Pandang Pertama Samsung Galaxy NotePRO 12.2

Pandang Pertama Samsung Galaxy NotePRO 12.2

Diterbitkan pada Feb 15, 2014 oleh .

Samsung Galaxy NotePro ialah tablet yang mendatangkan sedikit kontroversi apabila ianya diperlihatkan pada CES 2014 bulan lalu. Google dilaporkan tidak berpuas hati dengan antaramuka Magazine UX yang kelihatan seperti antaramuka Windows 8 yang memadamkan secara pukal antaramuka Android asal.  Tablet GalaxyNotePRO yang ada di dalam genggaman kami ini mengembalikan antaramuka TouchWiz yang sudah biasa kita lihat dengan antaramuka Magazine UX hanya muncul apabila anda mentatal ke bahagian kiri dan ke kanan skrin

Samsung Galaxy NotePRO 12.2 LTE
Pemproses 2.3 GHz Empat Teras Snapdragon 800
RAM 3 GB
Muatan Dalaman 32 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera 8 MP utama/ 2 MP hadapan
Skrin 12.2″ 2560 x 1600 pixel (247 ppi)
Bateri 9500 mAh
Rekabentuk

Tiada perubahan dilakukan dari segi rekabentuk fizikal NotePRO berbanding Galaxy Tab dan Note 2014 yang sudahpun berada di pasaran. Kemasan bahagian tepi tablet gergasi ini mengekalkan astetik yang kali pertama kami lihat digunakan pada Galaxy Note 3. Kemasan plastik seperti besi meliliti parameter tablet dengan skrin 12.2″ bersolusi 2560 x 1600 pixel ini. Seperti Galaxy Note 10.1 2014, NotePRO menggunakan skrin IPS LCD beresolusi tinggi. Imej yang dipaparkan cukup tajam, terang dan mempunyai sudut penglihatan yang tinggi. Saiz skrin yang besar menyebabkan kami berasa sedikit canggung dengan saiz tablet ini. Ianya juga agak berat untuk dipegang dengan menggunakan sebelah tangan.

Panel belakang NotePRO juga mengekalkan rekaan seakan kulit Note 10.1 2014. Kamera utama sebesar 8MP dengan flash  yang sama juga diguna pakai. Tempat menyimpan stylus terletak pada bahagian kanan peranti. Butang kuasa dan suara diletakkan pada bahagian atas beserta dengan pemancar infra merah. Perbezaan paling ketara diantara NotePRO dan Note 10.1 2014 ialah NotePRO dilengkapi port USB 3.0 pada bahagian kiri berbanding USB 2.0 pada bahagian bawah Note 10.1 2014.

xperia-Z-antaramuka

Samsung mengekalkan butang home fizikal pada bahagian hadapan dan juga dua butang kapasitif pada kiri dan kanannya. Buat pertama kalinya butang multi tasking muncul pada peranti Samsung. Sebelum ini anda perlu menekan butang home selama beberapa saat untuk membuka skrin ini. Kini  butang khas multi tasking diletakkan pada bahagian kiri butang home menggantikan butang pilihan yang digunakan sejak Galaxy S1. Pada bahagian kanan butang back dikekalkan seperti biasa.

Apakah pula  terjadi apabila butang home ditekan untuk beberapa ketika? Google Now kini dilancarkan secara automatik apabila butang ini ditekan untuk beberapa saat. Apabila butang home ditekan sebanyak dua kali pula, Samsung S Voice akan dilancarkan. Ini membuatkan NotePRO berfungsi lebih selari dengan peranti Android lain yanga di pasaran.

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaSeperti kami katakan pada perenggan di atas, pada asalnya NotePRO sepatutnya menggunakan antaramuka baru yang diberi nama MagazineUX. Magazine UX ialah antaramuka tablet baru rekaan Samsung yang menggabungkan rekaan berkotak Windows 8 dan My Magazine yang diperlihatkan pada Galaxy Note 3 tahun lalu.

Widget Android yang dahulunya boleh disusun dan diubah saiz mengikut kehendak pengguna dihadkan kepada saiz segi empat tepat atapun sama mengikut susunan yang boleh dikustomasi. Secara teori 8 kotak widget boleh disusun pada satu muka Magazine UX sekaligus.

Selepas menerima “teguran” daripada Google, antaramuka Magazine UX digantikan semula dengan TouchWiz. Antaramuka Magazine UX hanya akan muncul apbila anda mentatal ke kiri atau kanan skrin. Ini amat menyerupai bagaimana susur masa Blinkfeed diperlihatkan pada peranti HTC. Tatalan dari bawah ke atas skrin tidak lagi digunakan bagi melancarkan My Magazine.Sebuah lagi perubahan yang dilakukan ialah isi kandungan setiap kategori yang dipaparkan pada My Magazine kini boleh ditatal secara terus dari muka hadapan. Sebelum ini anda hanya boleh mentatal berita yang dipamerkan selepas memasuki skrin setiap kategori seperti yang digunakan pada aplikasi Flipboard. Ini memudahkan lagi anda untuk menyelak muka hadapan berita terkini tetapi kami sedari terdapat sela masa yang ketara ketika tatalan dilakukan.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Bercakap tentang sela masa kami menyedari masalah sela masa yang sinonim dengan TouchWiz muncul semula pada NotePRO. Ini amat mengecewakan kerana dari segi spesifikasi tidak munasabah langsung masalah ini wujud untuk peranti dengan 3GB RAM. Sebagai contoh jika anda sedang menggunakan aplikasi Twitter dan kemudian menekan butang home, terdapat sela masa yang ketara sebelum aplikasi ini digantikan dengan skrin home. Perkara ini tidak kami lihat pada Note 3 maupun Note 10.1 2014 yang pernah kami ulas sebelum ini. Adakah perubahan antaramuka dari Magazine UX ke Touchwiz pada saat akhir mengakibatkan masalah ini muncul? Ada kemungkinan. Kami berharap Samsung akan menghasilkan penaiktarafan pada sistem operasi bagi menyelesaikan masalah yang kami yakin berasal dari sistem operasi yang tidak cukup dioptimasikan lagi.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Multiwindow Baru

xperia-Z-antaramukaFungsi Multi Window diberikan penaiktarafan dengan kemampuan menggunakan 4 aplikasi berbanding 2 sekaligus. Ini menurut Samsung memudahkan lagi anda melakukan kerja serta menggunakan sepenuhnya ruang skrin NotePRO. Cara paparan skrin Multi Window juga diubah. Sebelum ini terdapat tab kecil pada hujung skrin yang ditarik bagi melancarkan fungsi ini. Kini anda perlu menekan bahagian hujung sebelah kanan dengan pantas untuk melancarkannya. Terdapat 2 barisan menegak berbanding hanya 1 sebelum ini. Anda juga tidak lagi boleh mengubah lokasi tab Multi Window. Ianya kekal di bahagian kanan skrin. Perubahan ini pastinya tidak menggembirakan pengguna kidal kerana sebelum ini kustomasi lokasi Multi Window boleh diletakkan di bahagian kanan dan kiri.

Side Sync dan Remote PC

Side Sync ialah aplikasi yang membolehkan mana-mana telefon pintar ataupun phablet berkeluarga Galaxy diakses pada NotePRO. Anda boleh menggunakan aplikasi dari telefon pintar/phablet Galaxy dari skrin NotePRO. Selain daripada itu pemindahan fail secara drag and drop dari peranti ke NotePRO  boleh dilakukan dengan mudah. Ini ialah sebuah fungsi unik yang tidak pernah kami lihat sebelum ini.

Remote PC pula membolehkan anda mengakses komputer Windows anda melalui NotePRO. Inilah sebab mengapa papan kekunci NotePRO menyerupai papan kekunci PC bagi memudahkan anda menggunakan PC secara kawalan jauh. Anda juga boleh menutup PC yang dipadankan dengan NotePRO secara kawalan jauh apabila tidak lagi digunakan.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kesimpulan

Samsung Galaxy NotePRO 12.2 ialah tablet terbesar yang pernah kami cuba dan ulas di Amanz.My. Di atas kertas tablet gergasi ini mempunyai kemampuan dan potensi yang tinggi untuk menjadi tablet paling baik untuk penghasilan media. Skrin yang besar membolehkan anda menjalankan 4 aplikasi serentak berbanding hanya 2 sebelum ini. Aksesori tambahan papan kekunci fizikal dan S Active Mouse pula membolehkan NotePRO berfungsi seperti sebuah komputer riba. Apabila digabungkan dengan fungsi Remote PC, NotePRO mampu berubah menjadi sebuah PC.

Setakat ini kami tidak menghadapi sebarang masalah menggunakan tablet Android terbesar yang dikeluarkan Samsung. Masalah sela masa yang kami hadapi yang muncul apabila melakukan pertukaran aplikasi. Ini kami salahkan kepada animasi TouchWiz. Kami juga difahamkan antaramuka NotePRO diubah pada saat akhir dari Magazine UX ke TouchWiz. Mungkin optimasi tidak sempat dijalankan secara penuh. Ini adalah kerana masalah ini tidak wujud pada Galaxy Note 10.1 2014 yang kami cuba beberapa bulan yang lalu. Sepatutnya masalah ini tidak wujud langsung kerana Note 10.1 2014 LTE dan NotePRO 12.2 LTE ini kedua-dunya mempunyai spesifikasi yang serupa. Perubahan hanya pada saiz skrin, bateri dan perisian. Jadi pastinya perisianlah yang bermasalah disini.

Ulasan penuh akan menyusul dalam masa beberapa minggu. Buat masa ini apa yang boleh kami katakan tablet ini ialah sebuah tablet yang direka untuk produktiviti dan penghasilan kerja yang serius dan bukannya tablet santai seperti sebuah iPad. Nantikan ulasannya di masa akan datang.

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi tinggi yang mampu menjalankan aplikasi dengan selancar yang boleh
  • Skrin yang beresolusi tinggi. Paparan yang jelas dan tajam. Skrin yang besar juga
  • Fungsi Side Sync dan Remote PC memudahkan anda memindahkan fail dari peranti mobil dan komputer ke tablet ini bagi melakukan tugasan
  • Papan kekunci baru dengan butang CTRL dan anak panah. Lebih menyerupai papan kekunci fizikal komputer
  • Aksesori tetikus dan papan kekunci Bluetooth. NotePRO dengan mudah boleh berfungsi seperti sebuah komputer riba.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada variasi dari segi rekaan berbanding Galaxy Note 10.1 2014 yang muncul di pasaran hanya beberapa bulan yang lalu.
  • Kami sedari terdapat sedikit masalah sela masa. Bagi peranti dengan spesifikasi tinggi ini adalah tidak dapat dimaafkan
  • Saiz yang terlalu besar untuk penggunaan sebelah tangan

Samsung Galaxy NotePRO dijual pada harga RM 2999 .


TIPS & ULASAN