Samsung merupakan salah satu penyumbang dalam projek Tizen OS, dan pada Mobile World Congress yang diadakan pada minggu ini, pihak Tizen Association telah memperlihatkan beberapa peranti menjalankan sistem operasi mereka, termasuk salah satunya adalah telefon Samsung menjalankan Tizen OS.
Berbeza dengan Android, Samsung memiliki kuasa sepenuhnya pada Tizen, dimana mereka boleh mengawal apakah aplikasi yang disertakan dan sebagainya. Walaupun terdapat alternatif seperti AOSP (Android Open Source Project), ramai pengguna inginkan perkhidmatan Google apabila mendapatkan peranti berasaskan Android.
Bercakap mengenai Tizen OS, ia dilihat membawakan paparan yang lebih kurang sama seperti TouchWiz daripada Samsung. Penggunaan ia pada peranti Android memperlihatkan sistem operasi tersebut selari dengan penggunaan spesifikasi peranti Android.
Walaupun secara kasarnya sukar untuk membezakan Tizen OS dengan peranti Android daripada Samsung, namun dari segi sistem dan ekosistem, ia membawakan beberapa perbezaan.
Salah satunya adalah dari segi aplikasi, dimana Tizen OS ini menyokong aplikasi berasaskan HTML5 ataupun menggunakan C++.
Disamping itu, cara ia beroperasi juga agak berbeza. Pengguna boleh pin sesuatu ikon tersebut di skrin utama, dan apabila saiz ikon tersebut dibesarkan, ia akan berubah kepada bentuk widget. Perkara ini berbeza dengan bagaimana aplikasi berfungsi pada peranti Android.
Peranti yang diperlihatkan juga menggunakan beberapa aplikasi yang hadir terbina seperti YouTube dan juga Google Search. Kami tidak menjumpai sebarang aplikasi pelayar web, dan dari segi pemetaan, pihak Nokia HERE Maps dilihat menunjukkan sokongan aplikasi mereka pada Tizen.
Apa pun, boleh dikatakan Tizen masih lagi baru – dan sokongan aplikasi akan memainkan peranan yang amat penting dalam sokongan sistem operasi ini untuk terus maju kehadapan.
Buat masa ini, Samsung telah hadir dengan sebuah kamera yang menjalankan Tizen OS, disamping Gear 2 mereka yang turut sama menggunakan variasi sistem operasi berkenaan.