Ulasan WD Black² – Cakera HDD Dan SSD

Ulasan WD Black² – Cakera HDD Dan SSD

Diterbitkan pada Mac 1, 2014 oleh .

Pada akhir tahun lepas Western Digital telah mengumumkan WD Black², yang menggabungkan cakera HDD 1TB dan cakera SSD 120GB. Cakera ini telah mula dijual pada awal tahun ini dan kami berpeluang menjadi yang terawal untuk mencubanya.

IMG_3454

Bentuk Fizikal.

Cakera ini didatangkan dengan pakej pembungkusan yang menarik, menggambarkan kelajuan yang ditawarkan. Turut sama disertakan adalah pemacu USB berbentuk kunci kereta untuk tujuan pemasangan. Tiada perisian didalam pemacu USB tersebut tetapi yang ada merupakan kod executable yang akan menghantar pengguna ke laman Western Digital untuk memuat turun perisian dan driver untuk menggunakannya.

IMG_3459

Kabel yang disediakan merupakan kabel SATA > USB 3.0 yang digunakan untuk pengguna menyalin data mereka untuk menjadikan pemacu WD Black² sebagai pemacu utama. Perlu diingatkan yang pemacu WD Black² ini merupakan pemacu togel tanpa sebarang bekas. Ini kerana kegunaan pemacu ini untuk kegunaan dalaman dan bukan kegunaan luaran.

Pemasangan

Cakera WD Black² ini boleh dikatakan menggunakan SSD sebagai ruang storan utama. Ini kerana sekiranya anda menyambung pemacu tersebut secara terus kepada komputer, komputer akan mengesan storan SSD sahaja iaitu sebanyak 120GB. Storan HDD 1TB hanya boleh diaktifkan melalui perisian yang diberikan oleh Western Digital. Dan storan tersebut hanya boleh diaktifkan menggunakan sistem operasi Windows. Untuk makluman, produk ini sehingga sekarang hanya menyokong platform Windows.

Pengguna perlu melakukan pengklonan sistem operasi secara menyeluruh melalui perisian yang dimuat turun. Perisian Arconis diberikan buat pembeli WD Black² dengan kebolehan terhad cukup sekadar untuk melengkapkan pemasangan WD Black². Pengguna disyorkan untuk pengklonan sistem operasi sahaja kedalam ruangan SSD tersebut.

IMG_3455

Selesai pengklonan tersebut, pengguna perlu memasang WD Black² kedalam sistem mereka. Oleh kerana cakera WD Black² bersaiz 2.5 inci, ia amat sesuai digunakan untuk laptop sekaligus menyelesaikan masalah pengguna laptop yang inginkan kelajuan SSD tetapi masih rindukan kebesaran kapasiti storan. Sekiranya pengguna ingin memasang WD Black² untuk PC, maka PC mereka perlu mempunyai kelengkapan tambahan untuk pemasangan pada ruang cakera keras bersaiz 3.5 inci.

Selesai pemasangan, pengguna perlu menjalankan perisian pemasangan yang akan mengaktifkan ruang storan HDD 1TB. Hanya cara ini sahaja yang dapat mengaktifkan ruangan tambahan tersebut. Sekiranya pengguna mempunyai koleksi fail berjumlah 400GB, pengguna hanya boleh mengklon fail sistem operasi dan juga fail tambahan sehingga 120GB ke SSD dan menggunakan kabel SATA > USB 3.0 untuk menyalin data selebihnya ke pemacu WD Black².

Prestasi.

Dari penggunaan selama sebulan, proses pemasangannya tidak rumit tetapi mungkin memakan masa sekiranya anda berhasrat untuk meletakkan banyak fail pada ruangan SSD. Ia memakan masa dari segi perlunya anda mengklon fail-fail anda.  Kelajuan semasa boot-up boleh dirasai dan juga kelajuan semasa memuatkan permainan yang menggunakan grafik yang intensif. Melalui proses rendering, kelajuan laju hanya boleh dicapai sekiranya fail asal dimuatkan dalam SSD.

Carta Perbandingan Kelajuan (menggunakan perisian Crystal Disk Mark untuk 1000MB)
Model Read [MegaBait/saat] Write [MegaBait/saat]
WD Blue 139.6 122.5
WD Velociraptor 210.3 206
WD Black² 403.6 147.3

Saya sedikit kehairanan kerana kelajuan WD Black² untuk proses Write tidak melebihi kelajuan WD Velociraptor. Apapun saya akan mengemaskini sekiranya ada perubahan terhadap statistik ini.

Pro

  1. Gabungan SSD & HDD melalui kabel yang sama menjimatkan ruang terutamanya untuk laptop.
  2. Perisian pengklonan yang turut diberikan bersama membantu pemasangan.

Kontra

  1. Hanya boleh digunakan untuk platform Windows buat masa ini.
  2. Kapasiti SSD 120GB adalah kecil sekiranya penggunaan anda lebih kearah produksi video dan animasi. Sekiranya ingin melajukan proses tersebut, anda terpaksa menyalin fail dari HDD ke SSD untuk mempercepat proses penyuntingan serta rendering.

Pemacu ini dijual pada harga RM1,088 beserta jaminan terhad selama lima tahun melalui pengedar dan penjual yang sah. Buat masa ini pemacu ini hanya boleh digunakan untuk sistem operasi Windows.

Jadi, adakah anda berminat dengan pemacu ini ?

skoraman-wd

 Tambahan kemaskini 25 Jun 2014: Ulasan WD Velociraptor


TIPS & ULASAN