Cari @ Amanz

 

Menurut laporan Gartner yang dikeluarkan dua hari yang lalu, Android kini menguasai 78.4 % pasaran peranti dunia. Ini diikuti oleh IOS dengan hanya 15.6% diikuti oleh Windows dengan 3.2%. Jelas sekali dominasi Android dipasaran adalah menyeluruh dan semakin kukuh. Antara sebab penguasaan ini ialah lambakkan telefon berspesifikasi kelas bawahan dan pertengahan. Ramai peminat Apple memanggil Android sistem operasi pukal tiada kualiti kerana majoriti peranti ini tidak menggunakan sistem operasi terkini serta tidak akan menerima kemasan selepas pembelian. Tuduhan peminat Apple ini ada kebenarannya dan ianya masalah yang turut dialami oleh pemilik peranti kelas tinggi juga dalam beberapa kes. Kemasan terkini untuk peranti bukan Nexus mengambil masa terlalu lama untuk diberikan kepada pengguna.

Motorola Moto G
Pemproses 1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM 1 GB
Muatan Dalaman 8/16 GB tiada sokongan kad MikroSD
Kamera 5 MP utama / 1.3 MP hadapan
Skrin 4.5″ LCD IPS 720p (326 ppi)
Bateri 2070 mAh

Stigma peranti murah Android ialah ianya tidak berkualiti, tidak memberikan nilai wang yang bagus, tiada kemas kini dan tidak berbaloi dimiliki.

Motorola Moto G cuba mengubah persepsi buruk ini dan kami rasa mereka berjaya menunjukkan murah tidak semestinya sampah.Dari segi spesifikasi Moto G ialah sebuah peranti kelas pertengahan. Diperkasakan dengan pemproses 1.2 GHz Empat Teras, 1 GB RAM, kamera 5 MP, skrin 4.5″ 720P dan muatan dalaman 8/16 GB tanpa sokongan kad MikroSD. Ia juga dilengkapi bateri yang agak kecil iaitu 2070 mAh.

Dari segi fizikal tidak ada yang istimewa tentang rekaan ataupun kemasan Moto G. Tiada kemasan logam pada bahagian tepi atapun pelapik belakang seakan-akan kulit. Berbanding abang besarnya Motorolo Moto X kustomasi yang anda boleh lakukan pada Moto G hanyalah menukar panel belakang yang diperbuat daripada plastik. Apabila anda membeli peranti ini anda akan menerima sebuah lagi panel belakang tambahan. Terdapat juga aksesori penutup berlipat sekiranya anda berminat. Ketika peranti ini dilancarkan kami diberitahu Moto G ialah peranti yang mensasarkan golongan yang masih menggunakan feature phone tetapi mahu berhijrah ke dunia telefon pintar. Kami rasa rekaan minimalis ini bukan sahaja mengurangkan harga Moto G tetapi mempunyai astetik yang diminati pengguna feature phone yang Motorola sasarkan.

Ianya tidak nipis tetapi sekali lagi kami ingin katakan kami lebih gemarkan peranti yang selesa dipegang daripada peranti paling nipis tetapi kurang selesa digenggam. Panel plastik belakang mempunyai permukaan yang sedikit kasar yang mengurangkan kebarangkalian peranti ini tergelincir. Saiznya yang kecil berbanding kebanyakan peranti di pasaran memudahkan penggunaan sebelah tangan.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala dan pada bahagian bawah terletak slot MikroUSB. Untuk mengakses kedua-dua slot MikroSim anda perlu membuka panel belakang peranti dan terdapat sebuah slot pada kiri dan sebuah lagi di bahagian kanan. Bateri Moto G tidak boleh dibuka walaupun panel belakangnya boleh dicabut seperti sebuah peranti Samsung.

[amanz-gallery]

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaPerubahan paling diberikan terhadap antaramuka Moto G. Kami sedari hanya aplikasi kamera mempunyai antaramuka yang berbeza dari Android Vanilla. Ini memudahkan proses kemas kini sistem operasi Moto G. Ketika artikel ditulis kemas kini ke Android 4.2.2 telahpun dilepaskan kepada umum. Ini lebih pantas dari kemas kini sebuah peranti kelas tinggi yang dihasilkan sebuah syarikat Korea yang terjual berjuta unit tahun lalu.

Bercakap tentang antaramuka kamera kami harus nyatakan kami cukup kurang gemar dengan antaramuka kamera Motorola. Ianya terlalu minimalis dan tidak membenarkan anda melakukan kawalan manual. Tidak terdapat sokongan menetapkan resolusi kamera ataupun tahap dedahan. Fungsi Photosphere juga tiada. Kami terpaksa memuat turun aplikasi kamera ICS yang ada di Google Play. Ianya mungkin segenerasi di belakang tetapi membenarkan kawalan manual yang sangat kami perlukan.  Kenapakah Moto G diberikan antaramuka kamera yang tidak mesra pengguna ini kami tidak tahu.

Sungguhpun mempunyai RAM yang kecil dan pemproses yang sederhana, kami sedari kesemua elemen antaramuka berfungsi dengan lancar. Penukaran dan pembukaan aplikasi dapat dilakukan sepantas kilat. Inilah kelebihan menggunakan antaramuka sehampir mungkin kepada Android asal, kesemua elemen antaramuka dan fungsi peranti dioptimasikan dengan baik. Ikhlas kami katakan kelancaran tatalan dan penggunaan Moto G adalah jauh lebih baik dari beberapa peranti berspesifikasi tinggi yang dijual pada harga 3 kali ganda peranti ini!

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Motorola Assist

xperia-Z-antaramukaMotorola Assist ialah aplikasi yang diperkenalkan pada Motorola Moto X. Ia mampu melakukan automasi untuk beberapa perkara seperti menghantar SMS kepada pemanggil ketika anda di dalam bilik mesyuarat dan meletakkan telefon pada mod senyap pada waktu malam. Mod senyap pada waktu malam ini juga boleh diprogramkan untuk membenarkan beberapa nombor yang anda pilih untuk berdering sekiranya berlaku kecemasan. Ini adalah fungsi yang sangat menarik dan memudahkan kerja seharian pemilik Moto G. Malang sekali fungsi automasi ketika memandu tidak ada pada Motorola Assist versi Moto G dan hanya wujud pada versi Moto X. Fungsi automasi ketika memandu secara automatik membaca SMS yang diterima serta membolehkan anda melakukan navigasi bebas tangan. Kami difahamkan fungsi ini tidak disertakan pada Assist edisi Moto G kerana kekurangan pada kemampuan peranti.

Kamera

Kamera utama Moto G hanyalah sebesar 5 Megapixel dengan flash. Kualiti gambar yang ditangkap tidak menakjubkan jika dibandingkan dengan peranto kelas tinggi. Tetapi jika sekadar untuk kegunaan laman sosial ianya cukup memandai. Apabila gambar diambil dalam keadaan terang, kualiti gambar adalah baik sungguhpun tidak berapa tajam pada objek yang terletak pada latar belakang. Walaupun pada situasi mendung kualiti gambar kami rasakan masih lagi elok. Dua contoh gambar dalam keadaan mendung ialah gambar menara berkembar Petronas  dan taman permainan taman KLCC di bawah.

Pada waktu malam pula jelas kelihatan masalah silau (glare) dan kualiti gambar yang kurang tajam berbanding dengan gambar yang diambil pada waktu siang.

Kami membandingkan gambar yang diambil oleh Moto G dengan HTC One X+. Ini adalah kerana dari segi saiz peranti, kemampuan pemproses dan kamera, dua peranti ini di dalam kelas yang sama.  Anda boleh lihat kualiti gambar yang diambil menggunakan Moto G tidak terlalu jauh berbeza dari One X+ yang dilengkapi kamera sebesar 8 Megapixel.

Video

Ini ialah contoh video gerak perlahan yang diambil menggunakan mod Slo Motion Moto G. Kualiti video tidak berapa memberangsangkan dan jelas kelihatan teknik penentudalaman (interpolation) di antara frame video digunakan bagi menghasilkan kesan pergerakan perlahan. Video yang diambil pada waktu siang terang tetapi mempunyai masalah grain yang ketara.

 

Ini pula contoh video yang diambil pada waktu malam. Kualiti video menjunam dengan agak teruk pada waktu malam. Masalah silau pada lensa sangat ketara. Seperti mod mengambil gambar kamera video Moto G hanya akan memberi kualiti gambar yang sederhana dalam keadaan pencahayaan yang cukup. Dalam keadaan gelap kualiti video yang dihasilkan mengecewakan.

Penanda Aras

Kerana spesifikasinya yang sederhana markah penanda aras Moto G yang rendah tidak mengejutkan kami. Markah yang diperolehi menggunakan Quadrant ialah 8338 manakala melalui Antutu pula ia mencatat 17347. Ini rendah sedikit dari sebuah Galaxy SIII. Jelas Moto G bukanlah peranti yang paling berkuasa yang boleh anda miliki tetapi dari segi kelancaran tatalan, melancarkan aplikasi dan melakukan pertukaran aplikasi (app switching)  kami tidak nampak sebarang sela masa. Jika spesifikasi sederhana dipadankan dengan sistem operasi yang dioptimasikan dengan sempurna masalah sela masa boleh dihapuskan. Di atas kertas Moto G nampak lemah tetapi dalam penggunaan dunia sebenar ia mampu berfungsi dengan lebih lancar daripada beberapa peranti dengan spesifikasi yang lebih tinggi darinya.

Untuk ujian grafik Futuremark pula, FonePad Note mencatat 4400 markah. Markah ini rendah dan tidak menempatkan Moto G diantara peranti permainan yang berkuasa di pasaran. Sungguhpun begitu kami tidak mengalami sebarang masalah memainkan aplikasi permainan yang memerlukan kemampuan memproses tinggi seperti Dead Trigger 2 dan Robocop. Ini boleh dilakukan asalkan tidak terdapat terlalu banyak aplikasi lain dibuka secara serentak.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan baik tanpa masalah aplikasi terhenti, peranti gagal beroperasi ataupun ianya menjadi panas akibat penggunaan yang lama. Masalah yang kami sedari hanyalah tab pelayar Chrome akan berkelip apabila lebih daripada 7 tab dibuka serentak. Laman perlu dimuat turun sekali lagi apabila terlalu banyak tab dibuka. Kami menyarankan hanya membuka sehingga 5 tab serentak bagi memastikan penggunaan paling optimum tanpa mendatangkan sebarang masalah.

xperia-z-penanda-aras xperia-z-penanda-aras

Bateri

Ketahanan bateri Motorola Moto G ialah kekuatan paling ketara peranti ini berbanding ratusan pesaing di pasaran. Pada penggunaan biasa kami ia mampu bertahan di antara 9 – 10 jam. Ini adalah jauh lebih baik dari majoriti peranti yang kami ulasan yang hanya mampu bertahan selama 8 jam setengah secara purata. Jika anda tidak menggunakan peranti ini dengan berat ia mampu bertahan sehingga 15 jam. Ketahanan ketika standby pula mampu mencecah sehingga 48 jam! Ini adalah menakjubkan kerana Moto G hanya dilengkapi bateri sekecil 2070 mAh. Ini adalah kurang 1000 mAh dari saiz standard bateri peranti terbaik di pasaran seperti Xperia Z1 ataupun Note 3.  Bateri yang kecil juga memastikan pengecasan semula bateri ke tahap 100% juga pantas. Moto G dicipta bagi mereka yang mahukan peranti dengan hayat bateri tahan lama dan pengecasan pantas. Syabas Motorola!

xperia-Z-prestasi-bateri

Kesimpulan

Pasaran kini dipenuhi dengan lambakkan peranti Android yang murah tetapi tidak berkualiti. Motorola Moto G muncul di pasaran bagi mengubah persepsi masyarakat bahawa kesemua peranti Android dengan harga di bawah RM 1000 adalah tidak berbaloi dimiliki. Di atas kertas spesifikasi Moto G adalah sangat sederhana tetapi dalam penggunaan dunia sebenar peranti ini mengalahkan peranti yang lebih mahal dari segi ketahanan bateri, kemudahan untuk digunakan, kelancaran aplikasi dan kemasan sistem operasi.

Dari segi kelancaran ianya tidak mempunyai sebarang masalah sela masa. Aplikasi dapat dilancarkan dan proses pertukaran diantara aplikasi menggunakan skrin multi tasking juga selancar mentega. Masalah hanya muncul apabila aplikasi Chrome membuka lebih daripada 8 tab sekaligus. Apabila ini dilakukan ada laman yang memerlukan masa untuk memuat turun semula data dan skrin akan berkelip seketika. Ini adalah kekurangan RAM yang kami sedari. Dari ujian penanda aras Moto G hanya sedikit di belakang Samsung Galaxy S3.  Sekali lagi bagi peranti yang dijual pada harga di bawah RM 1000 ini adalah kemampuan yang cukup membanggakan. Sekali lagi kami mencuba beberapa permainan 3D pada Moto G dan selagi tidak ada terlalu banyak aplikasi dilancarkan sekaligus anda boleh mendapatkan framerate yang tinggi.

Apa yang paling kami kagumi tentang Motorola Moto G ialah hayat bateri yang panjang. Kami kerap bekeja di luar dan terpaksa membawa powerbank kemana-mana. Sebelum dapat pulang ke rumah telefon pintar kami biasanya akan kehabisan beteri. Secara purata kami sedari dalam penggunaan seharian sekiranya kami bergerak ke beberapa lokasi sehari bateri peranti tidak akan bertahan melebihi 8 jam. Bateri Moto G dapat bertahan lebih dari 9 jam walaupun kami menggunakannya sebagai WiFi Hotspot dan membuka aplikasi Google Maps. Setiap masa kami hanya menggunakan data dan bukannya WiFi. Jangka hayat 9 jam ini sekilas pandang tidak kelihatan menakjubkan tetapi ianya cukup bagus bagi kami yang sudah menerbalikkan meja kerana peranti yang tidak mampu bertahan walaupun 8 jam. Kemampuan bertahan ini semakin menakjubkan kerana Moto G hanya dilengkapi bateri 2070 mAh

Kualiti gambar yang diambil menggunakan Moto G adalah sederhana. Tidak cukup tajam dan warna kurang menyerlah. Dalam keadaan terang gambar yang diambil adalah cukup elok untuk dimuat naik ke laman sosial tetapi bukan untuk cetakan. Pada waktu malam kualiti gambar menurun dan terdapat masalah noise yang ketara. Ini dapat diselesaikan sedikit dalm mod HDR tetapi masa diambil untuk memfokus dan mengambil gambar pula menjadi perlahan. Fungsi merakan video dalam mod perlahan adalah menarik tetapi kualiti video yang diambil tidak begitu lancar. Kami kurang gemar dengan antaramuka aplikasi kamera Motorola yang terlalu minimalis. Kami lebih gemarkan antaramuka stock Android kerana membenarkan kawalan secara manual. Kelemahan Moto G terletak pada kemampuan kameranya. Ketiadaan sokongan penambahan memori melalui kad MikroSD juga sedikit mengecewakan. Slot ini digantikan oleh slot kad MikroSIM kedua. Ia juga tidak mempunyai sokongan rangkaian LTE.

Moto G ialah peranti yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang mahu berjinak-jinak dengan dunia Android. Harga jualannya mampu milik dan spesifikasinya amat baik bagi peranti dengan harga kurang RM 1000.  Penggunaannya sangat mudah dan lancar. Tiada masalah sela masa ataupun aplikasi gagal berfungsi. Jangka hayat baterinya pula tahan lama seperti minyak lintah dan anda tidak perlu menunggu lama untuk kemasan sistem operasi. Ianya tidak sempurna kerana kemampuan kamera yang mengecewakan, ketiadaan slot MikroSD dan LTE. Sungguhpun begitu kami masih merasakan Motorola Moto G ialah peranti yang paling memberikan nilai yang baik untung wang anda. Kami mengesyorkan Motorola Moto G sekiranya anda memerlukan peranti yang tidak memeningkan kepala, dapat berfungsi tanpa masalah pada harga yang sangat munasabah.

Anda boleh mendapatkan Moto G dari pengedar Brightstar di seluruh negara.

PRO dan Kelebihan
  • Lancar digunakan sungguhpun hanya dilengkapi pemproses kelas sederhana dan 1GB RAM. Kelancaran tatalan lebih baik dari sebahagian peranti kelas tinggi yang pernah kami ulas di makmal peranti Amanz
  • Ketahanan bateri yang menakjubkan. Dengan penggunaan sederhana dan berjalan sepanjang hari bateri Moto G bertahan lebih dari 9 jam. Ini jauh meninggalkan kemampuan peranti kelas tinggi lain.
  • Antaramuka dengan bloatware dan kustomasi minima dari Motorola. Kemasan sistem operasi dilakukan dengan pantas.
  • Motorola Assist memudahkan automasi ketika hadir di dalam mesyuarat ataupun tidur.
  • Harga mampu milik dengan kemampuan melangkaui apa yang kami biasa kaitkan dengan kemampuan peranti mampu milik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan penambahan memori dalaman. Pilihan 8 ataupun 16 GB adalah agak kecil
  • Kualiti kamera sederhana pada waktu siang tetapi teruk pada keadaan gelap
  • Tiada sokongan LTE

xperia-Z-prestasi-bateri

Penafian: Advertorial daripada Brightstar.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd