HTC pada tahun lepas sedia dikatakan akan hadir dengan jam tangan pintar dan peranti boleh-pakai pada tahun ini. Kini, menurut Bloomberg, pengeluar peranti dari Taiwan berkenaan mungkin memperlihatkannya pada minggu hadapan.
Mengikut apa yang dikatakan, jam tangan pintar HTC ini mungkin berasaskan kepada Qualcomm Toq yang pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini.
Jam tangan pintar ini akan menggunakan teknologi paparan Qualcomm Mirasol, disamping turut hadir dengan sokongan Bluetooth dan pemain muzik.
HTC dilihat mempunyai beberapa perancangan untuk jam tangan pintar, dimana selain daripada yang berasaskan kepada Qualcomm Toq, mereka juga dilihat akan hadir dengan sebuah jam tangan menggunakan perkhidmatan Google Now, dan satu lagi gelang tangan yang memainkan muzik. Gelang tangan ini turut dikatakan akan hadir dengan fungsi untuk mengesan aktiviti – sesuai untuk tujuan kegunaan ketika bersukan dan beberapa aktiviti lain.
HTC dikatakan akan hanya memperlihatkan prototaip jam tangan pintar mereka mereka pada minggu hadapan, dan pengumuman rasmi dan pelancaran peranti boleh-pakai mereka dijangka hanya akan hadir sekitar penghujung tahun – dimana akan mengatasi masalah bateri dan beberapa yang lain.