Carian
Tiga Aplikasi Percuma Untuk Penyuntingan Dokumen Pada Tablet Dan Telefon Pintar
February 12, 2014 Aman

Pada hari ini, berbanding menggunakan komputer riba ketika mesyuarat, lebih ramai yang menggunakan tablet dan telefon pintar untuk tujuan sama. Maka, semestinya ramai yang inginkan aplikasi yang boleh digunakan untuk mencatat, menyunting dan membuka dokumen menggunakan peranti mudah-alih mereka.

Jikalau menggunakan peranti berasaskan Windows, maka pengguna sedia boleh menggunakan Office yang ditawarkan bersama-sama dengannya. Tetapi bagaimana pula sekiranya menggunakan peranti berasaskan Android atau iOS.

QuickOffice

QuickOffice Android

QuickOffice merupakan salah satu alternatif yang diminati kami. QuickOffice kini dimiliki oleh Google, dimana menggunakannya pengguna boleh membuat penyuntingan pelbagai jenis dokumen tanpa sebarang masalah, dan pada masa yang sama menggunakan Google Drive untuk sync dokumen berkenaan ke komputer atau untuk dikongsikan dengan rakan sekerja yang lain.

QuickOffice ditawarkan secara percuma dan membolehkan pengguna membuka fail berbentuk Word, Excel dan juga PowerPoint tanpa sebarang masalah.

Kingsoft Office

Kingsoft Office

Bagi yang menggunakan sistem komputer Windows, mungkin meminati Kingsoft Office yang hadir dengan rekaan seumpama Microsoft Office, tetapi ditawarkan secara percuma.

Selain daripada untuk Windows, Kingsoft Office juga turut ditawarkan secara percuma untuk pengguna Android dan iOS, membolehkan pengguna menggunakannya dalam penyuntingan dokumen mereka. Seperti QuickOffice, Kingsoft Office ini turut menyokong format-format popular, disamping turut membawakan sokongan untuk dokumen PDF. Kingsoft Office turut dilihat memberikan lebih banyak pilihan format penyuntingan, sesuai untuk mereka yang membuat pelbagai tugasan pejabat pada peranti mudah-alih mereka. Pengguna turut boleh menggunakan aplikasi ini untuk sync dengan perkhidmatan seperti Dropbox, Box, Google Drive dan sebagainya.

Quip

Quip Android

Berbeza dengan QuickOffice dan juga Kingsoft Office, untuk aplikasi ketiga ini, Quip lebih memfokuskan kepada penyuntingan dokumen secara berkumpulan pada peranti mudah-alih. Selain membolehkan pengguna membuat penyuntingan, ia turut hadir dengan sokongan permesejan yang membolehkan pengguna membincangkan perkara berkaitan sesuatu dokumen dalam bentuk masa nyata.

Untuk tujuan tersebut, ia memerlukan akses internet, dan pengguna masih boleh menggunakannya tanpa talian internet. Semua perubahan yang dilakukan akan disync secara automatik apabila peranti dihubungkan ke internet kembali.


Selain ketiga-tiga ini, terdapat pelbagai lagi aplikasi penyuntingan dokumen untuk pengguna tablet dan juga telefon pintar. Sekiranya anda mempunyai sesuatu aplikasi yang menarik, jangan lupa kongsikan ia bersama-sama kami melalui ruangan komen dibawah.

Komen