePad Note adalah mengecewakan kerana tidak mampu bertahan melebihi 8 jam pada penggunaan yang kami kategorikan sebagai sederhana. Sederhana disini ialah notifikasi emel diaktifkan beserta Twitter. Kami hanya menggunakan peranti untuk beberapa ketika untuk melayari web dan menonton video Youtube. Saiz bateri FonePad Note ialah 3200 mAh dan ianya sama besar seperti yang digunakan pada Note 3. Seperti dalam ulasan Note 3 kami juga kecewa dengan hayat bateri yang agak pendek. Kami yakin jika kami gunakan peranti ni dengan lebih intensif hayat bateri mungkin tidak melebihi 6 jam.

xperia-Z-prestasi-bateri

Kesimpulan

Asus FonePad Note FHD 6 ialah percubaan sulung Asus untuk menghasilkan phablet yang dilengkapi stylus. Ia mempunyai spesifikasi yang rendah berbanding pesaing yang muncul di pasaran pada suku ke 4 2013. Di atas kertas kelihatan FonePad Note 6 mungkin tidak dapat bersaing dengan phablet bersaiz 6″ yang ada di pasaran sekarang tetapi kami sedari ia masih mampu bersaing dengan baik. Seperti kami katakan ia mempunyai beberapa fungsi unik Asus yang tidak boleh didapati pada peranti lain seperti pintaan pantas kepada 8 aplikasi kegemaran anda. Pembesar suara stereo peranti ini juga memberikan ia sedikit kelebihan di pasaran kerana hanya HTC One Max adalah pesaing (walaupun tiada stylus) yang mempunyai pembesar suara berkembar. Mungkin ramai di kalangan pembaca gemarkan peranti yang nipis dan rekaan FonePad Note adalah tebal. Sungguhpun begitu kami merasakan rekaan yang lebih tebal ini memudahkan genggaman kerana ianya melengkung dan tidak rata seperti Z Ultra. Terasa lebih selesa memegang FonePad Note dengan sebelah tangan tanpa bahagian tepian peranti yang tajam “menggigit” tangan. Namun harus diberitahu kerana ianya agak tebal phablet ini tidak direka untuk pengguna jeans ketat.

Kualiti gambar yang diambil adalah sederhana. Masih terdapat masalah softening dan kualiti gambar yang kurang tajam apabila dilihat pada saiz sebenar. Tetapi jika dibandingkan dengan Z Ultra yang mempunyai konfigurasi kamera yang sama, gambar yang diambil FonePad Note nyata lebih baik dan kami rasakan setaraf dengan Galaxy Mega. Jika dibandingkan dengan Note 3, sebuah lagi phablet dengan stylus terbina pula kualiti gambar yang diambil Note 3 jauh lebih terang. Keperincian gambar dan masalah softening tidak kelihatan. Tetapi tidak adil untuk membezakan kemampuan kamera FonePad Note dengan Note 3 kerana saiz kamera Note 3 hampir 2 kali ganda Fonepad Note.  Secara keseluruhan jika anda hanya perlu mengambil gambar dengan pencahayaan yang cukup gambar yang diambil memuaskan tetapi dalam keadaan gelap gambar yang diambil mengecewakan. Ini adalah masalah kesemua peranti mobil kecuali Xperia Z1 dan Nokia Lumia yang dilengkapi PureView.

Kemampuan memproses dan grafik FonePad Note juga sederhana tetapi kami tidak menghadapi sebarang masalah memainkan aplikasi permainan 3D seperti Deer Hunter dan Robocop pada peranti ini. Masalah aplikasi terhenti dan peranti gagal berfungsi juga tidak kami alami. Masalah yang ada hanyalah pada aplikasi Instagram dimana kesan filter tidak dipaparkan seperti yang sepatutnya.

Bateri agak mengecewakan dan hanya mampu bertahan sekitar 8- 9 jam pada penggunaan sederhana. Jika anda mahu memiliki peranti ini sila beli sebuah powerbank bagi memastikan ianya boleh digunakan sepanjang hari.

Kesimpulannya Asus FonePad Note ialah sebuah peranti kelas sederhana dengan kemampuan yang sederhana. Ia mungkin tidak setanding sebuah Galaxy Note 3 tetapi jika dibandingkan dengan Alcatel One Touch Hero yang juga dijual pada harga yang sama (RM 1399), kami rasakan FonePad Note FHD 6 ialah pilihan yang lebih bijak. Ini adalah kerana stylus berteknologi Wacom terbina yang digunakan pada FonePad Note berbanding stylus kapasitif Hero. Jika anda mahu memiliki sebuah phablet dengan stylus pada harga yang sederhana kami rasakan FonePad Note FHD 6 ialah antara peranti yang boleh  dimasukkan kedalam senarai pendek anda.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang selesa dipegang sungguhpun sedikit tebal. Bahagian belakang melengkung mengikut bentuk tangan disamping mempunyai tekstur kasar menyukarkannya dari tergelincir.
  • Stylus Wacom yang menghasilkan lakaran yang lebih tepat serta jitu. Terdapat juga beberapa aplikasi khas Asus yang memudahkan pengambilan nota dan lakaran.
  • Skrin 6″ HD Penuh peranti ini jelas dan tajam. Dua pembesar suara stereo juga memastikan audio video yang dimaikan dapat didengar dengan jelas.
  • Fungsi pintasan pantas membenarkan anda mengakses 8 aplikasi paling anda gunakan dengan pantas. Ini adalah fungsi unik yang kami tidak lihat pada peranti -peranti yang pernah kami ulas sebelum ini. Terdapat juga fungsi merekod panggilan terbina yang disertakan pada antaramuka aplikasi mendail telefon. Sebuah lagi fungsi yang kami tidak lihat pada peranti lain.
KONTRA dan Kekurangan
  • Rekaan yang agak tebal. Sukar dimasukkan kedalam poket. Ketebalan Fonepad Note FHD 6 hampir dua kali ganda dari phablet pesaing lain di pasaran
  • Gambar yang diambil tidak cukup tajam. Gambar agak kabur dalam keadaan pencahyaan rendah. Ketiadaan flash juga mengecewakan.
  • Teknologi stylus yang segenerasi dibelakang. Masih tidak dapat menandingi stylus yang digunakan pada Galaxy Note 3

 

xperia-Z-prestasi-bateri

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd