Cari @ Amanz

 

Oppo memasuki pasaran Malaysia dengan memperkenalkan Oppo N1 awal bulan ini. Oppo N1 mempunyai fungsi unik dimana kamera utamanya boleh diputarkan dan digunakan sebagai kamera hadapan. Sistem kamera berputar ini menurut Oppo memastikan gambar selfie yang diambil mempunyai kualiti yang tinggi kerana diambil dengan kamera beresolusi tinggi. Adakah fungsi unik ini sudah mencukupi untuk membuatkan anda memiliki N1 atau ianya hanya gimik yang menutup kelemahan peranti ini? Sila baca ulasan kami untuk mendapatkan jawapannya.

Oppo N1
Pemproses 1.7 GHz Empat Teras Snapdragon 600
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 GB tiada sokongan kad MikroSD
Kamera 13 MP utama (boleh berputar)
Skrin 5.9″ LCD IPS 1080p (373 ppi)
Bateri 3610 mAh

Oppo N1 ialah antara peranti yang boleh kami kategorikan sebagai unik kerana kewujudan sistem kamera berputarnya. Di dalam pasaran yang dilambakkan dengan pelbagai peranti pintar yang mempunyai rekaan serupa, kehadiran Oppo N1 dengan fungsi unik ini membuatkan kami teruja. Teruja kerana sekurang-kurangnya kami boleh mengulas sesuatu yang unik dan bukan sebuah lagi peranti berbentuk kotak yang kelihatan seperti askar klon dari Planet Kamino

Dari segi binaan ia mempunyai kemasan logam pada bahagian tepi. Panel belakang kami diberitahu diperbuat daripada seramik dan bukannya plastik seperti majoriti peranti di pasaran. Butang-butang kuasa dan suara diletakkan pada bahagian kanan. Ianya mudah diakses dan senang ditekan. Pada bahagian kanan juga terdapat slot untuk MikroSIM yang hanya boleh dibuka dengan menggunakan sebuah pin. Kami kurang gemar apabila peranti menggunakan talam SIM dari jenis ini. Dalam keadaan kecemasan dan anda perlu mengeluarkan SIM adalah sukar untuk mencari jarum untuk mencucuk lubang pelepasan talam SIM. Tiada slot untuk kad MikroSD pada peranti ini dan muatan terhad kepada 16 Gigabyte sahaja. Pada bahagian bawah terdapat jack fon kepala, slot MikroUSB dan sebuah pembesar suara mono.Dari segi pilihan warna, buat masa ini hanya warna putih ada di pasaran namun ada perancangan membawa masuk N1 bewarna biru tidak lama lagi.

Secara keseluruhan kualiti binaan dan kemasan Oppo N1 adalah tinggi dan rekaannya menarik. Kekurangan yang ada ialah dari segi saiz. Ini adalah masalah biasa bagi peranti dari keluarga phablet. Adalah sukar untuk menyentuh keseluruhan skrin menggunakan hanya sebelah tangan. Kejanggalan menggunakan N1 semakin bertambah kerana ianya sangat panjang bagi sebuah peranti berskrin 5.9“. Bagi meletakkan mekanisme kamera berputar bahagian atas kamera dipanjangkan. Bagi memastikan peranti mempunyai rekaan yang simetri, bahagian bawah peranti juga dipanjangkan dan membuatkan ia kelihatan  gonjeng. Agak canggung memegang peranti ini buat pertama kali.

N1 tidak mempunyai butang fizikal sebaliknya ketiga-tiga butang navigasi peranti adalah dalam bentuk butang kapasitif. Butang back terletak pada bahagian kanan sementara butang menu di bahagian kiri bersebelahan butang home pada bahagian tengah. Untuk mengakses skrin multi tasking anda perlu menekan butang home sebanyak dua kali seperti sebuah peranti HTC One. Menekan butang home untuk beberapa saat pula melancarkan Google Now.

[amanz-gallery]

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaOppo N1 menggunakan sistem operasi Android dengan kustomasi antaramuka Color OS. Ketika artikel ditulis ianya masih menggunakan Android 4.2.1. Kami difahamkan kemasan terkini hanya akan diberikan kepada pengguna selpas Oppo Find 7 memasuki pasaran. Tarikh rasmi kemaskini ini masih belum muktamad. Apakah perbezaan Color OS berbanding Android asal? Pertama sekali keseluruhan antaramuka diubah suai. Color OS membolehkan anda melakukan kustomasi dengan memuat turun tema-tema berbeza mengikut kehendak pengguna. Ini dilakukan dengan melancarkan aplikasi Theme yang telah disediakan. Selain daripada itu menekan butang menu dari muka hadapan pula melancarkan kustomasi animasi apabila skrin ditatal serta paparan gambar latar belakang peranti.

Apabila melakukan tatalan ke kanan anda akan menemui dua skrin khas Color OS. Skrin pertama membenarkan anda mengambil gambar kecil seakan polaroid. Fungsi ini diberi nama Photo Space. Gambar yang diambil akan mempunyai ruang berwarna putih yang boleh anda tulis dengan nota peribadi. Jika skrin ditatal sekali lagi ke kanan anda akan memasuki skrin pemain audio Color OS. Ia kelihatan seperti pemain piring hitam. Lagu dimainkan dengan menggerakkan jarum armatur audio ke atas piring hitam dan penukaran lagu dilakukan dengan menolak keluar piring hitam ke atas atau ke bawah. Malangnya anda tidak boleh menggesek piring hitam dan menghasilkan audio seperti anda seorang DJ kelab malam menggunakan antaramuka ini tetapi kami fungsi ini bakal hadir kerana kami sudah melihat ianya berfungsi pada sebuah Oppo Find 7 beberapa minggu yang lalu

xperia-Z-kesemua-antaramuka

 

 O Touch

O Touch ialah fungsi khas unik kepada Oppo N1. Ianya sebuah panel sesentuh berbentuk segi empat tepat yang terletak pada bahagian belakang peranti. Apabila fungsi ini diaktifkan, ianya berfungsi sebagai panel sesentuh yang membolehkan anda melakukan tatalan tanpa menyentuh skrin LCD peranti. Ianya juga boleh digunakan sebagai pemetik kamera ketika mengambil gambar selfie. Ini dilakukan dengan meletakkan jari untuk beberapa saat pada panel O Touch ketika aplikasi kamera digunakan. Jika aksi ini dilakukan dengan betul peranti akan bergetar gambar akan diambil.

Di atas kertas O Touch mungkin sebuah inovasi yang baik. Tetapi apabila digunakan di dunia sebenar terdapat beberapa masalah yang membuatkannya tidak mesra pengguna. Kerap kali kami terlupa menyahaktifkan O Touch dan apabila telapak tangan menyentuh panel ini, kami melakukan tatalan secara tidak sengaja. Apabila mengambil selfie pula kadang kala panel O Touch gagal mengesan jari kami yang sudah diletakkan mengakibatkan gambar tidak diambil. Mungkin pihak Oppo boleh memperincikan lagi kepekaan panel ini. Buat masa ini ianya masih belum boleh digunakan dengan sempurna 100%.

Gerakan Jari

Terdapat beberapa fungsi gerakan jari (gesture) yang boleh anda lakukan pada N1. Pertama sekali kekuatan bunyi N1 boleh dikawal dengan mentatalkan dua jari keatas ataupun ke bawah pada skrin. Aplikasi kamera juga boleh dilancarkan dengan segera dengan melakukan cubitan 3 jari. Dari skrin yang dikunci juga anda boleh melakukan nyahkunci dengan menyentuh skrin sebanyak dua kali. Kesemua fungsi gerakan jari ini mempercepatkan proses penggunaan N1.

Anda juga boleh memprogramkan gerakan jari anda sendiri untuk melancarkan aplikasi berbeza. Sebagai contoh melakukan gerakan berbentuk V  boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi lampu suluh. Gerakan jari ini malangnya hanya boleh digunakan apabila skrin peranti ditutup ataupun apabila panel khas gerakan jari dibuka. Panel ini boleh diakses dengan melakukan tatalan atas ke bawah dari bahagian kiri skrin.

 

 

Kamera

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kamera utama N1 mempunyai sensor 13 Megapixel keluaran Sony. Ia turut dilengkapi dwi flash yang menurut Oppo memberikan tona warna kulit yang lebih semula jadi apabila flash digunakan.

Antaramuka aplikasi kamera N1 adalah kema tetapi dengan jumlah tetapan yang terhad. Tiada kemampuan mengawal dedahan, kelajuan ISO dan white balance. Kami sedari gambar yang diambil N1 mempunyai masalah lebihan dedahan. Alangkah baiknya jika fungsi mengawal kamera secara manual disertakan. Sekurang-kurangnya ini dapat membantu pengguna mengawal masalah dedahan berlebihan ini dari berlaku.  Fungsi pratetapan terbina juga terhad.

Kita mulakan dengan ujian gambar yang diambil di dalam keadaan yang terang. Anda boleh lihat gambar yang diambil oleh Hero adalah agak baik. Penghasilan warna (colour reproduction) juga selaras dengan objek sebenar berbanding Oppo N1 yang agak kekuningan. One Max mempunyai penghasilan warna yang lebih panas daripada Hero dan gambar kelihatan lebih tajam. Apabila gambar dilihat dengan lebih terperinci kami menyedari pada Hero dan Oppo N1 objek latar belakang akan menjadi semakin kabur berkadar terus dengan jaraknya dari lensa kamera. Masalah ini tidak ketara pada One Max. Ketajaman imej One Max adalah yang terbaik di dalam ujian ini.

Seterusnya gambar di ambil di dalam restoran yang agak kelam dengan jumlah lampu yang sederhana. Sekali lagi pada pendapat kami gambar yang diambil oleh One Max adalah yang terbaik. Jika anda menekan gambar di bawah dan melihatnya pada resolusi asal, gambar One Max lebih tajam dan anda boleh melihat alur kayu pada nama kedai dengan lebih jelas. Gambar yang diambil oleh Oppo N1 di dalam situasi situasi ini lebih tajam dari diambil menggunakan Hero.

Ini pula ujian makro. Gambar yang diambil menggunakan Hero lebih jelas berbanding Oppo N1 tetapi pada hemat kami masih tidak sebaik One Max. Oppo N1 mempunyai masalah dedahan berlebihan sehingga ke perincian imej nasi di tengah gambar hilang jika dibandingkan dengan gambar 2 peranti yang lain.

Bagi memudahkan anda melihat perbezaan ini sila lihat gambar di bawah.

Gambar ini pula diambil di dalam bangunan yang agak gelap pada waktu pagi. Gambar Hero adalah yang paling gelap di antara 3 gambar yang diambil. Oppo N1 adalah yang paling terang. Masalah dedahan berlebihan yang mendatangkan masalah di dalam situasi pencahayaan mencukupi membantu mencerahkan gambar yang diambil di dalam keadaan gelap. One Max pula mempunyai masalah silau yang ketara. Di dalam situasi begini kami rasakan Oppo N1 mempunyai kualiti gambar yang terbaik berbanding 2 peranti yang lain.

 

Gambar ini pula diambil ketika waktu hujan pada waktu petang. Ketiga-tiga peranti mempunyai masalah memfokus dan hasilnya kesemua gambar mempunyai masalah tidak tajam yang serupa. Tetapi kami rasakan gambar yang diambil menggunakan hero adalah yang paling jelas untuk kali ini.

Akhir sekali gambar diambil di dalam bilik gelap dengan satu sumber cahaya. Dari segi keterangan Hero memdahului Oppo N1 dan One Max tetapi kami rasakan ketajaman gambar adalah paling tinggi pada gambar yang diambil menggunakan One Max.

Video

Ini ialah video yang diambil pada waktu malam menggunakan Hero, Oppo N1 dan One Max. Dari segi keterangan kami rasa Hero mempunyai imej yang paling jelas. Sungguhpun begitu kami letakkan video yang diambil menggunakan N1 sebagai yang paling rendah dari segi kualiti visual. Gambar terlalu gelap. Rakaman bunyi adalah kedua terbaik dengan bunyi latar belakang dapat diambil dengan baik. Video yang diambil juga lancar jika dibandingkan dengan Alcatel One Touch Hero. Secara peribadi kami sukakan audio yang diambil menggunakan One Max. Kesemua bunyi sekeliling dapat dirakam tanpa masalah.

Terdapat fungsi mengambil video secara gerak perlahan. Sungguhpun video yang diambil bergerak lancar, kami rasakan resolusi yang terhad kepada 480P sahaja di dalam mod ini adalah tidak memandai. Setelah terbiasa dengan video resolusi tinggi, video resolusi biasa kini amat menyakitkan mata.

Kesimpulan Ujian Kamera

Gimik jualan Oppo N1 ialah kamera utamanya yang boleh berputar dan boleh digunakan sebagai kamera hadapan. Kami berpendapat kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera Oppo N1 adalah paling lemah jika dibandingkan dengan Alcatel One Touch Hero dan HTC One Max. Masalah dedahan berlebihan boleh dilihat dalam kesemua gambar yang diambil dalam situasi pencahayaan terang. Ini mengakibatkan ketajaman gambar objek yang diambil hilang. Lihat gambar nasi lemak yang kami sertakan. Butiran nasi tidak kelihatan sepenuhnya pada gambar yang diambil Oppo N1 berbanding gambar 2 peranti yang lain. Prestasi kamera N1 hanya elok sedikit dalam situasi gelap di mana dedahan berlebihan memastikan gambar yang diambil di dalam situasi gelap kini kelihatan terang. Kualiti video pula sederhana. Mod video perlahan yang disertakan menarik dan berfungsi dengan baik. Tetapi ianya terhad kepada rakaman video beresolusi 480P sahaja dan hasilnya ialah video yang agak kabur.

Penanda Aras

Pemproses 1.7 GHz empat teras Snapdragon 600 digunakan oleh Oppo untuk memperkasakan N1. Ianya SOC dua generasi ke belakang dari apa yang digunakan peranti terkini di pasaran sekarang. Pada ujian Quadrant ia berjaya mencatat 8526 markah dan pada ujian Antutu pula ia mencatat 26476 markah. Apabila ujian Futuremark Unlimited dilakukan pula, N1 berjaya mencatatkan 9783 markah.

Keputusan-keputusan penanda aras Ini meletakkan N1 sebagai sebuah peranti kelas pertengahan. Berikut ialah perbandingan markah yang dicatatkan oleh N1 berbanding beberapa peranti phablet yang pernah kami ulas sebelum ini. Jelas kelihatan kemampuan pemproses dan grafik N1 adalah cukup memuaskan.

xperia-z-penanda-aras

Dalam penggunaan dunia sebenar kami tidak mengalami sebarang masalah sepanjang tempoh ujian. Kesemua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar dan tiada masalah sela masa kelihatan semasa tatalan dilakukan. Harus dinyatakan kelancaran ini bergantung kepada tema Color OS yang dipilih. Sesetengah tema mengakibatkan berlakunya sela masa. Anehnya kami sedari sela masa lebih ketara kelihatan pada tema asal Color OS. Kami menggunakan tema Nexus sepanjang tempoh ujian kerana ianya memberikan kelancaran maksimum berbanding tema yang lain.

Apabila aplikasi permainan dilancarkan kami menyedari peranti menjadi sedikit panas. Masalah panas ini juga kami sedari pada peranti lain yang menggunakan pemproses Snapdragon 600. Sungguhpun begitu ianya tidak mengganggu prestasi aplikasi yang dimainkan.

xperia-z-penanda-aras xperia-z-penanda-aras

Bateri

Oppo N1 dilengkapi bateri sebesar 3610 mAh. Saiz bateri ini adalah besar jika dibandingkan dengan Galaxy Note 3 (3200 mAh) dan Alcatel One Touch Hero (3400 mAh) . Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan selama 18 jam 13 minit. Pada penggunaan berat pula ia mampu bertahan selama 7 jam 25 minit. Ini adalah hayat bateri yang berpadanan dengan majoriti phablet di luar sana.

xperia-Z-prestasi-bateri

 

Kesimpulan

Oppo N1 mempunyai rekaan unik di mana kamera utamanya boleh diputarkan dan digunakan sebagai kamera hadapan. Idea yang baik dan bijak menyelesaikan masalah kamera hadapan yang mengambil gambar berkualiti rendah. Tetapi kelebihan peranti ini tidak terhad kepada hanya mempunyai kamera yang unik. Sistem operasi Android dengan Color OS memberikan beberapa fungsi lain yang tidak kurang menarik. Pertama sekali ia mempunyai rekaannya kemas dan minimalis. Ianya pada hemat kami antara rekaan launcher Android tercantik yang boleh anda lihat. Selain daripada itu terdapat fungsi gerakan jari (gesture) yang mempercepatkan proses pengendalian peranti. Tahap kekuatan bunyi peranti boleh dikawal dengan mentatal dua jari pada skrin ke atas ataupun ke bawah. Aplikasi kamera boleh dilancarkan dengan melakukan gerakan mencubit dengan menggunakan tiga jari. Anda juga boleh melakukan gerakan jari anda sendiri untuk melancarkan aplikasi tertentu. Sebagai contoh anda boleh lakukan gerakan berentuk V pada skrin peranti untuk melancarkan Instagram terus dari skrin yang dikunci.

Fungsi O-Touch ialah sebuah lagi fungsi unik yang ada pada N1. Anda boleh mengawal tatalan skrin ketika membaca laman sesawang tanpa menyentuh skrin LCD peranti. dengan menggunakan panel sesentuh O-Touch yang terletak pada belakang peranti. Panel kecil berbentuk segi empat tepat ini juga boleh digunakan sebagai pemetik kamera ketika mengambil selfie. Malang sekali panel O-Touch tidak berfungsi dengan sempurna dan memerlukan sedikit kesabaran apabila ingin digunakan.

Kemampuan kamera adalah sederhana dengan sensor sebesar 13 Megapixel keluaran Sony. Kami sedikit terkilan dengan masalah dedahan berlebihan yang berlaku apabila gambar diambil dalam keadaan terang. Setiap gambar yang diambil juga mempunyai sedikit masalah kekuningan. Secara keseluruhan kualiti gambar yang diambil adalah sederhana.

Ujian penanda aras pula menunjukkan kemampuan memproses dan grafik N1 adalah cukup baik untuk majoriti aplikasi permainan yang boleh anda temui di Google Play. Kami mencuba permainan dengan grafik 3D yang berat seperti Asphalt 8 dan ianya dapat dimainkan dengan cukup baik.  JIka kemampuan bermain aplikasi permainan adalah penting bagi anda, N1 tidak akan mengecewakan anda.

Pada pendapat kami Oppo N1 ialah sebuah peranti yang baik. Tarikan utamanya ialah kamera yang boleh berputar. Masalah utamanya juga ialah kamera yang tidak setanding dengan phablet-phablet lain yang ada di pasaran. Ianya pilihan yang baik bagi mereka yang mahukan peranti dengan kemampuan sederhana tinggi.

 

PRO dan Kelebihan
  • Kualiti binaan yang baik. Bahagian belakang mempunyai kemasan seperti tembikar. Sangat selesa dan sejuk dipegang
  • Pelbagai kustomasi dapat dilakukan dengan mudah serta pantas melalui sistem kustomasi terbina Color OS.  Terdapat tema Google Experience dan juga IOS sekiranya anda mahu.
  • Sistem kamera berputar memastikan gambar selfie yang diambil anda mempunyai kualiti yang baik kerana menggunakan kamera utama dengan sensor 13 Megapixel.
  • Sokongan gerakan jari dari skrin utama. Anda boleh menggunakan gerakan jari yang sudah diprogramkan atau mencipta gerakan jari anda sendiri. Memudahkan melancarkan aplikasi tertentu terus dari skrin peranti yang dikunci.
  • Terdapat sokongan CynogenMod yang menggunakan sepenuhnya fungsi unik N1 sekiranya anda mahu menggunakan ROM alternatif popular ini.
KONTRA dan Kekurangan
  • Saiz yang agak panjang. Kurang selesa dipegang dengan sebelah tangan ataupun disimpan di dalam kocek seluar. Ini adalah sebelum anda meletakkan casing yang pastinya akan menambahkan saiz peranti ini.
  • Panel O Touch tidak berfungsi dengan sempurna. Kadang kala ia gagal mengesan sentuhan jari ketika ingin digunakan
  • Tiada sokongan penambahan memori dalaman. Terhad kepada 16 Gigabyte.
  • Tiada sokongan LTE .

xperia-Z-prestasi-bateri

 
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd