Cari @ Amanz

Pada Mobile World Congress 2014 minggu lepas, Nokia telah memperkenalkan telefon Android terbaru mereka melalui siri Nokia X. Peranti Android daripada Nokia semestinya dinanti-nantikan pengguna dan ramai yang bercadang untuk memilikinya. Justeru, banyak persoalan timbul di minda pengguna bagaimanakah peranti daripada Nokia ini berfungsi.

Nokia X

Sebelum kami meneruskan penjelasan mengenai Nokia X, suka kami maklumkan bermula Mac 2014, kami di Amanz memperkenalkan ruangan #TanyaAmanz – sebuah ruangan dalam bentuk artikel yang menjawab beberapa soalan yang kerap ditanya daripada pembaca dan pengguna. Pada siri #TanyaAmanz yang akan datang, kami bakal membawakan artikel mengenai peranti apakah yang boleh didapati dengan bajet anda dan mengupas beberapa permasalahan teknologi daripada pengguna.

Berbalik semula ke Nokia X, kami di Amanz telah sedia menerima beberapa soalan mengenai peranti terbaru Nokia ini daripada ruangan komen, Facebook, dan Twitter @amanz sendiri. Terdapat banyak soalan menarik yang kami terima dan berikut antara soalan dan jawapan kami mengenai peranti Nokia X.

Nokia X

Berapakah RAM yang digunakan pada Nokia X? Ada spesifikasi penuh?

Nokia X menggunakan 512MB RAM manakala Nokia X+ dan Nokia XL keduanya-duanya hadir dengan 768MB RAM. Dari segi spesifikasi, Nokia X membawakan pemprosesan Snapdragon S4 dwi-teras 1GHz, skrin IPS LCD 4-inci beresolusi 480×800, kamera 3.15MP dengan rakaman video 480p pada kadar 30 fps, bateri sebesar 1500 mAh, memori dalaman sebesar 4GB, dan menyokong peningkatan memori microSD sehingga 32GB.

Tertanya-tanya, Nokia X guna Android versi mana? KitKat kah?

Kesemua peranti Nokia X mengguna Nokia X software platform 1.0 yang berasaskan Android 4.1.2 Jelly Bean. Agak malang sekali Nokia tidak menggunakan Android 4.4 KitKat pada Nokia X.

Nokia XKenapa interface Nokia X macam Nokia Asha + Nokia Lumia?

Siri Nokia X sebenarnya merupakan hasil ‘crossover‘ antara Nokia Asha dan Nokia Lumia. Jadi, Nokia telah memutuskan untuk membawa antaramuka kedua-dua platform tersebut sebagai asas pembinaan antaramuka Nokia X.

Boleh ke nak install .apk files kat Nokia X ni?

Nokia X boleh memasang fail .apk terus tanpa sebarang masalah. Pada pelancaran Nokia X sendiri pun pihak Nokia telah memaklumkan Nokia X mampu memasang fail .apk tanpa sebarang sekatan daripada pihak Nokia sendiri. Namun begitu, seperti yang terdapat pada peranti Android lain juga, pengguna akan diberi amaran sekuriti untuk pemasangan aplikasi di luar gedung aplikasi. Perkara ini boleh ditutup pada Settings > Security > untick sahaja pada ‘Unknown Sources’.

Nokia X ni tiada Google Play kan. Macam mana nak download apps?

Ketiadaan Google Play Store tidak menjadi masalah kerana Nokia X hadir dengan Nokia Store. Pihak Nokia juga turut mengatakan Nokia X menyokong pemasangan gedung aplikasi pihak ketiga sebagai alternatif kepada Nokia Store. Sekiranya anda kurang berminat dengan aplikasi daripada Nokia Store, boleh memasang gedung aplikasi seperti 1Mobile Market, Aptoide, dan Getjar pada Nokia X.

Nokia X - Store

Dari segi performance, Nokia X ni lag tak?

Melancarkan aplikasi boleh dikatakan sedikit lambat pada Nokia X disebabkan RAM hanya sebesar 512MB RAM. Tapi dari segi prestasi keseluruhan terasa sangat lancar. Kami sendiri kagum bagaimana Nokia mengotimasikan Fastlane UI (antaramuka Nokia X) bersama Android 4.1.2 Jelly Bean. Ia tidaklah selancar Windows Phone yang sememangnya terkenal dengan fluidity (kelancaran), tetapi bagi kami bermain dengan keseluruhan antaramuka Nokia X, ia terasa lebih pantas jika dibandingkan dengan peranti Samsung yang mempunyai spesifikasi yang lebih kurang serupa.

Nokia X_008Dalam Nokia X ada File Manager tak?

Pihak Nokia turut menghadirkan fungsi File Manager secara terbina pada kesemua peranti Nokia X.

Nokia X ada satu button back je kan? Button home dia macam mana?

Butang back pada Nokia boleh berfungsi sebagai butang home apabila pengguna hold (menekan seketika) pada butang back tersebut.

Adakah Nokia X menyokong offline maps macam di Lumia sebelum ni?

Kesemua siri Nokia X turut dibekalkan dengan aplikasi Here Maps yang menyokong fungsi offline navigation. Ini merupakan salah satu kelebihan peranti Nokia X berbanding peranti Android yang lain.

Nokia X ada kamera depan tak?

Nokia X (dan juga Nokia X+) tidak dihadirkan dengan sebarang kamera hadapan. Tetapi anda boleh mendapatkan Nokia XL yang hadir dengan kamera hadapan 2-megapiksel untuk tujuan pengambaran diri (selfie) dan persidangan video di Skype. Nokia XL bakal dilancarkan di Malaysia pada suku kedua (sekitar bulan April-Jun) tahun ini.

Macam mana notification untuk Android apps? Dengar kata notification tak show di Notification Bar.

Soalan yang bagus terutamanya pengguna yang gemar menggunakan aplikasi launcher pihak ketiga. Kesemua notifikasi yang hadir pada Nokia X hanya akan terpapar pada Fastlane UI. Jadi, sekiranya anda menggunakan Nova Launcher, Apex Launcher mahupun Go Launcher pada Nokia X, anda perlu kembali ke launcher Fastlane UI untuk melihat kesemua notifikasi. Ini sangat melecehkan dan dari sini kita dapat lihat Nokia bijak untuk menggalakkan pengguna menggunakan Fastlane UI.

Nokia X Notification

Selain notifikasi, fungsi multitasking pun turut terkesan daripada masalah ini. Sebarang fungsi multitasking hanya boleh dilakukan ketika berada di Fastlane UI sehingga setakat ini.

Agak-agak Nokia X ni boleh root tak?

Seperti peranti Android lain juga, Nokia X boleh diroot hasil bantuan daripada komuniti. Pihak Nokia juga turut memaklumkan Nokia X hadir dengan unlocked bootloader bagi kebolehan pemasangan custom ROM padanya.

Nak tahu performance benchmark bagi Nokia X.

Ini merupakan hasil ujian penanda aras Nokia X daripada AnTuTu 4.2. Ia tidak begitu baik namun dari segi prestasi keseluruhannya dilihat agak lancar sudah memadai bagi peranti ini.

Nokia X benchmark

Pihak Google tak marah ke User Interface (UI) dia lebih kurang macam Windows Phone?

Nokia X software platform 1.0 dibina berasaskan Android Open Source Project (AOSP). Ia merupakan projek Android sumber terbuka yang membenarkan mana-mana pihak mengolah, mengubah, dan mencipta platform sendiri berasaskan Android. Tidak seperti Samsung, Nokia tidak menggunakan satu perkhidmatan daripada Google pun dalam membangunkan Nokia X.

Apa kelebihan Nokia X jika dibandingkan dengan Windows Phone yang lain?

Nokia X hadir dengan platform berasaskan Android, jadi lebih banyak pilihan aplikasi tersedia. Selain itu, kekuatan Android adalah pada kustomasi yang membolehkan pengguna memakai launcher lain, meletakkan widget pada homescreen, dan mengubah antaramuka pada Android.

Nokia X Nova Launcher

Cuma beberapa perkara Android tidak dapat menyaingi Windows Phone terutamanya segi fluidity (kelancaran) ketika menggunakan sistem operasi dan keselamatan daripada ancaman virus.

Ada tak ura-ura Nokia X akan dikeluarkan dalam spesifikasi tinggi?

Kedudukan Nokia X terletak di antara Nokia Asha dan Nokia Lumia. Untuk peranti berspesifikasi tinggi, Nokia telah menetapkan keluarga Nokia Lumia sahaja akan berada pada peranti jenis ini. Bermakna, Nokia tidak akan membuat sebarang peranti berspesifikasi tinggi bagi keluarga Nokia X.

Apa motif sebenarnya Nokia mengeluarkan peranti Android? Nanti nasib Windows Phone macam mana?

Semuanya atas strategi Nokia. Dengan menghadirkan peranti Android, Nokia mampu menghasilkan telefon pintar yang lebih murah kerana tidak terikat dengan licensing seperti Windows Phone. Pada negara-negara membangun, jumlah besar pengguna akan mencari peranti bajet Android dan ini menarik minat Nokia untuk memasarkan peranti Nokia dengan Android yang sememangnya mampu menarik pengguna, apatah lagi jenama Nokia sangat kukuh pada negara-negara ini.

Nokia X

Nokia mengatakan kehadiran Nokia X akan menggalakkan pengguna untuk bertukar ke peranti kelas tinggi Nokia Lumia. Tetapi bagi kami, kami tidak rasa ini sebagai menggalakkan kerana rata-rata yang kami bertanya, ramai pengguna Nokia beralih ke peranti jenama lain kerana Nokia tidak hadir dengan peranti Android. Segelintir pengguna yang mempunyai sense of design (antaramuka Modern UI) dan golongan yang terdedah dengan persekitaran IT sahaja dilihat lebih memihak untuk memiliki Windows Phone. Jadi nasib Windows Phone sukar kami jangkakan lebih-lebih lagi selepas kehadiran siri Nokia X ini.

Nokia X_019Nokia X untuk pasaran Malaysia dual-sim ke single-sim?

Kesemua model global Nokia X termasuk Nokia X+ dan Nokia XL hadir dengan fungsi dual-sim.

Dari pandangan Amanz, adakah Nokia X berbaloi untuk dibeli? Ada pros dan cons tak kalau nak dibandingkan dengan peranti Android yang sama value dengannya?

Berbaloi sebab Nokia memang terkenal dengan peranti tahan lasak dan kehadiran Here Maps dengan offline navigation adalah kelebihan Nokia X berbanding peranti Android lain. Cuma kalau dibandingkan dengan value yang sama dengan Nokia X, alternatif lain mungkin pengguna boleh mendapatkan telefon Lenovo yang mempunyai reka bentuk dan megapiksel kamera yang lebih baik pada harga Nokia X. Kekurangan Nokia X cuma bagi kami adalah reka bentuk yang tidak setanding peranti Lenovo yang sama harganya tapi dari segi kelebihan, peranti yang tahan lasak dan mempunyai offline navigation lebih menjadi keutamaan pada pandangan kami.

Berapa harga Nokia X? Bilakah Nokia X akan masuk pasaran Malaysia?

Nokia X masih belum dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan buat masa ini dan kami menjangkakan Nokia X bakal dijual pada harga RM399. Bagi Nokia X+ pula, ia mungkin berharga RM449, dan Nokia XL mungkin dijual pada harga RM499. Ini hanya sekadar jangkaan kami dan harga serta tarikh rasmi jualan Nokia X bakal diumumkan pada 5 Mac nanti.

Nokia XL

Sekiranya anda mempunyai soalan mengenai Nokia X, kemukakan soalan anda melalui ruangan di bawah. Soalan yang dilihat berpontesi dan menarik untuk dikupas, akan kami masukkan di dalam artikel di atas dari semasa ke semasa.

Untuk pertanyaan lain juga, anda boleh bertanyakan melalui laman Facebook Amanz Network, Rakan Amanz di Google Plus atau boleh kemukakan soalan melalui Twitter @amanz dan juga menggunakan hashtag #TanyaAmanz di laman Twitter.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd